Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Sayyid Qutb – Pendakwah • Pemikir • Intelektual

Ulasan Buku : Sayyid Qutb – Pendakwah • Pemikir • Intelektual

1) Sayyid Qutb adalah seorang pemikir Islam yang ulung dan penulis yang prolifik. Seawal usia mahasiswa lagi beliau telah menunjukkan kepimpinan dengan mengkritik pengurusan universiti dan mengusulkan beberapa perubahan.

2) Semasa pemerintahan Raja Farouk, iaitu Raja Mesir ketika itu yang boros dan menjadi boneka British, beliau tidak putus-putus menulis risalah mendesak golongan intelektual memimpin rakyat bangkit menentang kepimpinan Raja Farouk yang dilihat lemah, boros dan menjadi boneka British sedangkan rakyat hidup melarat.

3) Setelah bergabung dengan Ikhwanul Muslimin, Sayyid Qutb bekerjasama dengan Gerakan Perwira Bebas (Free Officer) yang diketuai oleh Jamal Abdul Nasser, sepakat untuk menggulingkan Raja Farouk. (Ini adalah hasil ijtihad Ikhwanul Muslimin ketika itu dan saya tidak cukup berani untuk mengulas kerana ia melibatkan perbahasan Fiqh).

4) Sayyid Qutb bersetuju untuk mengetuai revolusi ini. Melalui tulisan-tulisan beliau yang membakar semangat rakyat Mesir untuk menuntut pembaharuan, rampasan kuasa berjaya dilaksanakan dengan aman. Sayyid Qutb dijulang sebagai pejuang revolusi.

5) Namun, setelah mendapat kuasa, Jamal Abdul Nasser ternyata mengkhianati perjuangan Ikhwanul Muslimin. Mereka enggan membangunkan kerajaan yang berbasiskan Syari’at Islam. Sayyid Qutb dan Ikhwanul Muslimin bangkit menentang. Kawan menjadi lawan. Dipendekkan cerita, akhirnya Sayyid Qutb dan Ikhwanul Muslimin disumbat dalam penjara. Mereka diseksa dengan seksaan yang tidak berperikemanusiaan seperti digigit dengan anjing buas dan dipukul dengan cambuk setengah mati.

6) Dalam penjara, pejuang-pejuang Ikhwanul Muslimin tidak kesunyian. Mereka ditemani dengan hafazan Al-Qur’an. Penjara-penjara bergema dengan alunan bacaan Al-Qur’an kerana masing-masing sibuk mengulang-ulang hafazan. Bahkan sepanjang tempoh pemenjaraan, dengan bantuan Zainab Al-Ghazali, Sayyid Qutb berjaya menulis beberapa buah buku yang unggul antaranya Tafsir fi Zhilalil Qur’an. (Bagi saya, sesiapa yang merendah-rendahkan Tafsir fi Zhilalil Qur’an patut malu dengan diri mereka sendiri. Sepatutnya mereka terlebih dahulu membandingkan sumbangan dan perjuangan yang telah dilalui oleh Sayyid Qutb berbanding diri mereka).

7) Akhir sekali, Sayyid Qutb dan sahabat-sahabatnya dijatuhkan hukuman mati sekalipun hukuman ini mendapat kecaman seluruh dunia Islam. Acap kali Sayyid Qutb digoda supaya menulis surat permohonan maaf agar beliau segera diampunkan. Sekalipun disaat tali gantung sudah berada di leher, beliau tetap enggan memohon maaf kepada pemerintah yang zalim dan kekal di atas keimanan.

8)Antara pengajaran ringkas yang boleh diambil adalah :

Sewaktu kita dalam keadaan senang dan bebas ini, sibukkanlah diri mengumpul ilmu, hafazan Al-Qur’an dan iman kerana ketiga-tiga perkara inilah yang akan menemani dan menjadi benteng diri ketika kita susah kelak.

1. Ilmu – Walaupun dipenjara, ternyata Sayyid Qutb tetap berjaya menulis beberapa buah buku. Bahkan tulisan beliau kian berkualiti dan “berharga”. Tidak sedikit dari manusia yang apabila diuji makin bertambah kesesatannya. Saya berpendapat ini kerana mereka tidak dipandu dengan ilmu untuk mengharunginya.

2. Hafazan Al-Qur’an – Ini tidak perlu diulas panjang. Lihatlah ketenangan yang dikecapi oleh banduan-banduan Ikhwanul Muslimin.

3. Iman – Godaan yang diterima oleh Sayyid Qutb sepanjang penyeksaannya teramat dahsyat sekali. Sehinggakan disaat dipenghujung hayat, beliau tetap diuji. Saya fikir, ini kalau bukan calang-calang iman, pasti terjerumus.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca