Ulasan Buku : 4 Bulan Di Amerika

Saya baru sahaja selesai membaca dua buah naskhah buku karangan HAMKA mengenai pengembaraan beliau ke Amerika. Bukan satu karya yang biasa-biasa, walaupun ditulis dengan laras bahasa yang santai seakan-akan travelogue. Namun travelogue Hamka tidaklah akan sama dengan travelogue yang kita dapati seperti hari ini; kerana fakta dan laras bahasa Hamka sememangnya sentiasa unik dan tersendiri.

Pada tahun 1952, Hamka telah dijemput oleh kerajaan Amerika Syarikat untuk melawat negara itu selama 4 bulan ( 25 Ogos hingga 25 Disember). Buku ini pula adalah hasil tinjauan beliau mengenai lawatannya itu setelah ramai daripada rakan dan muridnya meminta beliau untuk menulis dapatan daripada lawatannya itu.

Saya bentangkan sedikit coretan menarik dalam buku tersebut supaya anda pun tertarik untuk membacanya pula.

Jilid pertama menceritakan pandangan perjalan sepintas lalu tentang tempat-tempat yang diziarahi, universiti yang dimasuki, dan gereja yang didatangi. Antaranya ialah Washington D.C, New York City, Michigan, Colorado, Utah, California, Arizona, Florida, dan lain-lain.

Kemudian, dalam jilid kedua barulah dituliskan kesan-kesan, perbandingan, tinjauan, kelebihan orang di sana dan kekurang orang kita. Dituliskan juga pengharapan Indonesia pada masa hadapan apabila melihat kemajuan negeri orang.

JILID 1

Hollywood

Antara perkara yang menarik ialah apabila Hamka menceritakan perihal Hollywood di Amerika. Hollywood pada masa itu sudahpun menjadi satu tempat yang terkenal dengan industri perfileman. Sehinggakan Hamka menyifatkan Hollywood ialah satu macam khayal duniawi.

Dunia perfileman pada masa itu sudah terlalu asyik dalam dunia mereka sehinggakan kata beliau :

Hollywood telah demikian besar pengaruhnya dalam khayal kerana filem-filemnya. Dan ahli-ahli filem bermula dari pembuat, perancang, penerbit, pengarang, sampai kepada bintang filemnya berfikir siang dan malam bagaimakah caranya supaya segala golongan, segala bangsa dan segala tingkat umur dapat menonton filem dan dapat di ikat terus menerus dengan khayal Hollywood.

Kata-kata Hamka tersebut jika di lihat, masih lagi terpakai hingga sekarang. Iaitu apabila kita melihat anak-anak muda di zaman ini amat bergantung dan terpengaruh dengan filem-filem dari Barat.

Apabila diumum sahaja akan keluar satu filem baru, maka anak-anak muda kita seakan hilang akal mahu menonton. Panggung wayang akan penuh dan dihujani dengan lautan manusia, kemudian akan ada lagi sambungan dan sambungan daripada cerita tersebut. Agar akan ada dana dan keuntungan yang akan diperoleh dari orang ramai.

 

FATHER DIVINE

Kemudian, berlaku satu pengalaman yang lucu apabila Hamka melawat Philadelphia ketika menziarahi Haverford University.

Di negeri tersebut terdapat satu kumpulan dipanggil kumpulan Quaker yang mempunyai seorang ketua yang mengaku dirinya menjadi Tuhan. Sesampai di markasnya, didapati pengikutnya pada masa itu tidak kurang dari 100 orang.

Kemudian Hamka berpeluang pula bertemu sendiri dengan orang yang dikatakan Father Divine itu.

Saya perhatikan mukanya. Dia adalah seorang Negro, rambutnya dicukur habis, sebab itu tidak ada lagi kerintingnya. Kepalanya tertonjol ke belakang, gemuk dan pendek. Sekuntum bunga ros kecil tersisip di kelopak bajunya. Diulurkan tangannya kepada kami dan dipersilalahkannya duduk.

Saya perhatikan sebentar perempuan yang banyak itu. Semuanya adalah wanita-wanita pilihan belaka. Sebelah kirinya duduk yang paling cantik di antara segala yang cantik dan manis itu. Itulah “Mother”, isteri beliau. Usianya kira-kira 30 tahun.

Seterusnya berlaku dialog antara Hamka dan Father Divine.

Kami bertanya : “Sudah berapa tahun Father memulai seruan damai yang amat penting ini?”

“Saya? Saya tidak diikat oleh tahun!”

“Oh ya, maaf.” Kata saya.

“Sudah pernahkah bapa melawat negeri-negeri yang banyak pengikut bapa itu? Sebagaimana Eropah atau Australia?”

“Saya tidak terikat disatu tempat. Walaupun saya belum pernah ke sana, namun saya ada di sana!’

“Oh ya, maaf!” kata kami.

Dia pun tesenyum sedikit dan wanita –wanita itupun tersenyum.

Setelah lama berbincang dan merasa sudah cukup untuk mengetahui, kami pun meminta diri.

“Harap tuan sudi menunggu  sebentar!” katanya pula. Lalu dia pun bediri dan keluar sebentar. Sedang dua keluar itu, isterinya pun berkata : “Kami percaya bahawa dia adalah tuhan!”

“Jelmaan dari Jesus Christ?” Tanyaku.

“Bukan! Tapi jelmaan dari bapanya Jesus Christ!”

“Tobat!” Kataku dalam hati!

  • 4 Bulan di Amerika, Jilid 1 mukasurat 166 –

 

DAPATAN BUKU

Setelah saya membaca buku jilid 1 ini, saya dapati buku ini merupakan satu karya pada masa itu, dan masih terpakai hingga masa kini. Bayangkan pada tahun 1952, dunia di negeri kita ini masih lagi mundur dan tidak membangun seperti sekarang. Jalan-jalan masih lagi berlumpur dan bersemak.

Dunia juga masih banyak tempat yang terputus hubungan. Tidak Facebook, tidak Instagram untuk dimuat naik gambar, dan malah tidak ada internet pun. Tiba- tiba ada seorang yang berpeluang melihat sisi dunia yang lain, bahkan dapat melawat Amerika pula. Maka sudah tentu sebarang karya atau dapatan daripada perjalanan tersebut menjadi mahal harganya.

Orang dahulu, apabila dapat pergi ke suatu-suatu tempat yang menarik, diperhatikan dan dikaji betul-betul negeri itu dan diambil pula apa yang baik untuk dibawa pulang. Malah dapat dibuat buku pula hasil perjalanan tersebut untuk tatapan orang yang tidak dapat ke sana.

Orang sekarang, apabila pergi ke suatu-suatu tempat yang menarik, hanya gambar dan nama tempat sahaja yang kita dapat dari mereka. Sekadar boleh melihat suasana, tetapi tidak dapat belajar dari apa yang telah dihabiskan wang itu.

Apabila ditanya, “Apa yang kamu dapat dari perjalanan ini?”

“Entah, saya pun tidak tahu!”

Mungkin inilah juga keburukan dari kemajuan perjalanan dan pengangkutan masa sekarang. Apabila perjalanan semakin mudah, ia menjadi semakin tiada nilai.

Semoga setiap tempat yang kita lawati menjadi satu manfaat pula kepada orang lain.

Manfaat untuk orang tengok.

Untuk orang belajar.

Dan untuk orang berfikir dengannya.

10 Febuari 2018.

Peringat, Kota Bharu Kelantan.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Baihaqi Mohamad
Baihaqi Mohamad

Graduan dari Manipal University dalam Jurusan Perubatan (MBBS)Pembaca tegar dan penulis sampingan.

Membaca untuk mengenal diri, menulis untuk memberi.

Articles: 1