Ulasan Buku : Tersujud Di Bumi Eropah

Penulis buku : Sabatini Dzue

Pengulas : Nur Hidayah Waad

Kisah pertama, mengisahkan perjalanan seorang niqabis, Sabatini bersama suami dan dua putera kembarnya di bumi Eropah. Perjalanan tersebut memakan masa selama 20 hari bermula dari UK ke Kota Paris, Perancis. Kemudian menaiki bas dari Paris ke London tetapi gagal. Mereka dihantar semula ke Calais (sempadan Perancis). Dari Calais menaiki kereta api ke Brussels, Belgium. Seterusnya, menaiki bas ke Frankfurt, German dan menaiki kereta api ke Giessen, German. Mereka akhirnya pulang semula ke Frankfurt dan ke Utara German iaitu Cologne dan tamat di Amsterdam.

Perjalanan selama di Eropah tidak seperti perancangannya. Maka benarlah, kita merancang dengan cita-cita, namun Allah merancang dengan cinta. Di Eropah terdapat dua negara yang mempunyai larangan penuh bagi pemaikaian niqab iaitu Perancis dan Belgium. Manakala negara Eropah lain seperti Belanda, Sepanyol, Switzerland dan Itali terdapat larangan di kawasan tertentu. Namun, ini tidak mematahkan perjalanan Sabatini di bumi Eropah.

Sepanjang perjalanan tersebut Sabatini bertemu dengan pelbagai ragam manusia dan latar belakang. Namun yang paling menyentuh Sabatini apabila perjalanannya menemukan dia dengan wanita yang telah bercerai dan mempunyai beberapa orang anak seperti Maryia di Paris dan Mine wanita Turki tetapi kini menetap di Brussels. Hal ini membuatkan Sabatini sedar bahawa tiada apa yang dapat kita pastikan sama ada sesuatu yang diusahakan itu berjaya kekal atau tidak. Tidak kiralah ianya ialah hubungan, perniagaan, mahupun kehidupan. Apa yang pasti, kita perlu berusaha.

Kisah kedua, buku ini menceritakan kesungguhan Sabatini dalam usaha melanjutkan pelajarannya di sebuah universiti terkemuka dunia. Kesungguhan, kecekalan hati dan matlamat yang jelas membuatkan Sabatini kembali ke UK setelah dua tahun pulang ke Malaysia.

Pertemuannya dengan seorang pelajar pintar dalam bidang Biomedikal Sains yang cenderung untuk belajar agama berbanding meneruskan pengajian dalam bidang sains telah menjadi pemangkin semangatnya untuk terus mencari ilmu.

Seorang penceramah agama telah berkata kepada pelajar pintar tersebut, “Teruskan belajar ilmu dunia tapi awak juga perlu belajar ilmu akhirat, supaya anda boleh menjadi wanita yang terpelajar yang penuh dengan ilmu dunia dan akhirat. A great and pious woman scholar. Supaya saya boleh menghantar anak perempuan untuk belajar dengan anda”.

Maka Sabatini berharap menjadi salah satu wanita hebat dalam bidangnya supaya dia boleh mengharumkan nama Islam. Sabatini bukan sahaja ingin menjadi wanita berilmu tetapi ingin membina bahagia bersama keluarga kecilnya, menjadi isteri yang dapat menjalankan tanggungjawab ke atas suaminya dan ibu yang dapat melihat anak-anaknya membesar. Maka, buku ini turut menceritakan bagaimana Sabatini sebagai seorang isteri, ibu, anak dan pelajar.

Kisah ini ringan untuk dihadam. Namun, terselit banyak hikmah. Antaranya, kebergantungan pada Allah di mana pun keberadaan kita, ikhlas apabila sesuatu itu tidak berjalan seperti perancangan, melupakan kisah silam dan mulakan sesuatu yang baru, berani menghadapi cabaran, istiqamah dengan apa yang kita kerjakan, bersabar saat ditimpa musibah dan ujian dan kekal husnudzon (bersangka baik) dengan ketentuan Allah dan bukan mencari sesuatu atau seseorang untuk dipersalahkan.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Nur Hidayah Waad
Nur Hidayah Waad
Articles: 1