Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Wealth And Power; China’s Long March To The Twenty First Century

Ulasan Buku : Wealth And Power; China’s Long March To The Twenty First Century

Wealth and Power: China’s Long March to the Twenty First Century karya Orville Schell dan John Delury.

Keseluruhan

Penulis memberi fokus kepada resepi kejayaan negara China dalam menjadi kuasa besar ekonomi dunia. Penulis mengambil perspektif sejarah dan membina satu peta kronologi melibatkan 11 orang tokoh pemikir, ahli politik, cendikiawan dan negarawan. Kesemua 11 orang tokoh ini disusun mengikut bab, dan masing-masing membawa perjuangan yang unik dan tersendiri. Perjuangan yang bermacam ini telah menjadi warna-warni negara China yang dibentuk sehingga menjadi sebuah negara yang dihormati pada hari ini. Meskipun, pelbagai perspektif dan jalan perjuangan, kesemua mereka dapat disatukan dalam perjuangan menggapai fuqiang (Wealth & Power).

Terma fuqiang ini, menjadi tema utama buku ini, disusun melalui perjuangan 11 orang tokoh. Penceritaan melibatkan penjajahan luar ke atas China, kesan psikologi masyarakat terhadap campur tangan luar dan seterusnya bagaimana sikap dan perasaan hina dan takut ini dijadikan kekuatan dan identiti untuk membangunkan negara.

Sejarah Penghinaan Bangsa

Kebanyakan bangsa, tamadun dan negara moden yang ada pada hari ini menjadikan detik terbaik sejarah mereka sebagai pemula kecemerlangan negara. Sejarah Amerika Syarikat bermula detik termeterainya Declaration of Independence 1776, sejarah Perancis sesudah Revolusi Napolen Bonaparte, hatta negara jiran Malaysia, iaitu Singapura memulakan detik kegemilangan negara mereka sesudah keluarnya mereka dari menjadi sebahagian daripada Persekutuan Tanah Melayu ketika itu.

Berbeza pula halnya dengan China. Sejarah China moden dimulakan dengan sebuah penghinaan, yang rata-rata menjadi aliran pemikiran arus perdana masyarakat negara China. ‘National Humiliation Day’ jatuh pada 18 September setiap tahun, menjadi hari mengingati detik mengingati sejarah kemunduran dan kehinaan negara mereka itu. Sejarah penghinaan bangsa ini tertanam rapi dalam diri masyarakat (baca: psyche), meskipun pengumuman National Humiliation Day, bukanlah secara rasmi oleh kerajaan China.

Sejarah penghinaan ini bermula semenjak kekalahan China kepada tentera laut British dalam Perang Candu Pertama (baca: First Opium War) pada 1839-1842, seterusnya termeterainya Perjanjian Nanjing yang sememangnya berat sebelah. Detik berakhirnya sejarah penghinaan masih terbuka kepada perdebatan. Samada Chiang Kai-Shek, melalui Parti Kuomintang ataupun Mao Zhedong melalui Parti Komunis China, keduanya menyatakan merekalah yang mengakhiri sejarah penghinaan ini.

Pemodenan China

Meskipun China mencapai kejayaan politik di era Mao Zhedong hasil dari Perang Saudara, ekonomi China masih belum ditahap yang membanggakan. Bahkan, inisiatif Great Leap Forward yang dirancang Mao Zhedong ternyata gagal. Deng Xiaoping mewarisi sebuah ekonomi China yang gagal.

Berbeza dengan Mao Zhedong, Deng Xiaoping lebih terbuka dan lebih mesra hubungan antarabangsa. Deng memulakan hubungan dengan Amerika Syarikat dan lebih memberi fokus kepada membangunkan materi dan ekonomi China. Meskipun dilihat terbuka, Deng masih lagi meyakini jalur politik komunis, dan tidak berganjak untuk bertukar kepada demokrasi.

Langkah yang diambil Deng dilihat berjaya membina tapak kepada sebuah ekonomi China yang progresif. Elemen (1) politik komunis yang menekankan disiplin dan pemerintahan berpusat pada sebuah parti pemerintah, dan (2) mengangkat ekonomi pasaran terbuka (yang bertentangan dengan idea asal ekonomi komunis), menjadi resepi bangkitnya China sebagai salah satu ekonomi besar China hari ini.

Rumusan Buku

Pada pandangan peribadi saya, buku ini agak menarik dan mudah untuk difahami. Hal ini kerana, penulis membahagikan bab-bab dalam buku ini mengikut 11 tokoh perjuangan. Jadinya, mudah untuk pembaca yang baru mula untuk membaca mengenai kegemilangan negara China moden. Kesemua 11 tokoh ini mempunyai latar belakang berbeza, cara perjuangan berbeza, dan hasil-hasil yang berbeza.

Buku tidak berat sebelah (baca:bias) kepada hanya perjuangan Komunis pimpinan Mao Zhedong sahaja, tetapi juga perjuangan Chiang Kai-Shek, yang merupakan Presiden Republik China (sekejap) sebelum dijatuhkan Mao dan regim komunisnya serta dibuang negeri ke Taiwan. Juga disebut dalam bab hujung mengenai tokoh Liu Xiaobo, tokoh pejuang demokrasi di China. Demokrasi di China? Hakikatnya, tiada siapa yang tahu apa yang akan berlaku di masa hadapan.

Hasil Bacaan

Membaca bahan sejarah boleh menghasilkan 2 kemungkinan, (1) bacaan kering dan hanyalah berkisar pada tarikh dan tempat, atau (2) bacaan yang memberi makna, dengan menjadikan cerita tokoh sejarah hidup dalam diri. Sememangnya, buku ini berkisar negara China. Justeru, perjuangan masyarakat di sana mungkin berbeza dengan pemikiran dan nilai kita di Malaysia.

Tetapi, yang paling utama adalah ramuan kita dalam usaha memajukan diri dan masyarakat. Dalam konteks dan kemampuan kita, tanyakan pada diri kita, apakah yang kita usahakan? Apakah jalan cerita kita ini, sesuatu yang boleh dibanggakan?

Diulas oleh Amirul Neezam.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca