Ulasan Buku : Pengakuan Tengku Ali Mengapa Saya Diturunkan dari Takhta Terengganu

Sejarah ditulis oleh para pemenang.

Suatu ketika dahulu ramai yang terkejut dengan tuntutan seorang insan bernama Tengku Ali ke atas kesultanan Terengganu. Ramai yang meragui kesahihan dakwaan beliau dan tidak kurang pula yang mempercayainya.  Namun, tidak langsung dapat dinafikan bahawa memang ramai yang tidak tahu tentang insan ini. Jika saya bertanya pada rakan-rakan senegeri Terengganu, ‘tidak’ merupakan jawapan yang sudah diduga. Persoalannya, siapakah Tengku Ali yang berani menggegarkan kesultanan Terengganu? Benarkah dia seorang ‘Tengku’? Apakah tujuan di sebalik tuntutan takhta beliau? Semua ini menjadi persoalan yang perlu dijawab.

Karya bertajuk ‘Pengakuan Tengku Ali: Mengapa Saya Diturunkan dari Takhta Terengganu’ setebal 112 muka surat terbitan Fajar Bakti ini berjaya menyingkap siapakah gerangan yang bernama Tengku Ali. Suka untuk saya katakan bahawa Wan Ramli Wan Mohamad telah mengambil langkah berani dalam menulis tentang sejarah dan seorang tokoh yang tidak didendangkan ini.

Sebagai sebuah karya yang membebaskan kebenaran. Isinya memerlukan suara yang lantang, namun buku ini kerap kali saya baca dengan suara yang sayu, penuh dengan perasaan dan sesekali air mata menitis. Tentang sebuah cerita rumit berliku bekas Sultan yang diturunkan takhta atas asbab yang tidak munasabah.

Tengku Ali dan Kesultanan Terengganu

Secara ringkasnya Tengku Ali dilahirkan pada tahun 1914, beliau merupakan putera sulung Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah, Sultan Terengganu ke-13. Setelah ayahandanya, iaitu Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah mangkat kira-kira jam 5:30 petang Jumaat, 25 September 1942, Tengku Ali dilantik menaiki takhta kerana beliau merupakan putera sulung. Perlantikan Tengku Ali dilakukan menurut adat istiadat Melayu sebagaimana yang terdapat di dalam Perlembagaan Undang-undang Diri Kerajaan Negeri Terengganu.

Namun setelah memerintah dari tahun 1942 sehingga tahun 1945. Beliau telah diturunkan takhta secara tidak sah tanpa pengetahuannya pada waktu pemerintahan British atas sebab-sebab seperti beliau dikatakan ditabal oleh Maharaja Jepun ketika pemerintahan Jepun di Tanah Melayu, penentangannya terhadap Malayan Union, sikapnya yang zalim dan lain-lain.

Mengapa Tengku Ali diturunkan daripada takhta?

“Saya sultan yang sah, tetapi penurunan saya memang tidak sah. Kerabat-kerabat diraja dan pembesar-pembesar negeri yang menurunkan saya telah terpedaya dengan permainan politik British.”

Pertanyaan tersebut diteruskan dengan sebab utama beliau diturunkan takhta. Beliau mengatakan beliau diturunkan takhta semata-mata kerana enggan menandatangani surat penyerahan kuasa mutlak Kerajaan Negeri Terengganu kepada pentadbir British.

“Itu saja sebabnya. Tentu saudara-saudara mahu tahu kenapa saya tidak menandatangani surat itu?

Sebabnya satu sahaja. Sumpah seorang raja dan ketua agama Islam yang memegang takhta Terengganu di dalam Undang-undang Diri Kerajaan Terengganu di bawah Fasal 14 amat jelas maksudnya.”

Fasal 14 itu berbunyi:

“Maka tiada lulus dan tiada sah sekali-kali Raja membuat perjanjian atau ikhtiar melepaskan negeri dan kerajaannya atau suatu bahagian daripada kuasa kerajaan atau haknya itu atau pada kuasa-kuasa Eropah atau lainnya…”

Di  samping itu, beliau turut mengatakan bahawa, “Saya memang tidak sukakan British, walaupun saya pernah belajar di Oxford.”

Niat murni seorang bekas Sultan itu membawanya jauh dari takhta dan menjalani kesukaran hidup sebagai pembawa kereta sapu dan tauke wayang bergerak bagi menyara anak isteri.

Selain itu, namanya juga dipadam seolah-olah ketika tahun 1942-1945, Terengganu tidak mempunyai Sultan yang memerintah selama 3 tahun 4 bulan.

Bolehkah sejarah dipadamkan?

Penulis berjaya menulis semula segala luahan isi hati Tengku Ali dengan nada yang tepat. Selain itu, buku ini juga memuatkan reaksi dan hujah melawan fitnah yang tidak benar tentang dirinya serta kisah perit hidupnya setelah diturunkan takhta. Beliau juga kerap kali mengatakan bahawa beliau tidak suka perkara ini diungkit-ungkit, malah beliau amat marah sekiranya ada anak-anaknya yang cuba menimbulkan semula isu takhta ini.

Namun dengan adanya buku ini, menjadi usaha kecil bagi permintaan Tengku Ali sendiri, iaitu “Saya mahu pemalsuan sejarah itu dibetulkan.”

Oleh itu, saya menyeru semua lapisan masyarakat untuk menghadam dan menilai kembali setiap pengajaran daripada sejarah melalui buku ini; tentang seorang yang belajar mengenal diri dan ditindas kerana memperjuangkan kebenaran.

Menulis ulasan ini membuatkan saya sentiasa berhenti dan menaip, berhenti lalu menaip. Proses yang berulang. Hal ini kerana saya bingung, bahagian mana yang perlu saya ceritakan. Kisah yang panjang dan meringkaskannya adalah sesuatu yang menguji saya kerana mahu saja saya memetik setiap kata-kata Tengku Ali dalam buku tersebut. Namun, sebuah kebenaran itu perlu digali seluruhnya sendiri supaya anda dapat lebih menghargai.

Saya tinggalkan anda dengan dua persoalan yang bermain dalam kepala Tengku Ali selama hampir 50 tahun.

“Bolehkah sejarah sebenar ditipu, sedangkan saya masih hidup?”

“Bolehkah sejarah dipadamkan begitu sahaja padahal ia benar-benar telah berlaku?

Akhir kata, karya agung ini merupakan tulisan orang yang kalah namun menang di hati saya.

Sekian, terima kasih.

Diulas oleh: Lee.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca