Ulasan Buku : Honour

Honour bermaksud nama baik, sanjungan, maruah dan kehormatan. Ditulis oleh penulis berketurunan Turki dan Inggeris (Britain). Beliau terkenal dengan hasil karya yang bertemakan feminisme dan sufisme. Novelnya ini bertemakan subjek yang serius iaitu “honour killing” atau pembunuhan demi kehormatan keluarga.

Watak utama novel ini adalah Pembe dan Jamila, sepasang kembar seiras, dilahirkan pada tahun 1945, yang masing-masing merupakan anak ketujuh dan kelapan di dalam keluarga. Mereka tidak mempunyai abang mahupun adik lelaki. Dilahirkan di dalam masyarakat Kurdi beragama Islam, di sebuah rumah kecil di pinggir kampung Turki, mereka amat berpegang teguh dengan budaya dan tradisi kaum mereka.

Mereka adalah masyarakat yang konservatif, wanita mereka adalah suri rumah dan berkhidmat untuk suami dan anak-anak. Kaum lelaki tidak akan memasuki kawasan dapur walaupun hanya untuk mengambil segelas air dan mereka dilayan seperti raja. Kaum wanita mereka tidak dibenarkan keluar bekerja, apatah lagi sekadar keluar untuk berjalan-jalan seorang diri, bersiar-siar membeli belah. Kehormatan adalah satu perkara yang amat tinggi nilainya, dan jika tercemar, tindakan harus dilakukan.

Jamila tidak berkahwin dan menjadi bidan di kampung tersebut. Dia tidak mengambil sebarang upah, namun orang kampung memberikan saguhati  berbentuk barangan keperluan harian seperti tepung, roti, keju dan lain-lain. Pembe pula berkahwin dan berpindah ke London mengikut suaminya bekerja. Mereka mempunyai tiga orang anak; Iskender 16 tahun, Esma 15 tahun & Yunus 10 tahun.

Pada mulanya, perkahwinan Pembe baik-baik sahaja walaupun bukanlah atas dasar cinta. Namun, segalanya berubah apabila Adem, suami Pembe mula terlibat dengan judi dan menjalinkan hubungan sulit dengan penari kelab, Roxana.  Adem langsung tidak pulang ke rumah, namun mereka tetap kekal sebagai suami isteri.

Pembe tidak fasih berbahasa Inggeris, namun dia berusaha untuk mempelajarinya. Pada tahun 1977, dia bertemu dengan Elias, seorang tukang masak yang berasal daripada Montreal. Elias telah menyelamatkannya di sebuah kedai menjual gula-gula dan coklat. Penjual dan pemilik kedai itu bersikap rasis dan cuba mendiskriminasi Pembe. Sejak pertemuan itu, hubungan Pembe & Elias menjadi akrab. Mereka sering keluar menonton wayang di pawagam secara sembunyi.

Walaupun pelbagai langkah berhati-hati telah diambil oleh mereka, namun tembelang mereka pecah apabila abang Adem, Tariq telah terserempak dengan mereka. Namun, hal ini tidak disedari Pembe. Tariq telah melaporkan hal ini kepada Iskender dan menasihatkannya untuk mengambil tindakan terhadap ibunya kerana telah mencemarkan maruah keluarga. Di dalam masa yang lain, Yunus, anak bongsu Pembe juga pernah ternampak Pembe & Elias keluar bersama membeli bunga.

Hal ini telah menimbulkan kemarahan Iskender, dan akhirnya dia nekad untuk membunuh ibunya. Dia kemudiannya ditangkap dan dipenjarakan selama 12 tahun. Sepanjang tempoh dipenjara, Esma, adik perempuannya, tidak pernah memaafkannya. Pada tahun terakhir, Iskender mendapat satu kejutan yang turut akan mengubah persepsi pembaca terhadap novel ini.

Novel ini sangat menarik kerana penulis mengangkat satu tema yang jarang diambil perhatian masyarakat khususnya di Malaysia. Membunuh ahli keluarga wanita demi membersihkan nama baik keluarga. Di dalam novel ini, perbuatan Pembe mempunyai hubungan dengan lelaki asing walaupun telah bersuami dianggap sumbang dan amat memalukan oleh kaum keluarga dan masyarakat.

Namun yang peliknya, perbuatan Adem yang bermain judi, tidak mencari nafkhah untuk keluarga, malah bersekedudukan dengan wanita asing, tidak pula dianggap mencemarkan nama baik keluarga. Di sini dapat dilihat diskriminasi jantina pada zaman tersebut.

Banyak lagi isu yang turut diangkat di dalam novel ini, di antaranya; isu kepercayaan, kasih sayang, suami yang suka memukul isteri dan anak-anak, bunuh diri, masalah psikologi dan penyakit kemurungan dan pelbagai lagi.

Berikut adalah beberapa potongan ayat yang disukai sepanjang pembacaan:

1. “If there is no harmony inside that person, he will always be angry”.

2. “The mind needs ideas the way a car needs fuel to run. And ideas come from books, lately”.

3. “Even though copper and iron were medicinally important, it was gold that they worshipped instead”.

4. “Never had it occurred to him that you could deceive the person you held dear. It was his first lesson in the complexity of love”.

5. “Some women are married and alone, some like me are merely alone”.

Penulis banyak menggunakan teknik imbas kembali dan penceritaan melalui sudut pandangan setiap watak dan penulis sendiri. Ini membantu pembaca untuk lebih memahami situasi dan justifikasi sesuatu tindakan bagi setiap watak. Sebagai contoh, pembaca akan lebih memahami mengapa Adem dan Iskander sanggup melakukan apa yang mereka lakukan berdasarkan latar belakang keluarga mereka.

Babak yang paling kelakar apabila Iskender sering berbalas hujah dengan rakan selnya di penjara, Zeeshan. Walaupun bahasa Inggeris Zeeshan tidak berapa bagus, tetapi ayatnya penuh motivasi dan teguran semangat. Walaupun kadangkala ianya agak puitis dan merimaskan Iskender.

Secara keseluruhan, ini adalah sebuah novel tragis. Namun ia bukan bermakna tidak seronok membacanya, malah sebaliknya. Bagi kalian yang tidak pernah mengenali tradisi dan budaya masyarakat Turki, buku ini sangat sesuai dibaca. Banyak ayat-ayat menarik dan sinis di dalam novel ini dan menggunakan laras bahasa sederhana yang mampu membuatkan kalian tersenyum mahupun tertawa ketika membaca.

Pendek kata, bacalah buku ini. Ada banyak perkara yang akan dapat kalian pelajari daripadanya. 5 bintang untuk buku ini.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Ana Reads
Ana Reads
Articles: 7