Ulasan Buku : Cinta Hari-hari Rusuhan

Ulasan Buku : Cinta Hari-hari Rusuhan

Cinta Hari-hari Rusuhan sebuah novel yang didasari daripada cerpen Api KL Belum Terpadam yang dihasilkan pada tahun 1996. Novel ini diterbitkan pada tahun 2000 oleh Creative Enterprise dan telah dicalon ke peringkat akhir Hadiah Sastera Perdana Menteri, malah ia diterjemah kepada bahasa Indonesia yang bertajuk Lelaki Yang Membunuh Kenangan (2019) oleh Bentang Pustaka. Ia juga diterbitkan oleh DuBook Press Sdn. Bhd. pada tahun 2017 yang merupakan cetakan pertama dan berhalaman sebanyak 277 muka surat.

Novel ini dikarang oleh penulis tanah air yang penuh dengan kontroversial dalam dunia sastera melayu di Malaysia. Namanya Mohd Faizal Musa atau dikenali sebagai Faisal Tehrani. Jikalau dibaca tajuk novel ini, kita akan hanya membaca kisah yang  menceritakan dunia cinta antara manusia yang digambarkan melalui watak Basri dan Tengku Valizah. Namun demikian, bukan itu sahaja yang hendak disampaikan oleh penulis kepada pembaca. Ia juga terselit penuh dengan jalan cerita perjuangan mahasiswa-mahasiswi pada zaman 70-an yang menentang penyelewengan kuasa oleh pemerintah, korupsi dan rasuah oleh pemimpin-pemimpin yang berkuasa dan mengangkat jiwa serta hak-hak rakyat bawahan yang tertindas.

 Selain itu, penulis juga menambah beberapa nilai murni yang patut kita junjung sehingga sekarang, iaitu sentiasa menghormati antara satu sama lain dan bersatu padu walaupun Malaysia penuh dengan kepelbagaian bangsa dan warna kulit. Penulis juga menggambarkan kehidupan di dunia ini yang bukan hanya hidup satu bangsa sahaja melalui watak Basri yang terdesak meninggalkan Malaysia demi mendapat perlindungan akibat rusuhan yang berlaku untuk memperjuangkan masyarakat-masyarakat petani di Baling, Kedah. Basri terpaksa membawa diri ke Sydney, Australia melalui Singapura yang dibantu oleh Keneth, melalui Surabaya dengan bantuan Pak Aslan dan hidup dengan baik tanpa rusuhan di Sydney dibawah jagaan Emma Whitbread. Salah satu petikan yang berkaitan kisah diatas ialah, “bumi hanya ada satu? Masakan tidak boleh berkongsi?”

Penulis menggambarkan nilai harapan dalam kehidupan manusia. Melalui watak Nakamura yang berimigrasi dari Hiroshima, Jepun akibat peristiwa pengeboman yang dahsyat oleh pihak Amerika. Seperti kata-kata Stephen Hawking, “ While there’s life, there is hope”. Disamping itu, penulis juga menempelak mahasiwa-mahasiwa yang hanya datang ke universiti semata-mata untuk lulus pengajian, mahu mendapat gred A setiap mata pelajaran yang diajarkan oleh pensyarah dan tidak ambik peduli tentang persekitaran yang berlaku di luar kampus. Hal ini kerana, mahasiswa adalah pewaris kepimpinan yang akan mencorakkan suasana di luar kampus apabila sudah bergelar graduan universiti persis petikan yang ditulis oleh penulis, hanya anak muda sahaja yang dapat mengubah dunia kerana dunia akhirnya kepunyaan anak-anak muda.

Menarik tentang novel ini, penulis dapat menceritakan dengan baik sekali lokasi-lokasi dalam Universiti Malaya, malah menarik pembaca bagaimana penulis ini bagus sekali dalam membuat silang semak pembacaan dengan menceritakan dengan terperinci lokasi pelarian Basri di Autralia, Perancis dan London. Bahasa yang digunakan oleh penulis tidak berat dan mudah difahami dengan baik apa yang penulis hendak sampaikan walaupun plot penceritaan yang melompat-lompat  dari satu zaman ke zaman lain.

Akhir kata, selamilah jiwa wahai anak muda dengan membaca karya ini untuk menghadapi rusuhan-rusuhan yang akan datang pada masa hadapan. Saya memetik satu penulisan dari karya ini,

”Hidup memang bukan mudah dan kerana payahnya kehidupan itu, aku dan engkau akan menjadi lebih bermakna sebagai manusia.”


Dapatkan buku-buku yang terkini dan beinspirasi daripada Kafe Konfess Buku dengan melayari kafe.konfessbuku.com.

Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca