Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Born A Crime

Ulasan Buku : Born A Crime

Jika anda peminat rancangan The Daily Shows di saluran Comedy Central, maka anda akan kenal Trevor Noah. Beliau mengganti Jon Stewart sebagai hos rancangan tersebut pada tahun 2015. Trevor merupakan anak kelahiran Afrika Selatan yang sempat membesar pada zaman Aparteid yang mana peraturan sosial yang sangat tidak adil dan berat sebelah kepada mereka yang berkulit putih. Beliau lahir hasil daripada hubungan ibunya yang berkulit hitam dari suku Xhosa dan bapanya yang berkulit putih, seorang Swiss/German. Persis dengan tajuk buku ini Born A Crime, perbuatan itu adalah jenayah yang terbesar pada zaman itu, malah lebih teruk lagi daripada khianat!

Buku ini menceritakan tentang memoir beliau yang ditulis sendiri olehnya, perjalanan hidup membesar di penghujung zaman Aparteid dan pasca apartheid. Gaya penceritaan yang santai, menarik dan menghiburkan seperti mana beliau lakukan di atas pentas. Tulisan yang sedikit sebanyak dapat memberi gambaran kehidupan membesar di Selatan Afrika yang sangat daif dengan kadar jenayah yang tinggi dan sosial masyarakat yang bermasalah akibat dasar Aparteid.

Beliau menceritakan kehidupan keluarganya yang sangat miskin dan betapa susahnya membesar sebagai kanak-kanak yang tidak mempunyai ras yang tersendiri. Disebabkan dasar Aparteid, beliau tidak boleh bersama ibunya yang berkulit hitam dan bapanya yang berkulit putih ketika berada di tempat awam. Ibunya terpaksa memainkan watak sebagai orang gaji yang menjaga anak orang lain dan bapanya pula terpaksa berjalan jauh sedikit kehadapan supaya tidak menimbul syak orang ramai yang Trevor merupakan anak kandungnya. Di sekolah pula, beliau terasing daripada kelompok budak kulit putih atau kulit hitam mahupun colored (terma yang digunakan di Afrika Selatan untuk orang yang bercampur bangsa).

Meskipun sukar hidup sebagai golongan colored, terdapat satu bab yang bertajuk Chameleon (Sesumpah) yang beliau mencerita kelebihan menjadi sebagai golongan tersebut. Salah satu cerita yang menarik dalam bab itu ialah bagaimana beliau mendapati penguasaan pelbagai bahasa menjadi satu alat yang sangat berguna bagi dirinya untuk menyesuaikan diri dalam kelompok masyarakat yang terdiri daripada bermacam suku kaum. Pada suatu hari ketika Trevor berjalan berseorangan, terdapat sekumpulan lelaki dari suku Zulu yang mengekorinya dari belakang yang merancang untuk merompak beliau. Beliau mendengar perbualan tersebut dan terus pusing kebelakang lalu menegur mereka yang beliau juga mahu turut serta dalam bahasa Zulu. Mereka terkejut dan akhirnya situasi yang cemas itu menjadi tenang apabila mereka menerima Trevor sebagai salah seorang daripada suku kaum mereka. Beliau terselamat. Nah, lihatlah bagaimana kuasa bahasa yang menghubungkan manusia.

Perkara yang menarik perhatian saya dalam buku ini ialah ibu Trevor yang banyak disebutkan di dalam ceritanya. Ibunya seorang wanita yang cekal serta berani mengambil risiko melahirkan Trevor di suasana yang tidak kondusif bagi golongan colored pada zaman itu. Ditambah lagi dengan bapa kandungnya yang terpaksa berpindah ke tempat baru yang jauh daripada Trevor dan kemudiannya ibu beliau berkahwin dengan seorang lelaki yang pemarah dan kaki botol. Banyak episod yang duka berlaku selepas perkahwinan tersebut. Kemuncak episod duka itu berlaku apabila ibu beliau hampir terbunuh kerana ayah tiri menembaknya.

Tetapi dalam kesusahan yang beliau cerita dalam buku ini, ia masih disulamkan dengan lawak jenaka yang pasti anda akan ketawa tidak kering gusi. Bakat seorang pelawak yang diwarisi ini rupanya datang daripada ibu beliau. Bayangkan ibunya yang terselamat daripada tembakan peluru di muka masih mampu berjenaka ketika berehat di hospital, “Now you’re officially the best-looking person in the family”. Hebatnya kekuatan dan pengorbanan seorang ibu!

Selamat membaca dan moga bermanfaat!

Diulas oleh Ahmad Syamim Mustaqim


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca