Ulasan Buku : Travelog Di Bumi Khalifah

Pengenalan Kepada Turki dan Kegemilangannya

Buku ni antara buku yang terawal yang telah memperkenalkan saya tentang negara Turki, sejarah, budaya dan tokoh-tokohnya yang pernah dan masih lagi menjadi subjek kepada penerbitan sesebuah buku.Buku yang telah dihabiskan pembacaan pada 6 May 2016 ini telah memberi input yang bukan sedikit kepada saya dan sekaligus membolehkan saya berkongsi dengan pembaca-pembaca di luar sana. Telah menjadi kebiasaan kepada saya untuk mencatatkan isi-isi yang baru diketahui berbanding membuat ulasan tentang struktur, jalan penceritaan dan sebagainya. Memandangkan niat saya dalam membaca ini hanyalah untuk mendapatkan secebis ilmu baru dari penulis, saya merasakan adalah tidak wajar bagi saya untuk membuat ulasan yang akan mempengaruhi jualan buku tersebut. Baiklah. Ini di antara isi-isi yang saya dapat kongsikan untuk semua :

1. Mimar Sinan memang dikenali sebagai arkitek dan perancang utama kepada segala seni bina di Turki. Namun begitu, saya tidak pernah menyangka bahawa beliau rupa-rupanya dilahirkan dalam keluarga Kristian dengan nama asalnya ialah Joseph. Beliau memeluk agama Islam apabila berhijrah ke Turki pada usia remaja. Dalam banyak rekaan, beliau paling berpuas hati dengan Masjid Selimiye yang berada di kota Edirne.

2. Bumi Turki sememangnya dikenali sebagai sebuah negara yang sering mengalami bencana alam,khasnya gempa bumi. Semasa buku ini ditulis, bencana alam yang berlaku akhir sekali pada tahun 1999 di mana ianya telah menyebabkan 18,000 orang terbunuh. Tetapi, gempar ini bukanlah yang paling dasyat pernah dicatatkan. Pada tahun 1509, gempa yang disertai dengan tsunami telah menyebabkan lebih daripada 10,000 orang meninggal dunia dan 100 buah masjid musnah. Bencana yang seterusnya dicatatkan pada tahun 1766 dan 1894. Faktor utama yang menyebabkan bencana ini terjadi adalah disebabkan oleh kedudukan Kota Istanbul yang terletak pada garisan pertemuan 2 plat tektonik, iaitu Plat Afrika dan Plat Eurasia.

3. Sultan Muhammad Al-Fatih pernah mengingatkan, “barangsiapa yg menukar Masjid Hagia Sophia kembali menjadi gereja,maka akan berolehlah baginya kutukan dan laknat dariku dan dari Tuhan Masjid ini,”. Kutukan tu menjadi akhirnya menimpa pada seorang manusia yg bernama Mustafa Kemal Ataturk. Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa Mustafa Kemal Ataturk merupakan seorang negarawan dan berjasa besar dalam menyelamatkan Turki dari ‘dilahap’ oleh kuasa-kuasa besar selepas Perang Dunia Pertama. Jadi, kajian tentang Mustafa Kemal Ataturk perlu dilakukan dengan lebih teliti supaya kita dapat memberi keadilan kepada beliau dan masyarakat Islam khasnya.

4. Syeikh Haci Bayram Veli merupakan pengasas kepada tarikat Bayramiah. Beliau lah yang pernah memberitahu ayah Sultan Fatih, Sultan Murad II bahawa anak baginda yang inilah nantinya akan membenarkan hadis Nabi tentang pembukaan Kota Konstantinople oleh umat Islam.Sultan Fatih pada masa ini masih di dalam buaian lagi. Selepas mendengar kata-kata dari Syeikh Hadi itulah, bermulanya segala persediaan dan latihan untuk menjadikan Sultan Muhammad Al- Fatih sebagai seorang pemimpin agung bagi umat Islam.Antara kata-kata Syeikh Haci yang lain ialah “………..kami doakan Tuanku. Tugas kami ialah mendidik masyarakat. Izinkan kami mendidik masyarakat supaya tugas Tuanku mengurus mereka menjadi mudah.Kiranya masyarakat tidak terdidik, Tuanku mungkin menghadapi kesulitan mentadbir mereka kelak’.

5. Semasa Turki mendapat kemerdekaan, seorang ahli parlimen pernah bertanya kepada Lord Curson, ”Mengapa hanya Turki yg merdeka, bukan negara-negara Arab yang lain? Lord Curzon menjawab, “Hakikatnya Turki telah dimusnahkan & tidak akan bangkit lagi, kerana kita telah menghancurkan kekuatannya iaitu Khalifah dan Islam”. Makan dalam kan ayat ni? Jadi, renung-renungkan.

6. Seperti mana Sultan Muhamamd Al-Fatih, kehebatan Jalaluddin Rumi disedari seawal beliau berumur 8 tahun lagi seorang sufi besar bernama Syeikh Fariddudin Attar. Syeikh Fariddudin telah menyatakan kepada ibu bapa Jalaluddin Rumi yang beliau akan menjadi seorg Sufi besar pada masa hadapan. Terbukti, jasa Jalaluddin bukan sahaja gah di dunia Islam, bahkan di seluruh pelusok dunia. Pada tahun 2007, UNESCO telah membuat satu sempena memperingati kelahiran beliau. Melalui jasa Jalaluddin juga, tarikat Mawlawiah ditubuhkan dan tarian Sema diperkenalkan.

7. ‘Ulu’ dalam bahasa Turki bermaksud ‘besar’.

8. Kubur sahabat Nabi,Abu Ayyub Al-Ansari yang syahid tu sebenarnya berada di lokasi yang lain. Selepas lima tahun pembukaan Konstantinople, Sultan Fatih bermimpi kedudukan kubur Abu Ayyub yang sebenar. Sultan Muhammad Al-Fatih seterusnya memerintahkan supaya sebuah masjid dan makam dibina untuk Abu Ayyub di Masjid Eyub Sultan.

9. Istana Dolmabahce dibina atas arahan Sultan Abd Mecid 1 dan merupakan tanda awal dan punca utama keruntuhan Turki Uthmaniah.Dibina hanya disebabkan baginda terpesona selepas melihat Istana Versailles yang berada di France.Menelan belanja hampir 5 juta £ emas Uthmaniah atau 35,000 kg emas.14,000 kilogram daripadanya digunakan hanya untuk perhiasan dalaman.Di istana ini merupakan lokasi Mustafa Kamal Attaturk meninggal dunia. Sultan Abd Hamid II, sultan yang Berjaya memepertahankan bumi Palestin sehingga titisan kudrat baginda yang terakhir tidak mempunyai keinginan untuk mendiami istana ini disebabkan oleh sifat baginda yang tidak menyukai kemewahan.

Jadi, ini adalah intipati menarik yang dapat saya kongsikan untuk semua. Saya berharap semuanya akan memberi manfaat kepada para pembaca.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Noor Aishah Adam
Noor Aishah Adam
Articles: 1