Ulasan Buku : 26 Kes Yang Tak Terlupakan

26 Kes Yang Tak Terlupakan adalah kompilasi anekdot atau cerita-cerita pendek daripada petugas kesihatan yang berkongsi pengalaman sengit semasa bertugas mengendalikan para pesakit. Penulis dalam buku ini turut terdiri daripada dietitian dan juga therapist. Kata-pilar sentiasa segar menerbitkan buku-buku medik dan judul ini merupakan cetakan pertama tahun 2020 yang mengandungi 232 muka surat.

26 kes melibatkan 26 penulis memaparkan banyak kisah misteri yang sukar dilupakan dalam kalangan penulis sendiri. Penulis mempunyai kisah-kisah unik dan berbagai-bagai masalah dihadapi dalam mencari jalan keluar ketika hendak menyelamatkan nyawa pesakit. Masing-masing ada idea, taktik dan kepakaran mengawal kes-kes di hadapan mata secara tiba-tiba.

Aneh dan seram. Buku ini justeru membawa jejak hingga ke tanah perkuburan. Misalnya, Dr. Shafiq Said, pegawai quality control pernah ditugaskan di tanah perkuburan. Perasaan takut dan meremangkan badan dialami dasyat oleh Dr. Shafiq kerana sentiasa menyaksikan mayat digali bersama tim forensik ATM. Dalam kes yang lain pula, Dr. Saza S seorang doktor pelatih di Jabatan Ortopedik merakamkan kisah beliau apabila dihantui perasaan panik dan gelisah selepas memotong kaki pesakitnya.

Mihad seorang pesakit mental yang menghidap halusinasi dan kemurungan turut dimasukkan ke wad psikiatri oleh Dr. Zul Azlin. Merawat pesakit yang mengalami masalah jiwa memerlukan usaha keras dalam mengenal pasti punca dan masalah. Bahkan harus ada kesabaran tinggi. Naskhah ini menarik, kerana terdapat banyak lagi kes-kes mendebarkan dan mencemaskan keadaan.

Buku-buku medik tidak sunyi dari istilah atau perkataan-perkataan tinggi dalam ilmu perubatan. Sedikit mengganggu pembacaan apabila sebahagian perkataan tidak diberi makna, walaupun penulis lain dalam siri anekdot ini ada menjelaskan  dibahagian nota kaki.

Kolaboratif penulis-penulis dalam buku ini sedikit sebanyak menyedapkan rasa bacaan. Selain info medik menambahkan pengetahuan dan maklumat umum, adanya penggunaan kosa kata yang pelbagai. Contohnya :

Menunjal-menunjal, Sepicing, Rengsa, Nihil, Juihku, Berteleku, Tukasnya dan lain-lain.

Selepas membaca buku ini saya berpendapat bahawa pekerjaan sebagai doktor tidaklah begitu menyeronokkan. Tiap-tiap doktor kalut menangani kes-kes baharu. Namun, satu perkara yang saya kagumi, mereka memiliki satu semangat juang dan keberanian sebagai frontiliners. Bersedia berkorban nyawa untuk manusia tidak kira masa dan tempat. Buku ini memuatkan peristiwa benar, pengalaman manis, pahit dan nilai pengajaran yang luas untuk tatapan pembaca.

Moga coretan para penulis ini dapat menginsafkan dan menyedarkan kita.

selamat membaca.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67