Ulasan Buku : 10 Tokoh Idola Muslimah

Ulasan Buku : 10 Tokoh Idola Muslimah

Ulasan Buku Oleh : Aishah Nerina
Tajuk Buku : 10 Tokoh Idola Muslimah
Penulis Buku : Puan Sakinah Salleh

“ Wanita! Ia sehebat gelaran sebagaimana tercatatnya satu surah dalam Al-Quran. Ini menyebabkan seringkali wanita terpanggil mencari resepi-resepi kejayaan dalam kehidupan. Isu semasa yang sering dikaitkan dengan wanita adalah kononnya wanita adakala perlu ada superskill, berkebolehan, mampu mengurus rumah tangga, dan juga kerjaya serta apa saja tanggungjawap. Realitinya, wanita yang di katakan hanya menghayun buaian mampu menggoncang dunia ada ketikanya hati menjadi rapuh apabila berdepan cabaran kehidupan.

Bagi menghadapi perkara ini, kaum wanita perlu mempertingkatkan dan memperbaiki diri demi menggalas tugas dan tanggungjawap mereka. Sebagai wanita, mungkin mereka tidak sempurna dalam semua perkara tetapi setidak-tidaknya ia boleh diperbaiki dan ditambah baik apa yang ada. Wanita ibarat lilin adakalanya terlalu banyak berkorban sehingga terlupa bagi membela diri. Ada ketikanya mereka tidak ada masa bagi merehatkan diri kerana tumpuan masa sepenuhnya diberikan kepada tugas rumah tangga dan juga kerjaya. Segelintir wanita seringkali merungut kerana terpaksa melakukan banyak perkara, sehingga tidak dapat memberikan perhatian untuk diri sendiri.”

Mengenai Buku :
Buku ini mengajak para pembaca menelusuri dan menghayati sejarah perjuangan insan-insan hebat iaitu perjuangan tokoh-tokoh wanita islam pada zaman silam, dimana seharusnya kisah kehidupan mereka perlu dijadikan pedoman dan juga teladan kepada umat terkemudian di samping sebagai peringatan dan panduan dalam mengemudi bahtera kehidupan. Hakikatnya, mereka berjaya meletakkan nama dan kisah sebahagian mereka terus tercatat dalam lembaran sejarah dan Wahyu Ilahi.

“ Realitinya, wanita yang mahu mencari redha Allah S.W.T perlu membuat pengorbanan selari dengan misi dan visi yang ada. Akidah yang mantap yang merangkumi kefahaman terhadap konsep Islam yang sebenar adalah tunjang seluruh aspek kehidupan wanita sebagai insan dan hamba kepada Pencipta, sesama insan, dan alam ini.

Dunia hari ini banyak dipersembahkan dan dihidangkan dengan pelbagai bentuk ikon yang adakala bertentangan dengan kehendak syariat Islam. Mereka yang dijadikan idola ini sememangnya tidak bersesuaian bukan sahaja daripada segi sahsiah, malah kehidupan mereka juga penuh dengan cerita negatif yang sememangnya tidak layak dicontohi..”

Ulasan :
Buku yang seharusnya dimiliki oleh setiap orang, khususnya anak-anak gadis yang kian menginjak dewasa yang masih mencari-cari ikon yang dapat membentuk peribadi mereka, saya cadangkan kepada setiap ibu ayah agar menghadiahkan nashkah ini kepada anak gadis untuk memotivasi diri mereka menjadi seorang muslimah sejati yang menjunjung agama serta menjaga kehormatan dan maruah diri.

Banyak kisah inspirasi dan motivasi yang penulis kongsikan dari pengalaman beliau sendiri, satu perkongsian yang sangat memberi kesan pada diri dan hati saya sendiri.

Kehidupan dunia adalah medan perjuangan menuju kehidupan yang kekal abadi. Oleh itu, bagi membantu kita melihat dan mencari panduan serta contoh terbaik untuk dijadikan teladan, srikandi muslimah yang kisah mereka terpahat dalam sejarah Islam boleh dijadikan sumber teladan. Mereka boleh dijadikan idola demi menyuntik semangat kita dalam mengendalikan permasalahan dan cabaran hidup semasa. Cabaran yang mereka hadapi serta bagaimana mereka melihat perspektif ujian hidup dapat membantu kita melihat dan mencedok pengalaman itu. Kekuatan dan semangat perjuangan tinggi yang mereka miliki dapat menjadi kayu ukur untuk kita membina kekuatan diri.

“Rahsia kehebatan, kejayaan dan kekentalan dalam meraih keunggulan”

Buku ini terbitan PTS Publishing House Sendirian Berhad memuatkan 192 muka surat dan boleh didapati di kedai-kedai buku dengan harga RM19 bagi semenanjung Malaysia dan RM21 bagi Sabah dan Sarawak.


Dapatkan buku-buku yang terkini dan beinspirasi daripada Kafe Konfess Buku dengan melayari kafe.konfessbuku.com.

Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca