Ulasan Buku : 30 Keringanan Syariat Bagi Wanita

Nama buku: 30 Keringanan Syariat Bagi Wanita

Penulis: Amru Bin Abdul Mun’im Bin Salim

Muka surat: 132

Penerbit: At-Tibyan

Wanita dalam Islam mempunyai kewajipan seperti kaum lelaki yang turut dibebankan melaksanakan perintah Allah SWT. Meskipun Islam sangat memelihara wanita dan melindungi wanita daripada mengerjakan hal-hal yang dilarang oleh agama, ini tidak bermakna tiada kelonggaran yang diberikan kepada wanita yang diangkat darjat kemuliaannya.

Islam tidak pernah menyekat pergerakan dan perbuatan wanita secara mutlak ataupun menyeluruh. Bahkan, sebetulnya wanita dianugerahkan keistimewaan dan kemudahan yang telah digariskan dengan cukup lengkap mengikut bimbingan Rasulullah SAW.

Antara buku yang sangat layak untuk kaum wanita mempelajari perkara-perkara yang dilonggarkan kepada diri mereka sendiri ialah buku 30 Keringanan Syariat Bagi wanita.

Buku ini adalah edisi terjemahan Indonesia daripada judul asal, Tsalaatsuna Rukhshah Syar’iyyah Lin Nisaa yang memaparkan 30 keringanan berkaitan hal-hal yang dirukhsahkan untuk wanita dalam Islam.

Terdapat berpuluh amalan yang boleh ditunaikan apabila ia dilihat menjadi satu keperluan, kebaikan dan keamanan buat wanita muslimah.

Berdasarkan pembacaan, 30 senarai berikut meliputi aspek ibadah, taharah, perhiasan, perkahwinan dan isu-isu semasa yang sering diperdebatkan kepada wanita seperti keluar dari rumah secara bersendirian atas sebab dan alasan yang tidak melanggar batas agama.

Karya ini disokong dengan hanya mengumpulkan dalil-dalil yang shahih bagi memastikan keringanan tersebut bukan diambil daripada sumber-sumber yang tidak jelas sehingga boleh diragukan status keringanannya.

Keringanan yang diberikan secara percuma dan berpahala ini dicungkil daripada hadis-hadis yang diyakini dan amat berkait rapat mengikut sesuatu peristiwa ataupun keadaan yang pernah dilakukan oleh baginda bersama ummahatul mukminin.

Di samping itu, pertanyaan-pertanyaan para sahabat wanita terhadap kemusykilan yang mereka alami sendiri ada yang mendapat persetujuan daripada baginda, menjadi kayu ukur terhadap kebolehan ini.

Sebagai contoh, hukum meminta cerai pada asalnya adalah haram bagi para isteri. Kendatipun begitu, ia boleh bertukar menjadi sesuatu hal yang diringankan untuk wanita menuntut talak sekiranya bimbang berlakunya fitnah dan menjerumuskan dia untuk menjadi isteri yang nusyuz ataupun tidak taat.

Hal ini berdasarkan aduan isteri Tsabit bin Qais yang membicarakan mengenai kekhuatiran terhadap masalah rumah tangganya sepanjang bergelar sebagai isteri kepada Tsabit. Lalu, Nabi SAW lantas memperkenankan bagi suaminya melafazkan talak.

Contoh lain pula, mengenakan parfum atau wangian bagi wanita mendapat ancaman keras daripada Rasulullah SAW. Pun begitu, wanita sebenarnya dibolehkan mengenakan wangi-wangian dengan syarat baunya sekadar untuk menghilangkan bau badan dan tidak sampai terhidu oleh lelaki lain yang bukan suaminya.

Kelonggaran-kelonggaran ini adalah tanda kepekaan agama kepada wanita muslimah dan menunjukkan bahawa Islam bukanlah ajaran yang keras menafikan hak-hak wanita.

Justeru itu, karya ini wajar menjadi bahan bacaan kepada semua mukminah kerana,

1. Rukshah ini tidak bermakna, kaum wanita perlu bermudah-mudahan meminggirkan larangan-larangan khusus untuk wanita. Oleh kerana itu, elok sekiranya wanita sendiri mendalami hal ini secara bersamaan.

2. Rukshah yang disenaraikan ini menarik kita untuk berkerja keras dalam beramal soleh agar tidak ketinggalan mengutip pahala yang banyak semasa di dunia.

3. Menjadi kewajipan kita sebagai wanita muslimah untuk membekalkan diri dengan ilmu pengetahuan agama bagi memantapkan kefahaman yang tuntas. Kerana wanita, adalah pendidik kepada generasi yang bakal dilahirkan kepada dunia.

Memetik blurb buku ini sebagai perenggan dan kesimpulan akhir,

“Risalah ini memiliki keunikan tersendiri dengan merangkum berbagai-bagai sisi kelonggaran syariat bagi wanita, yang umumnya dalam berbagai-bagai kitab, tercatat secara berserak-serak. Membaca buku ini, tak ubahnya menguak sisi-sisi indah ajaran Islam yang selama ini terabaikan.”


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67