Pertandingan Konfess Buku

PERTANDINGAN ULASAN BUKU

Pengenalan

Pertandingan Ulasan Buku merupakan sebuah pertandingan yang diadakan bagi menyemarakkan budaya suka membaca buku, menambah ilmu dan dalam masa yang sama berkongsikan manfaat ilmu yang diperoleh daripada buku tersebut kepada orang lain. Hasil daripada artikel ulasan buku yang dihantar akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku sebagai bahan rujukan kepada masyarakat terutama kepada penggemar baca buku untuk mendapatkan reviu awal terhadap buku yang ingin dibaca.

Melalui pertandingan ini juga, kita akan dapat mengetahui pelbagai jenis buku yang menarik dan bagus untuk dibaca samada buku yang sudah popular di pasaran, buku yang belum pernah kita dengar atau juga buku popular di peringkat antarabangsa. Selain itu, dengan menyertai pertandingan ini, sedikit sebanyak kita dapat menjadi penyumbang terbesar kepada masyarakat dalam mewujudkan sebuah platform reviu-reviu buku yang menarik dan dalam masa yang sama dapat memberi cadangan dan saranan untuk membaca buku yang sesuai.

Konfess Buku berharap semoga pertandingan yang dianjurkan ini menjadi satu wadah kepada rakyat Malaysia dalam membentuk masyarakat yang berilmu, beramal dan menyampaikan kepada orang lain. Penglibatan dan sokongan anda dalam menjayakan pertandingan ini didahulukan dengan ucapan jutaan terima kasih.

– Konfess Buku –

Terma & Syarat Pertandingan Ulasan Buku

  1. Penyertaan bagi Pertandingan Konfess Buku adalah percuma dan terbuka kepada semua warga Malaysia, tidak terhad kepada mana-mana peringkat umur, bangsa dan agama.
  2. Setiap ulasan buku hendaklah hasil tulisan peserta sendiri dan belum disiarkan pada mana-mana bahan cetakan, digital, mahupun internet termasuk di laman web Konfess Buku. Sekiranya didapati bukan karya asli atau diterjemahkan, atau telah disiarkan di mana-mana sebelum disiarkan oleh Konfess Buku, dengan sendirinya penyertaan akan terbatal.
  3. Tajuk buku yang dipilih mestilah belum pernah diulas atau disiarkan di laman web Konfess Buku.
  4. Buku yang diulas terbuka kepada semua genre seperti novel, cerpen, tokoh, politik, sosial, ekonomi, motivasi, pengurusan, agama, falsafah, teknologi maklumat, sains, pendidikan dan lain-lain, kecuali buku yang berbentuk radikal atau yang bercanggah dengan ajaran Islam.
  5. Ulasan buku hendaklah ditulis dalam bahasa Melayu, kecuali mengambil petikan daripada buku dalam bahasa Inggeris.
  6. Ulasan buku hendaklah dihantar menggunakan borang online yang telah disediakan di  https://www.konfessbuku.com/hantar
  7. Setiap ulasan buku yang dihantar akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku beserta kredit kepada penulis.
  8. Peserta boleh menghantar lebih daripada satu ulasan buku tetapi hanya satu ulasan buku yang terbaik sahaja akan dipilih sebagai pemenang.
  9. Pemenang dinilai berdasarkan kriteria penulisan terbaik yang dilampirkan dan akan menerima hadiah seperti yang dinyatakan.
  10. Tarikh tutup penyertaan bagi Pertandingan Ulasan Buku adalah pada hari Khamis, 31 Disember 2020.
  11. Keputusan para juri adalah muktamad.

Kriteria Penilaian Pertandingan Ulasan Buku

  1. Ulasan mempunyai pengenalan tentang buku seperti tajuk, nama penulis, penerbit dan lain-lain yang bersesuaian.
  2. Ulasan mempunyai kronologi dan berkesinambungan.
  3. Gaya penulisan kemas dan teratur.
  4. Ulasan yang padat, tidak terlalu pendek atau terlalu panjang.
  5. Penggunaan bahasa dan tatabahasa yang baik.
  6. Ulasan mempunyai sudut pandang peribadi sama ada kritikan terhadap buku, pengajaran yang boleh diambil daripada buku dan saranan membaca kepada siapa dan kenapa.