Ulasan Buku : Merantau Ke Deli

Jika tidak disertakan bersama nama penulis di hadapan kulit buku, pasti ramai yang menyangka penulisnya adalah seorang wanita.

Ajaib seorang Pak Hamka.

Beliau mampu membaca dan menjiwai hati seorang perempuan dengan begitu halus sekali.

Buku ini menceritakan tentang Poniem dan suaminya, Leman. Mereka bertemu di Deli ketika sama-sama menjadi buruh.

Dipendekkan cerita, Leman telah memperisterikan Poniem dan mereka telah berjaya mengubah nasib diri mereka.

Poniem banyak berkorban harta benda dan jiwanya demi sang suami, tetap setia bersama. Dari lembah kemiskinan dan keterdesakan hinggalah ke puncak tertinggi kehidupan.

Namun, segalanya berubah dengan kehadiran Mariatun.

Saya hanya akan merosakkan keterujaan para pembaca sekiranya plot konflik dan kemuncak diceritakan di sini.

Adalah lebih baik kiranya dikongsikan beberapa pengajaran yang begitu hebat Pak Hamka tinggalkan untuk kita.

Di dalam buku ini, Pak Hamka turut mengkritik beberapa adat Minangkabau di zaman dahulu kala yang terlalu melebihkan perempuan.

Sebagai contoh, suami perlu mencari duit sebanyak yang mungkin agar boleh dibuatkan rumah dan diberikan sebidang tanah sawah untuk isteri dan anak perempuan di kampung.

Sawah dan rumah yang telah disiapkan sama sekali tidak akan menjadi milik suami, sebaliknya milik kekal si isteri. Sekalipun mereka bercerai, si suami tidak mempunyai hak untuk menuntut rumah itu meskipun si suamilah yang telah membangunkannya.

Itulah kewajiban bagi setiap lelaki Minangkabau.

Perkahwinan Leman dan Poniem mendapat tentangan hebat dari orang-orang kampung Leman yang begitu kuat mengamalkan adat dan budaya Minangkabau.

Akhlak dan budi bahasa Poniem yang begitu tinggi tidak mampu mengubah statusnya sebagai orang Jawa.

Ketika itulah, kehidupan suami isteri itu berubah. Dari taman-taman kecil syurga,  menjadi sesempit-sempit lubang neraka.

Leman mulai didesak oleh penduduk kampung untuk berkahwin dengan salah seorang gadis dari rumpun mereka.

Beliau menjadi serba salah dan serba tidak kena.

Sehinggalah beliau meminta nasihat dari seorang kawan tentang memperisterikan Mariatun.

“Ikutlah kata hati sendiri. Orang-orang hanya tahu berbicara. Kelak yang menangung nasib bukan mereka tetapi kita. Mereka tidak berfikir tentang kesan,  hanya tahu meluncurkan kita ke lembah kesulitan. “

Jika diterlalu difikirkan cara ‘bahagia’ menurut orang,  nescaya kita akan lupa bagaimana caranya bahagia menurut diri kita sendiri.

Leman  pula selaku suami, sering kali tenggelam dalam peperangan antara pertimbangan dan perasaan.

Sehingga pada akhirnya, beliaj membuang Poniem yang telah membahagiakannya selama hampir 10 tahun.

Pun begitu, akhlak Poniem tidak pernah luntur pada saat pertama kali bertemu dengan Mariatun. Insan yang bakal menggantikan tempatnya.

Hidup ini adalah pentas ujian dan Poniem berjaya menampilkan satu yang watak yang begitu tangguh dalam menghadapi malang yang berganti-ganti dalam hidupnya.

Kata Pak Hamka, sudah demikian hidup ini. Habis kesulitan yang satu akan menimpa pula kesulitan yang lain. Kita hanya beristirehat untuk semetara, guna mengumpulkam kekuatan untuk menempuh perjuangan yang baru.

Hanya satu yang akan kita jaga di sana,  iaitu kuatkan kaki dan jangan tergelincir.

Dan tak usah kita tertawa di waktu turun kerana kita akan menempuh pendakian yang lain pula, yang biasanya lebih tinggi dan menggoyahkan lutut.

Dan barulah kelak di akhir sekali,  akan berhenti pendakian dari penurunan ini, di satu padang yang luas terbentang bernama maut.

Di sana akan bertemu alam datar,  tak berpendakian dan tak berpenurunan lagi.

10/10 👍

#MembinaGenerasiIqra


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Siti Nor Afifah Abdul Razak
Siti Nor Afifah Abdul Razak
Articles: 8