Ulasan Buku : Dr. Jekyll & Mr. Hyde (Edisi Bahasa Melayu)

Ulasan Buku : Dr. Jekyll & Mr. Hyde (Edisi Bahasa Melayu)

Judul Buku : Dr. Jekyl & Mr. Hyde (Edisi Bahasa Melayu)
Penulis Asal : Robert Louis Stevenson
Penterjemah : Dali Fazuri
Penerbit : Gapuraloka
Genre : Fiksi
Jumlah Halaman: 150

Dali Fazuri merupakan seorang penterjemah novel klasik ke Bahasa Melayu. Setakat ini, terdapat empat novel klasik terjemahan beliau di pasaran. Buku ini merupakan buku yang ke-4 beliau tukangi dan diterbitkan pada tahun ini. Tiga novel fiksi sebelumnya ialah; Frankenstein, Drakula dan The Invisible Man. Kini, beliau sedang menukangi novel “Leagues Under The Sea”.

Kesemua buku terjemahan beliau sudah saya dapatkan dan tidak kecewa dengan buku-buku terjemahan beliau malah jatuh hati. Sebabnya adalah penulisan beliau masih mengekalkan keaslian cerita dan emosi penceritaan. Boleh saya katakan bahawa inilah keistimewaan beliau.

Dalam novel Dr. Jekyll & Mr. Hyde edisi Bahasa Melayu ini, tema yang dibawakan sangat penting untuk kita refleksi diri sendiri. Awalnya, saya beranggapan bahawa cerita ini membawa tema kecelaruan identiti yang pelbagai. Sehinggalah sampai di bab terakhir, fahamilah saya bahawa R.L Stevenson ingin menunjukkan konsep sifat dualiti manusia. Sifat dualiti yang dimaksudkan adalah sifat baik dan jahat yang wujud dalam diri seorang manusia.

Seperti dalam tajuk buku, dua nama yang berbeza ini sebenarmya merupakan orang yang sama. Berdasarkan nama, Dr. Jekyll mewakili sisi baik dan Mr. Hyde mewakili sisi buruk. Dr. Jekyll merupakan seorang doktor yang dikenali seluruh kota London dan dihormati ramai kerana budi yang dicurahkan kepada penduduk kota. Sebaliknya, identiti kedua Dr. Jekyll iaitu Mr. Hyde merupakan seorang yang kelihatan aneh, jengkel serta kejam. Identiti Mr. Hyde ini muncul  hasil daripada kejayaan Dr. Jekyll dalam kajiannya untuk memisahkan sifat baik dan jahat yang sentiasa bersaing dalam dirinya. Seperti yang diceritakan, Jekyll ada mengatakan,

“Dari sisi moral, dan dalam diriku sendiri, kubelajar mengenali sifat dualiti manusia secara menyeluruh dan primitif. Aku melihat bahawa, daripada dua sifat yang bersaing dalam kesedaranku, aku sebetulnya bisa digolongkan dalam mana-mana sifat, kerana diriku secara radikalnya tergolong dalam kedua-duanya.” (muka surat 117)

Jekyll amat senang dengan kejayaannya ini dan telah menggunakan ramuan hasil kajiannya beberapa kali. Setiap kali beliau bertukar menjadi Hyde, pasti beliau akan menimbulkan kekacauan di kota. Paling tergempar adalah apabila dia telah memukul seorang ahli Parlimen bernama Sir Danvers Carew dengan kejam sehingga mati.

Menurut pernyataan Jekyll seperti di atas, saya berpandangan bahawa konsep ini sama dengan konsep akal dan hawa nafsu dalam diri seorang insan. Di mana, seorang manusia akan terjebak dalam dilema di antara melakukan kejahatan atau suatu larangan Allah s.w.t atas dorongan hawa nafsu dan mencegah diri daripada melakukannya. Persaingan akan terus berlaku sehinggalah akal berjaya menimbang antara yang baik dan buruk dan memilih jalan yang baik. Sedangkan, hawa nafsu sentiasa memilih yang buruk dan perkara-perkara jahat.

Dalam perspektif agama Islam, seorang insan itu digesa untuk menguasai nafsunya agar dirinya tidak dikawal oleh nafsu. Demikian, diri akan selamat dan terlepas daripada kerosakan dan kebinasaan. Hal ini ditunjukkan oleh Hyde yang merupakan sisi jahat dan dikuasai nafsunya secara menyeluruh. Kemudian sisi Jekyll yang bersifat baik juga telah dikuasai oleh sisi jahat Hyde secara perlahan-lahan. Pengakhirannya, Jekyll binasa akibat daripada penguasaan sifat Hyde terhadap dirinya. Allah (s.w.t) juga telah memperingatkan dalam Surah Al-Mukminun, ayat 71 iaitu,

“Kalau sekiranya yang hak (Allah s.w.t) mengikuti akan hawa nafsu mereka, sungguh akan binasalah segenap langit dan bumi, dan segenap isinya.”

Oleh itu, jiwa seorang manusia harus sentiasa dibersihkan dan dididik dengan baik menurut ajaran al-Quran dan as-Sunnah. Dengan kata lain, iaitu penyucian jiwa atau tazkiyatun nafs. Akhir sekali sukacita saya memetik kata-kata oleh Dali Fazuri yang dititipkan berserta tandatangan beliau pada buku untuk pembaca iaitu, “hunus akalmu, bunuh nafsumu.”


Dapatkan buku-buku yang terkini dan beinspirasi daripada Kafe Konfess Buku dengan melayari kafe.konfessbuku.com.

Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca