Ulasan Buku : Gelap

Sebuah buku psiko thriller yang mampu membuatkan pembaca tak senang duduk, meremang bulu roma dan tak lalu makan. Sukar untuk melelapkan mata pun ya juga. Terbayang-bayang kengerian yang digambarkan penulis. Maka, sila jangan baca pada waktu malam, sebelum tidur.

Mengisahkan tentang sekumpulan anak muda yang kaya raya; Adi, Anip, Ed, Sheqa, Eva dan Athirah yang sudah bersahabat sejak sekolah rendah lagi. Seperti kebiasaan mereka saban tahun, sebuah ‘parti liar’ akan diadakan. Dan pada tahun tersebut adalah giliran Adi sebagai penganjurnya.

Mereka semua dijemput ke parti tersebut di rumah agam milik ibubapa Adi yang terletak jauh di dalam hutan dan terdapat sebuah air terjun yang sangat cantik. Adi membawa bersamanya Maya, teman wanitanya yang merupakan seorang pelajar perubatan. Manakala Anip pula membawa Dawi, teman wanitanya sejak setahun yang lalu.

Keterujaan mereka berparti terpadam apabila Anip dan Ed menjumpai mayat Adi di dalam keadaan yang amat mengerikan. Tergantung daripada sebuah pokok, kakinya ke atas dan kepalanya diikat dengan sehelai kain sapu tangan, lalu direndam ke dalam baldi penuh berisi air. Mereka menyedari bahawa nyawa mereka semua terancam apabila terjumpa sekeping nota di dalam mulut Adi.

Siapakah yang tergamak melakukan sebegitu terhadap Adi dan apakah motif pembunuh tersebut? Mampukah yang lain menyelamatkan diri masing-masing?

Pembunuh di dalam buku ini digambarkan sebagai seorang psiko. Dek kerana rasa sayang yang melampau, mengakibatkannya berdendam dan sanggup membunuh.

“Kerana rasa sayang yang melampau, dia gila. Apa benar hanya ada satu garisan tipis yang memisahkan antara benci dan sayang? Tidak pasti. Apa yang pasti ialah apabila rasa sayang yang terlampau itu wujud, ia berpotensi untuk melahirkan satu lagi rasa baru apabila apa yang disayangnya hilang; benci.”

Buku ini terdapat unsur erotik dan tidak berapa sesuai dibaca oleh remaja. Namun, di akhir buku ini, ada mesej bermakna yang ingin disampaikan penulis. Jika anda berada di tempat pembunuh, mampukah anda menjadi seorang pemaaf? Atau anda lebih memilih untuk berdendam? Apakah bunuh diri adalah satu tindakan yang wajar? Nilailah dengan mata hati.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Ana Reads
Ana Reads
Articles: 7