Ulasan Buku : Coretan Buku Terpakai

Naskhah berjudul Coretan Buku Terpakai adalah himpunan tulisan Tuan Cheklem atau nama sebenar penulis ialah Encik Abdul Halim. Buku ini memuatkan perjalanan kisah hidup dan pengembaraan penulis yang berkhidmat sebagai penjual buku-buku terpakai. Buku yang diterima ialah buku-buku yang sudah pernah digunakan atau dibaca dan kemudian dijual secara langsung kepada pelanggan.

Berbagai-bagai kisah penuh luahan dan dialog disimpul menjadi anekdot membuatkan naskhah ini menjadi sebuah buku yang santai, ringan, lucu dan menghiburkan.

Cheklem atau Encik Abdul Halim memulakan perniagaan menjual buku pada tahun 1998 – 2000 bersama Outlet Francais Popular Bookstore di Sek 18 Shah Alam. Beliau kemudian meneruskan lagi kerjayanya pada tahun berikut dengan menjual buku terpakai di eBay, mudah.My dan Facebook.

Saban tahun, Cheklem cuba menggunakan medium berbeza-beza untuk menjual buku-bukunya. Bermula tahun 2012 beliau berjaya menguruskan setor buku yang sekarang terletak di Saujana Puchong, SP3. Pada tahun 2016 sehinggalah kini beliau mulai bergerak sebagai agen mobile book cafe.

Sebagai pengusaha buku terpakai beliau kerap ke sekolah-sekolah tertentu berserta koleksi buku-buku yang ada di dalam mobile book cafe dan akan menjual kepada para pelajar dengan harga yang berpatutan. Antara sekolah yang pernah dilawati ialah sekolah SJKC Chung Hua, Tampin. Sekolah cina tapi ramai pelajar berbangsa Melayu dan India.

Paling teruja membaca kisah hidup Cheklem ketika beliau pernah dikunjungi oleh peminat buku berbangsa Rusia bersama isteri berketurunan orang melayu dan anaknya mencari buku Islam Hadhari karangan Tun Abdullah Bin Ahmad Badawi di Setor Buku Terpakai, Saujana Puchong. Nampak gaya, setor buku Cheklem turut dikunjungi segelintir orang asing yang meminati buku dan ilmu.

Sewaktu menerima dan menjual buku-buku terpakai beliau juga kerap dilanda bermacam-macam ujian. Ada yang menawarkan harga lebih murah, ada yang mahal tak sepadan dengan kulit buku misalnya. Ada yang pernah jual dengan harga yang murah rupa-rupanya buku kurang muka surat. Walaupun cuma buku terpakai dan murah, kualiti asal sangat diperlukan kerana Cheklem akan menjual kepada pelanggan-pelanggannya.

Beliau menyimpan banyak buku-buku cetakan lama dan saya mengira terbitan buku lama mencuri perhatian dikalangan pembaca. Antara buku lama tersebut, The Singapore Grip, cetakan tahun 1988, setebal 572 halaman, karya J.G Farrell. Bukan itu saja, beliau justeru memilik Kamus English cetakan German berhalaman 640 muka surat lebih kecil dari kad bank yang kita lihat dan pegang. Saiz dan bentuknya akan dapat kita lihat di dalam kandungan buku ini.

Cheklem menjual buku pelbagai bentuk genre seperti novel, komik, majalah, agama, buku sekolah, rujukan dan sebagainya. Pada yang berminat bolehlah berkunjung ke Setor atau membeli secara talian di laman Facebook Buku Terpakai. Saya sebagai followers buku terpakai pernah membeli berkali-kali dengan Tuan Cheklem. Buku yang pernah saya beli adalah buku-buku terbitan dari negara jiran, Indonesia. Servis yang tiptop, harga buku yang ditawarkan murah ditambah pula buku-buku itu sangat tebal dan masih berbalut (buku baharu). Bukan itu saja, terlalu banyak buku-buku bagus dan berkualiti yang dipamerkan. Rugi rasanya jika tidak singgah mencuci mata.

Di samping membaca dan meneladani kisah si penjual buku, disini juga kita dapat berkenalan dengan beberapa toko buku, penulis, dan lambakan buku yang disajikan. Istimewanya buku ini kerana turut melampirkan gambar buku dan rakaman perjalanan buku terpakai. Lagi indah jikalau gambar-gambar tersebut ada warna tanpa hanya dihitam putihkan.

Buku ini adalah hadiah daripada penulis kepada saya sempena mengikuti peraduan cipta slogan AHB di facebook buku terpakai yang telah berlangsung pada 3 JUN 2020. Sebagai pemenang, saya bersyukur kerana dapat mengenali Coretan Buku Terpakai secara percuma.

Jom dapatkan buku ini.

Selamat Membaca.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67