Ulasan Buku : Ustazah Zaman Dulu-Dulu

“Negara ini, tidak akan merdeka tanpa merdekanya kaum wanita!”

Ustazah Zaman Dulu-Dulu adalah antara buku terbaru dari terbitan Jejak Tarbiah dan ditulis oleh saudari Maisarah Mohd. Pauzi. Tidak banyak yang saya dapat ketahui tentang penulis buku ini kerana tiada biodata beliau dilampirkan bersama buku.

Ustazah Zaman Dulu – Dulu membawa pembaca menjejaki wanita-wanita merdeka bermula dengan Tokoh Kemerdekaan, Peristiwa Sejarah, Novel Emansipasi Wanita Tanah Melayu, Citra Wanita dalam Karya Seni & Sastera dan Sejarah Silam Perempuan Nusantara. Sebagai seorang perempuan, saya begitu berbangga dengan kelahiran sebuah buku yang mengangkat tokoh perjuangan wanita terdahulu. Ia membuktikan bahawa kemerdekaan negara yang kita kecapi hari ini terdapatnya taburan jasa dari kelompok wanita. Jadi, sejarah mereka perlu diangkat sebaris perjuangan dari kelompok lelaki.

Melalui buku ini, penulis memilih empat tokoh kemerdekaan wanita tanah air untuk diketengahkan. Mereka yang dimaksudkan ialah Ibu Zain (1903 – 1989), Aishah Ghani (1923 – 2013), Shamsiah Fakeh (1924 – 2008) dan Khatijah Sidek (1918 – 1982). Didikan yang mereka lalui bukan biasa-biasa sehingga terbentuknya peribadi tokoh wanita yang dikenang orang hari ini. Dalam perjuangan, mereka lantang membidas ejekan dan sindiran masyarakat terutama dari lelaki. Mereka menunjukkan wanita tidak lekeh seperti yang dianggap oleh sebahagian lelaki. Saya yakin masih ramai lagi ibu kemerdekaan negara yang menabur jasa. Semoga saudari Maisarah terus menulis tentangnya.

Tidak hanya membicarakan tentang tokoh, helaian buku ini juga memuatkan beberapa karya seni seperti novel dan cerpen sastera yang bertemakan tentang perempuan dengan pelbagai watak dan isu. Antara karya seni yang diulaskan ialah novel Hikayat Faridah Hanom, lakah Salmah, Melor Kuala Lumpur, Melati Kota Bharu, cerpen Anita dan Matinya Seorang Perempuan. Jika diperhatikan, kebanyakan tajuk novel itu turut disebut dalam buku teks Sejarah sekolah menengah. Namun, buku Ustazah Zaman Dulu – Dulu menjadi lebih menarik daripada buku teks Sejarah apabila sinopsis dan rentetan cerita dari novel-novel tersebut dikisahkan sebagai gambaran awal kepada pembaca, berbanding buku teks Sejarah yang hanya menyatakan tajuk buku. Novel dari HAMKA juga tidak terlepas dari diulas iaitu Merantau Ke Deli dan Angkatan Baru yang mengkritik perempuan Minang. Kerana adat Minang yang bersifat matriaki, maka lahirlah perempuan Minang yang manja.

Seterusnya, salah satu hasil karya seni dari seniman P. Ramlee turut dibedah oleh penulis dalam buku ini dengan tajuk “Musang Berjanggut: Perempuan Lawan Betina”. Siapa yang tidak kenal dengan seniman P. Ramlee, banyak filem beliau masih ditayangkan sehingga hari ini. Mungkin juga kerana gaya pembawaan filemnya yang terkenal penuh dengan lawak jenaka santai (jika ditonton secara tersurat sahaja) membuatkan ianya bertahan sehingga hari ini. Sedangkan kebanyakan dalam lawak jenaka itu, terdapat mesej tersirat yang berupa kritikan sosial kepada masyarakat. Jika kita ketawa ketika menontonnya, bermakna kita sedang mentertawakan diri kita sendiri.

Dalam bab akhir buku ini sekali lagi sejarah wanita hebat nusantara diangkat. Acheh, sebuah negeri yang digelar Serambi Mekah, dalam catatan sejarahnya pernah diperintah oleh beberapa orang Sultanah dan Acheh mencapai zaman kegemilangan ketika itu. Tugas laksamana di negeri ini juga pernah disandang oleh wanita pada suatu ketika dahulu dan merupakan laksamana wanita terawal di dunia. Kisah Lagenda Mahsuri Langkawi turut disuntik dalam bab ini. Selain khabar tentang kecantikan Mahsuri sahaja yang selalu didendangkan dari generasi ke generasi, ketidakadilan yang berlaku terhadap dirinya juga perlu disampaikan. Mengapa masyarakat seolah-olah mahu melupakannya? Sejarah penindasan Sultan Melaka terhadap perempuan suatu ketika dahulu juga tidak patut dipadamkan begitu sahaja. Ini supaya ianya dapat menjadi pengajaran mengapa negeri-negeri ini tidak bertahan lama suatu ketika dahulu, salah satunya kerana ketidakadilan dan penganiayaan terhadap golongan wanita.

*Ustazah Zaman Dulu – Dulu, jika dibaca oleh perempuan, hendaklah kita tahu bahawa kita pernah ditindas melampau suatu ketika dahulu, dan nasib kita telah diperjuangkan. Hari ini kita merdeka hasil dari usaha mereka.  Oleh itu, kita haruslah menghargai jasa perjuangan mereka dan terus mempertahankannya. Jangan sampai kita ditindas lagi akibat kebodohan kita sendiri. Jadilah perempuan berilmu.

Sebaliknya, jika Ustazah Zaman Dulu – Dulu dibaca oleh lelaki, hendaklah kalian tahu bahawa tokoh wanita yang dikisahkan dalam buku ini juga dididik oleh lelaki; ayah dan suami. Justeru, haruslah kalian sedar peranan kalian. Perempuan-perempuan terdekat kalian bisa jadi perempuan yang hebat hasil dari didikan kalian. Jadilah lelaki berilmu.

Jemput dapatkannya di PBAKL nanti!

Nur Mustika Adriena

22 April 2018|Alor Setar


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Nur Mustika Adriena
Nur Mustika Adriena

Perempuan yang membaca.

Articles: 22