Ulasan Buku : Ungu Karmila

Ulasan Buku : Ungu Karmila

Ungu Karmila… Jika dibaca sekali imbas persis nama seorang wanita yang cantik rupawan dan berhati lembut. Ditambah pula, wanita sering dianalogikan dengan sekuntum bunga. Namun, siapa sangka disebalik nama indah itu, tersembunyi sulaman rahsia yang berjaya mengunci mangsa-mangsanya dengan penuh kelicikan sebelum maut datang mengundang. Kehadirannya terperosok di sebuah perbukitan, tidak jauh dari perkampungan orang asli. Siapakah dia?

Semuanya bermula ketika Arif, seorang yang mahir dalam bidang bioteknologi dan isterinya, Karmila bersama orang gaji mereka Bu Jainab berpindah keluar dari bandar Kuala Lumpur ke sebuah kawasan yang agak terpencil terletak di Puncak Rimba, Cameron Highland. Sebelum mereka berpindah, Arif telah pun mendirikan sebuah vila yang gah untuk dihadiahkan buat Karmila, isteri tercintanya. Kebetulan pula, Karmila sangat menyukai warna ungu dan disebabkan itulah luaran villa tersebut dihiasi warna ungu dipadankan pula dengan bumbung berwarna biru. Jelas sekali, vila yang tersergam indah itu khas buat Karmila, cuma hanya satu bahagaian sahaja di belakang dalam rumah tersebut yang dibuat khusus untuk keperluan Arif, iaitu rumah kaca yang akan dipenuhi dengan spesis-spesis bunga tertentu sesuailah dengan bidang kepakarannya. Rumah tersebut dinamakan oleh Arif sebagai ‘Vila Sunyi’ yang menggambarkan kedamaian di kawasan persekitaran.

Penulis novel thriller ini tidak pernah kering dengan cambahan idea yang penuh diisi dengan suapan kejutan serta konflik yang berselirat namun itulah yang menjadikan pembaca semakin tidak berkedip mata dalam menelusuri perjalanan Ungu Karmila. Apakah yang terjadi di sebalik semua ini? Keterampilan fiksyen ini terletak pada kesesuaian corak penceritaan yang dimulakan dengan memperkenalkan kewujudan banglo dua tingkat yang dimiliki oleh Arif dan Karmila dan dirakamkan pula bersama tragedi yang menimpa satu-persatu serta diperluaskan dengan kejadian imbas kembali yang akan mewarnai pemikiran setiap pembaca. Menariknya, ia seolah-olah bergerak dalam minda pembaca sebagai filem seram yang divisualisasikan di dalam sebuah pawagam.

Jadi, kebahagiaan yang terjalin antara Arif dan Karmila dicalar sedikit demi sedikit oleh kehadiran spesis baharu, iaitu sejambak bunga berwarna ungu hasil kacukan tumbuhan liar dan bunga ros. Apa pula ancamannya terhadap manusia? Hanya bunga, tetapi kemampuannya untuk memporak-perandakan keadaan di Villa Sunyi berada diluar jangkaan manusia biasa. Arif telah menjumpai sejambak tumbuhan yang sungguh cantik di taman larangan di kawasan hutan dan penemuan itu benar-benar telah melonjakkan kegembiraan di hatinya. Walaupun telah dilarang  keras oleh Tok Batin mengenai pantang larang hutan tersebut, Arif juga keras berdegil enggan mempedulikan semua itu. Ya, jelas sekali mesej yang ingin digariskan disini oleh penulis ialah Orang Asli kuat berpegang teguh pada semangat hutan yang dipercayai menjaga sesebuah hutan. Persoalan yang bermain disebalik kejadian ini ialah sejauh manakah pantang larang ini boleh dianggap benar dalam budaya masyarakat kita? Kebanyakan masyarakat moden kini sudah tidak lagi mempercayai pantang larang atau tabu yang pernah melakari hitam putih kehidupan nenek moyang mereka. Itulah juga yang berlaku dalam diri Arif. Namun, tidak hairanlah juga jika kesombongan seseorang terhadap kehadiran mistik boleh memakan diri sendiri. Walau bagaimanapun, keasyikan Arif dan Karmila melayari bahtera rumah tangga tidak bertahan lama, dibangkitkan pula dengan coretan kisah lama antara Karmila dan Arafat, abang kepada Arif melalui penemuan sekeping gambar lama. Ternyata, Arafatlah orang pertama yang pernah memaut hati Karmila sebelum kemunculan Arif. Sejurus kemudian, konflik pun menerjah tanpa mampu ditingkah oleh mereka.  Pengakhiran kisah Arif dan Karmila akhirnya dinoktahkan dengan kematian!

Sejak itu, Villa Sunyi mula memancarkan kedurjanaan dan menggerunkan seluruh penduduk Orang Asli. Tambahan pula, Jikon anak kepada orang asli yang bernama Sampui telah mengejutkan Villa Sunyi yang dikatakan sekian lama tidur sejak membaham Arif, Karmila dan Bu Jainab. Arafat yang tidak henti-henti dihujani kesedihan dan kekecewaan mula mencari jalan untuk mententeramkan Vila Sunyi. Dia telah mengarahkan setiasusahanya Cik Salmi untuk mengupah beberapa orang yang berani meleraikan kemelut di rumah itu. Dino, Kamarul, Bado, Rosli dan Winda kesemuanya telah dijadikan pilihan Cik Salmi dan dipersetujui oleh Tuan Arafat. Mengapa mereka ini dipilih? Masing-masing mempunyai kisah silam yang berbeza yang melayakkan mereka  untuk dipilih. Apa yang menariknya, Bado dan Dino merupakan musuh ketat. Sudah tentu ia akan menjejaskan hubungan kerjasama antara mereka kelak. Ema yang merupakan adik kepada Jikon berusaha mencari kebenaran di sebalik kejadian yang menimpa abangnya. Jikon dikatakan gila setelah cuba memasuki Villa Sunyi dan beberapa hari kemudian Jikon meninggal dunia. Kekusutan Ema dibantu oleh Dr. Ismadi yang juga pakar dalam bidang bioteknologi. Dalam diam, Dr. Ismadi memendam perasaan cintanya terhadap Ema.

Vila Sunyi telah bertindak kejam. Namun, dialah yang menjadi saksi pembunuhan Arif, Karmila dan Bu Jainab. Siapa pembununya? Adakah Dino dan yang lainnya berjaya meruntuhkan tembok kemistikan Vila Sunyi? Mungkin juga menambahkan lagi percikkan api kemarahan Vila Sunyi. Bagaimana pula dengan rumah kaca yang ada disebut di awal penceritaan tadi? Adakah usaha Ema dan Dr. Ismadi berhasil untuk membongkar perkara yang tersorok di sebalik keracauan Villa Sunyi? Percaya atau tidak, semua ini berpunca daripada angkara bunga. Ya BUNGA. Bunga yang dikacukkan oleh Arif  bersama bunga ros  menghasilkan rupa bentuk berwarna ungu dan diberi nama Ungu Karmila. Betapa kukuhnya rasa sayang Arif terhadap isterinya.

Setelah melalui pelbagai kejutan dan hambatan, Dr. Ismadi akhirnya berjaya menemui jawapan kepada persoalan mengenai kejadian mistik yang melingkari bunga ungu spesis baharu itu. Kemunculannya telah mempopularkan Vila Sunyi dengan adegan pembunuhan suatu ketika dahulu. Namun, Orang Asli tetap percaya bahawa pencerobohan orang luar ke dalam taman yang dilarang itu telah menyebabkan penunggunya berang lalu membalas dendam.

Novel yang penuh dengan tanda tanya, elemen saspens, cinta, dendam, dan pengkhianatan ini telah diperkemaskan dengan penceritaan yang rapi, sekali gus mendebarkan pembaca yang mengikuti alunan jalan ceritanya. Buku ini telah menerima cetakan kali yang ke-15 . Jelas sekali Ramlee Awang Murshid menumpukan Ungu Karmila dalam genre seram yang pasti mampu menggugat emosi setiap pembaca.


Dapatkan buku-buku yang terkini dan beinspirasi daripada Kafe Konfess Buku dengan melayari kafe.konfessbuku.com.

Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca