Ulasan Buku : Lelaki Yang Hebat-Hebat Dalam Al-Quran

“Bacalah kisah-kisah pemuda dalam al-Quran kerana padanya ada penawar kepada penyakit-penyakit jiwa orang muda.

Padanya ada potensi-potensi sebenar yang seharusnya dikuasai dan ia menjadi penanda aras kepada pencapaian seorang pemuda.

Padanya juga ada peringatan demi peringatan mengenai kepentingan Iman dan amal soleh pada waktu bergelar remaja dan pemuda.”

3/4 buku ini menceritakan tentang Ashabul Kahfi dan selebihnya menceritakan tentang ujian yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Nabi Daud dan Nabi Isa AS ketika di usia muda.

Ustaz Syaari menghuraikan dengan terperincini kisah Ashabul Kahfi yang ditulis di dalam surah Al-Kahfi bermula pada ayat pertama sehinggalah ayat ke 22.

Sebagaimana yang kita tahu, para pemuda Al-Kahfi telah melarikan diri ke dalam gua kerana tampuk pemerintahan pada ketika itu dinaungi oleh kepimpinan Maharaja Decius yang kejam.

Pada ayat ke 15, mereka (Ashabul Kahfi) menyeru kepada kaum mereka agar menyembah Allah di dalam sebuah hari kebesaran maharaja. Pada ketika itu, seluruh rakyat jelata dan pembesar dikumpulkan di tempat yang sama.

Mereka sedar nyawa mereka terancam. Lalu demi memelihara akidah dan keimanan, mereka memilih untuk bersembunyi di dalam gua.

Mengapa mereka tidak menyembunyikan sahaja keimanan mereka?

Jika mereka menyembunyikan keimanan mereka, ini bermakna mereka hanya beriman untuk diri sendiri sebaliknya jika mereka menyeru keseluruhan kaum pada ketika itu, ia beerti mereka akan menyelamatkan lebih ramai manusia dari jalan kesesatan.

Allah tidak membiarkan mereka tidur begitu sahaja. Bahkan Allah memelihara mereka dengan keadaan gua yang sesuai dan bekalan cahaya matahari yang mencukupi. Turut diceritakan dalam ayat ke 18, Allah membolak balikkan tubuh mereka agar tidak mamah dengan tanah.

Setelah ditidurkan selama hampir 309 tahun,salah seorang Ashabul Kahfi diarahkan untuk ke pasar sebagai wakil untuk membeli bekalan makanan sebagaimana yang tertulis pada ayat ke 19.

Mereka tidak tahu seberapa lamakah mereka telah tidur. Maka salah seorang dari mereka berpesan kepada utusan yang akan keluar dari kawasan gua agar

1. Menjaga amanah. Sekiranya rakyat dapat mengesan bahawasanya dia adalah salah seorang Ashabul Kahfi, hendaklah dirahsiakan kedudukan Ashabul Kahfi yang lain.

2. Memilih makanan yang baik. Meskipun sedikit, ia sudah memadai untuk mengalas perut mereka.

3. Mencari keberkatan dengan rezeki yang halal.

4. Menjaga emosi ketika bermuamalah.

5. Memfokuskan pelan bertindak agar pergerakan utusan tadi tidak mendatangkan rasa curiga kepada rakyat jelata.

Sebegitu teliti sekali perancangan mereka di dalam menghantar utusan tanpa menyedari bahawasanya pada ketika itu, agama Islam telah pun tersebar luas.

Mata wang yang digunakan oleh utusan tadi telah menjawab persoalan rakyat jelata tentang cerita pemuda yang hilang sewaktu pemerintahan Maharaja Decius.

Selain itu, watak anjing yang disebut bersama Ashabul Kahfi telah mengajar kita untuk sentiasa mendampingi orang soleh.

Menurut Imam Qurtubi, anjing itu dimuliakan kerana mengekori orang yang beriman. Jika Allah mampu mengangkat kedudukan seekor anjing, inikan pula darjat seorang Mukmin yang sering mendampingi orang soleh ketika di dunia.

Salah satu pengajaran terbesar di dalam surah ini ialah nama-nama pemuda Ashabul Kahfi tidak disebut langsung di dalam Al-Quran, untuk membuktikan bahawasanya orang biasa juga mampu memiliki keimanan yang luar biasa meskipun pada usia yang muda.

10/10👍✨

#MembinaLegasiIqra’

 


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Siti Nor Afifah Abdul Razak
Siti Nor Afifah Abdul Razak
Articles: 8