Ulasan Buku : Amusing Ourselves to Death

Buku kulit keras berjudul Amusing Ourselves to Death yang saya jumpa di rak kedai buku terpakai di Atabah, Mesir ini merupakan antara buku terpenting yang saya baca pada tahun ini. Tidak hairanlah, Syeikh Hamza Yusuf dan Syeikh Nuh Ha Mim Keller pernah menyarankan bahan bacaan daripada pengkaji dan pendidik media seperti Neil Postman ini sendiri.

Postman cukup terkenal dengan nada sarkastiknya terhadap media massa. Dalam buku ini, penulis menyingkap bagaimana perubahan demi perubahan berlaku terhadap kaedah dan keupayaan rakyat Amerika Syarikat mencerap ilmu pengetahuan.

Pada abad ke-17, kadar celik huruf rakyat lelaki di Massachusetts misalnya begitu tinggi sekitar 89-95% dan 62% bagi kaum wanita. Pada abad ke-18 pula, buku-buku ilmiah lagi berkualiti begitu laris dijual. Sebanyak 100 000 naskhah buku Common Sense oleh Thomas Paine yang diterbitkan pada Januari 1776 tahun tersebut berjaya dijual menjelang Mac pada tahun yang sama! Bagi mencapai tahap yang sama seperti ini pada tahun 1985, sesebuah buku itu perlu dijual sebanyak 8 juta nisbahnya jika ingin menyamai kadar populasi pembaca yang berjaya ditawan oleh Thomas Paine.

Bilangan pendengar bagi wacana oleh penulis buku pada ketika itu pula menyamai bilangan peminat-peminat yang hadir untuk mendengar konsert daripada artis terkenal setara Michael Jackson. Ini terbukti apabila novelis masyhur, Charles Dickens melawat Amerika pada 1842 dan beliau diekori oleh orang keramaian apabila keluar ke tempat awam dan diikuti sehinggalah beliau kembali menjejakkan kaki ke rumahnya.

Pada era keranuman penghasilan bahan bercetak inilah pemandangan mereka bekerja sambil buku diapit di sisi merupakan perkara yang biasa.

Penulisan, menurut penulis, bagaikan mempunyai kuasa metafiziknya yang tersendiri kerana seseorang penulis seolah-olah bertutur kepada orang yang tidak dia ketahuinya sendiri, malahan bertutur dengan banyak orang (pembaca). Minda yang dibentuk melalui penulisan (typographic mind) juga memberikan masa kepada pembaca untuk berfikir secara analitikal, mengesan falasi dalam logik, menyingkap segala bentuk generalisasi, menimbang idea-idea baharu dan menghubungkan ilmu-ilmu yang ada sebagaimana ahli-ahli astronomi menghubungkan bintang-bintang menjadi buruj-buruj tertentu.

Penulisan membekukan kata-kata dan daripada penulisanlah, lahirnya pakar bahasa, ahli mantik, pakar ilmu retorik, sejarawan dan saintis. Budaya membaca buku yang begitu giat sebelum abad ke-18 pasti akan membuatkan mereka berasa betapa ‘absurd‘nya idea moden yang wujud pada hari ini yang menguji tahap pemahaman pembaca sedangkan makna sebenar membaca itu sendiri adalah memahami apa yang dibaca. Masalah membaca tidak pernah wujud melainkan seseorang itu tidak pernah bersekolah (tidak pernah belajar bagaimana untuk membaca).

Menuju ke bahagian kedua buku ini, penulis mula menceritakan bagaimana masyarakat abad ke-19 telah mula beralih daripada typographic mind kepada telegraphic mind. Dengan kewujudan televisyen (pada waktu itu, internet masih berada tahap permulaan), masyarakat sudah terbiasa dengan pemerolehan ilmu melalui gambar. Sedikit demi sedikit, masyarakat sudah terbiasa dengan ilmu yang diperoleh secara segera (instant). Konflik dunia yang rumit lagi berselirat, diringkaskan dan disampaikan oleh pemberita dalam masa 15 minit.

Lebih merunsingkan lagi, ia mula meresap ke dalam sistem pendidikan. Rancangan televisyen ‘Sesame Street’ yang pada asalnya diterbitkan sebagai bahan bantu mengajar mula melorong kepada satu budaya baru – televisyen sebagai salah satu tempat paling efisien untuk belajar. Apa yang membimbangkan penulis ialah kanak-kanak mula salah faham akan konsep belajar itu sendiri yang memerlukan seorang sifu untuk menegur dan memperbaiki salah silap mereka ketika membaca. Mereka menyangka, pembelajaran perlu menyeronokkan sehingga gagal melihat disiplin, adab dan budaya bertanya yang hanya wujud apabila mereka ke sekolah atau berguru berbanding hanya bergantung kepada rancangan televisyen semata-mata.

Komplikasi telegraphic mind ini juga bukan terhenti pada takat itu sahaja, malah ia telah mencabut rasa kesakralan serta kewujudan persoalan-persoalan metafizik dan mistik dalam agama apabila ia dipersembahkan di kebanyakan skrin televisyen (terutamanya di Amerika) dalam wajah yang salah.

Postman bukan sahaja bernada sinis terhadap televisyen, bahkan terhadap majalah-majalah yang sudah bertukar konsepnya daripada yang asal. Jika hiburan di televisyen sudah dianggap sebagai satu ‘ilmu’ oleh masyarakat, majalah yang sarat dengan info pula dianggap oleh masyarakat sebagai satu ‘hiburan’. Kesannya, kecelaruan mula mengambil tempat.

Kata penulis, hiburan pada tahap maksimum yang dibangkitkan oleh Aldous Huxley inilah yang meresap masuk ke dalam minda masyarakat pada hari ini melalui media massa. Penindasan autoritarian terhadap rakyat dalam bentuk halus dan di bawah minda paras sedar sebeginilah yang sedang berlaku pada hari ini. Ia bukan seperti apa yang George Orwell utarakan – rakyat dikawal oleh pemerintah. Percambahan ilmu rakyat dicantas oleh pemerintah dan rakyat sendiri sedar bahawa mereka perlu bangkit menentangnya.

Bagi melihat bagaimana masyarakat Athens berubah (pada 5 B.C.) daripada ilmu yang disampaikan daripada mulut ke mulut lalu berpindah melalui penulisan, penulis menyarankan pembaca untuk menelaah karangan-karangan Plato. Bagi meneliti bagaimana abad ke-16 yang memperlihatkan transformasi radikal yang berlaku di Eropah melalui percetakan bahan-bahan bertulis, baca pula tulisan-tulisan John Locke. Dan bagi memahami impak revolusi elektronik terhadap masyarakat Amerika pada hari ini terutamanya melalui penciptaan televisyen, baca karya-karya Marshall McLuhan.

Dengan reaksi yang begitu pahit untuk ditelan akan kesukaran untuk menawarkan solusi kepada permasalahan ini, Postman mencadangkan supaya setiap sekolah menekankan dengan serius dan sebetul-betulnya akan kepentingan bahan bercetak dalam membentuk budaya ilmu yang sebenar dalam masyarakat.

Saya telah menelaah lima karya Postman yang begitu cemerlang dengan tema yang tersendiri untuk setiap satu seperti Technopoly, The End of Education, The Disappearance of Childhood, Teaching as a Conserving Activity dan buku Amusing Ourselves to Death ini. Kelima-lima buku Postman ini sangat signifikan bagi sesiapa yang ingin mengetahui kesan media terhadap minda, budaya, pendidikan dan sosiopolitik yang sedang meresap ke dalam batang tubuh dan pembuluh darah sesebuah masyarakat moden. Dan buku ini mungkin merupakan buku terpenting dan termasyhur yang pernah ditulis oleh beliau.

 

Diulas oleh :  Nuruddin Azri bin Zulkifli


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Nuruddin Azri
Nuruddin Azri
Articles: 1