Ulasan Buku : Perempuan Yang Baik-Baik Dalam Al-Quran dan Lelaki Yang Hebat-Hebat Dalam Al-Quran

Membaca Al-Quran merupakan amalan yang baik dalam memenuhi keperluan rohani namun membaca kalimah Allah SWT berserta terjemahan dan tafsiran yang ditafsir oleh ulama-ulama yang berkelayakan menghasilkan mata hati yang lebih celik dan jaga akan hukum yang diturunkan sang pencipta. Kekurangan dari segi pendidikan dan pendedahan terhadap Al-Quran membuatkan kita hilang punca dan tidak tahu mahu bermula dari mana. Buku Perempuan Baik Baik dan Lelaki Hebat Hebat adalah antara buku tadabbur yang dimuatkan secara terperinci maksud dan makna ayat. Penggunaan bahasa yang santai dan senang memudahkan misi menghayati Al-Quran individu biasa.

Perempuan Baik Baik merangkumi lapan kisah iaitu surah an-Nisa’ : kemuliaan wanita, surah al-Qasas : ibrah kisah ibu Nabi Musa as, surah Maryam : perempuan yang didatangi Jibril, surah al-Mujadalah : perempuan yang mengadu, surah al-Muntahanah : perempuan yang diuji, surah at-Tahrim : perempuan yang berbisik-bisik, ketujuh kisah tiga perempuan di dalam neraka dan akhir sekali surah Yusuf : konspirasi Zulaikha. Manakala Lelaki Hebat Hebat menghimpunkan kisah pemuda ashabul kahfi, Nabi Ibrahim as, Nabi Ismail as dan Nabi Daud as ketika muda dan akhir sekali kisah Nabi Isa as dan pemuda hawariyun. Penulis mengutarakan sumber kisah pemuda ashabul kahfi iaituAl-Quran dan juga Kristian, ibrah dari ayat ayat pemuda ini, kaitan pemuda pemuda ini dengan sepuluh ayat pertama surah al-kahfi dan ibrah melalui akronim ashabul kahfi. Kupasan pemuda pemuda ini memakan lebih dari separuh buku.

Berikut merupakan penerangan perincian yang terdapat dalam dua buku ini. Walaubagaimanapun contoh hanya diambil dari Perempuan Baik Baik.

1) Sirah disebalik penurunan ayat. Contoh, surah al-Qasas diturunkan ketika hujung hujung masa sebelum perintah berhijrah ke Madinah diturunkan. Pada waktu ini pembantaian hebat dilakukan terhadap umat Islam di Mekah. Pakatan musyrik Quraisy sedang berada di kemuncak. Antara usahanya adalah hendak membunuh Rasulullah saw. Hal ini menyebabkan para sahabat berada dalam ketakutan dan sangat bimbang. Kisah Nabi Musa as inilah yang memberi kekuatan dan ketenangan kepada para sahabat kerana kisahnya sama dengan keadaan para sahabat pada ketika itu.

2) Seni penyusunan ayat Al-Quran dari urusan kecil hingga ke urusan yang lebih besar dan kembali semula ke urusan kecil. Tiada perkara yang dibuat Allah SWT untuk tujuan saja- saja melainkan ada perkara yang ingin disampaikan. Surah an-Nisa’ disusun bermula dengan isu kecil iaitu isu keluarga diikuti dengan isu yang lebih besar iaitu berkaitan yahudi kemudian isu ancaman yang lebih besar iaitu hal golongan munafik kemudian disusun semula isu-isu secara terbalik (hal orang-orang yahudi – golongan munafik – hal rumah tangga). Apa yang boleh dirumus adalah hal-hal yang kecil seperti yang berlaku dalam kerukunan rumah tangga mempunyai kesinambungan kepada isu-isu besar. Setiap yang besar akan bermula dengan kecil. Sikap mengabaikan dan meremehkan perkara kecil akan terbawa-bawak dalam menguruskan hal yang lebih besar.

3) Ketepatan bahasa arab Al-Quran dalam menerangkan situasi suatu kisah. Penggunaan perkataan yang tepat sangat perlu supaya tiada salah faham. Perkataan ‘ف’ dalam surah Maryam (ayat 21-22) menunjukkan dengan pantas Maryam hamil. Sesetengah ulama mengatakan proses kehamilan mengambil masa lima hari dan bukan sembilan bulan. Ini berdasarkan perkataan ف’ ‘ tersebut yang menunjukkan proses berlaku dengan begitu pantas. Hanya Allah SWT yang lebih mengetahui.

Tidak dinafikan penerangan dalam kedua buku ini sangat bagus untuk dijadikan rujukan dalam mentadabbur Al-Quran namun sebaik-baik pengajaran adalah dengan adanya guru untuk mengelakkan ter’berguru’ dengan syaitan. Sumber utama umat Islam yang tiada keraguan akan kesahihannya adalah Al-Quran, hadis dan dalil-dalil selain dari itu tidak pulak mengiyakan dan tidak pula menidakkan, cukuplah kita bersederhana dalam menyampaikan lagipula kita bukan ahlinya. Wallahualam.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Mashitah Wan
Mashitah Wan
Articles: 1