Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Angkatan Baru

Ulasan Buku : Angkatan Baru

Angkatan Baru ialah salah sebuah novel pendek karangan Buya Hamka, selain Terusir, Di Bawah Lindungan Ka’bah dan Tuan Direktur. Angkatan baru merujuk kepada generasi pemuda. Bagi yang sudah mengenali karya Hamka, seperti biasa, dalam setiap buah penanya terdapat kritikan, nasihat dan teguran yang ingin disampaikan kepada masyarakat, bukan tulis saja-saja. Hal ini jelas apabila di bahagian Mukadimah buku Angkatan Baru, Hamka menjelaskan,

“Maka hikayat ini, Angkatan Baru, agaknya akan ada teman-teman saya yang akan merasa tersinggung atau terkritik. Biarlah ia menyesali karena hal ini diterangkan. Hal ini adalah suara hati, suara hati seluruh masyarakat di Minangkabau dalam zaman pancaroba ini.

Suara hati yang meminta perhatian dari pendidik-pendidik, dari penganjur perkumpulan, bahkan dari ninik mamak adat sendiri.

Tentukanlah arah dari pendidikan anak-anak perempuan kita.”

Angkatan Baru mengisahkan seorang perempuan berpendidikan tinggi bernama Syamsiar, namun tidak berkemahiran dalam menguruskan rumah tangga, tetapi yang harus melamarnya mesti lelaki berpendidikan tinggi dan ada pekerjaan yang bagus ! Sudah menjadi kamus masyarakat ketika itu bahawa anak muda yang berpendidikan tinggi tidak layak pekerjaan yang kasar seperti bersawah atau berdagang. Jika menjadi guru pun haruslah bergaji lumayan.

Bagi anak perempuan pula, tidak mengapa jika tidak membuat kerja-kerja rumah seperti mencuci pakaian, memasak dan mengemas, asalkan dia berkelulusan universiti ! Hendak menjadi guru agama di sebuah sekolah, Syamsiar mendapat tentangan kaum keluarga kerana sekolah itu di luar kawasan kampungnya dan bergaji kecil pula. Oleh itu, Syamsiar hanya menghabiskan masanya di rumah, membaca buku roman sehingga tenggelam dia dalam khayalan fantasi cinta.

Hajat Syamsiar hendak bersuamikan lelaki yang setaraf pendidikan dengannya tercapai apabila Hassan, seorang lelaki lepasan bidang perguruan dan pengasas sekolah agama melamarnya. Bagi Hassan, ini adalah pernikahan cita-cita manakala bagi Syamsiar, ini adalah pernikahan cinta. Didikan manja yang dilalui oleh Syamsiar semasa sebelum berkahwin berlarutanlah sehingga ke alam rumah tangganya. Pakaiannya, pakaian suaminya, makanannya dan makanan suaminya, semuanya diuruskan oleh ibu, adik dan pembantunya.

Syamsiar hanya pandai berhias, berdandan, bergurau senda dan berseronok dengan suaminya. Hassan pula hanya menurutkan sahaja isteri tercintanya itu. Harapannya pada awal pernikahan supaya Syamsiar dapat sama-sama membantu pekerjaan di sekolah tidak tercapai. Malahan, sudah jarang dia peduli akan sekolahnya, kerana lebih banyak duduk di rumah melayan isterinya yang cantik itu.

Akibatnya, terjejaslah reputasi sekolah yang telah diusahakan oleh Hassan. Anak muridnya lari, sekolahnya semakin mundur. Orang kampung bercerita tentang Hassan, “ilmunya  karam di antara dua betis perempuan.” Dia mulai insaf. Hassan lebih banyak menghabiskan masa di sekolahnya dan surau. Lalu, timbul perasaan tidak puas hati Syamsiar dengan perubahan suaminya yang sudah jarang pulang ke rumah. Hassan mengabaikan tanggungjawabnya. Syamsiar mula berlaku curang, dia berutus surat dengan teman lamanya diulit bahasa cinta. Kecurangan Syamsiar diam-diam diketahui oleh suaminya. Rumah tangga Hassan dan Syamsiar berakhir dengan perceraian.

Ya benar, dalam perkahwinan, tidak cukup cuma cinta.

Dapatlah disimpulkan bahawa, novel Angkatan Baru ini mengkritik adat Minang yang memanjakan anak perempuan mereka. Melampau menjunjung adat, habis rosak anak bangsa. Pada pandangan saya, bukan sepenuhnya salah Syamsiar dia berperangai begitu, kerana dia telah dibentuk, diasuh begitu. Yang salah dan yang bertanggungjawab ialah siapa yang membentuk Syamsiar, iaitu ibu bapanya yang salah mendidik dan suaminya yang tidak mendidik. Tepat Hamka memilih kata ‘tentukan’ dalam pesanannya, “Tentukanlah arah dari pendidikan anak-anak perempuan kita.” Kerana anak-anak akan menjadi seperti apa yang ditentukan oleh ibu bapanya.

Satu lagi pelajaran dari buku ini ialah “…pendidikan tinggi bukanlah untuk gaji atau status sosial semata, tetapi untuk membawa perubahan dan kemajuan bagi masyarakat sekitar.” Izinkan saya tambah, pendidikan tinggi kepada kaum perempuan bukanlah juga untuk penentuan mahar kahwin yang tinggi.

Selamat membaca dan semoga bermanfaat !

 

Diulas oleh Nur Mustika Adriena.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca