Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Hidayah Di Balik Jeriji Besi

Ulasan Buku : Hidayah Di Balik Jeriji Besi

Tajuk Buku : Hidayah Di Balik Jeriji Besi
Nama Penulis : Noor Syazana & Hayati
Penerbit – Hamare Publication
Jumlah Mukasurat – 152

Buku ini merupakan himpunan 13 cerpen yang diinspirasi daripada kisah benar. Ianya berkisarkan tentang isu-isu gejala sosial yang berlaku pada remaja dan ceritera kehidupan mereka.
Tajuk cerpen yang terkandung di dalam buku ini adalah:

1. Jalan Pulang
2. Aku Anak HIV
3. Istiqamah Seorang Amani
4. Sebelum Aku Bergelar Isteri
5. Hari Guru Hatinya Sayu
6. Ukhuwah Bersama LGBT
7. Hidayah Di Balik Jeriji Besi
8. Shameless
9. Sesak
10. Sahabat Sorga
11. Abi Habibi
12. Rasulullah Qudwah Hasanah
13. Ubi

Aku Anak HIV, Hidayah Di Balik Jeriji Besi dan Abi Habibi adalah antara tajuk yang memberi impak untuk dibaca. Aku Anak HIV mengisahkan seorang anak yatim yang tinggal bersama neneknya. Sepanjang 20 tahun dia terpaksa menahan hinaan orang kampung hanya kerana dia membawa penyakit HIV yang diwarisi daripada arwah ibu bapanya. Jika tidak kerana nenek dan Ustaz Akmal yang selalu memberi dorongan dan kata-kata semangat, mungkin dia akan berterusan menyalahkan ibubapanya serta takdir yang ditentukan Tuhan.

“Aku tidak tahu apa salahku hingga terpaksa menghadap semua ini. Aku masih kecil ketika itu. Patutlah ramai yang membenciku. Patutlah ramai yang menjauhi diriku. Hanya kerana aku bergelar anak HIV.”

Hidayah Di Balik Jeriji Besi pula mengisahkan Fasehah yang berurusan dengan Rohit, seorang banduan di Penjara Wanita Kajang yang bakal dibebaskan beberapa bulan lagi. Apa yang menarik perhatiannya adalah banduan itu merupakan seorang transgender yang telah memeluk Islam semasa di dalam penjara. Rohit menyatakan kegusaran dirinya saat dia akan dibebaskan nanti kerana keluarganya berterusan memujuk supaya memeluk agama Kristian.

“Setiap hari apabila tiba waktu riadah petang atau gotong royong di padang, kalimah-kalimah zikir akan selalu dipasang di sini. Daripada situ, saya cuba hayati apa yang didengari telinga ini.”

Abi Habibi mengisahkan tentang Qasrun yang tinggal bersama neneknya lantaran kesempitan hidup. Qasrun sering merasakan dirinya membebankan ayahnya.

“Beberapa minit kemudian, sebuah van jenazah berhenti tepat di hadapannya. Qasrun terasa bagaikan satu mimpi bahawa yang berada di dalam van jenazah itu adalah ayahnya.”

Sebagai kesimpulan, buku ini memiliki banyak pengajaran yang berkait dengan keadaan dan realiti remaja kita hari ini. Ilustrasi yang diselitkan juga menarik minat pembaca. Sesuai dibaca oleh para ibu bapa, guru dan anak-anak remaja untuk sama-sama kita cakna.

Diulas oleh Wan Nurul Huda.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca