Ulasan Buku : Before The Coffee Gets Cold

Jika diberi peluang untuk bermain dengan pergerakan masa, walaupun sekejap, bagaimanakah anda akan menggunakan peluang tersebut? Adakah anda akan memilih untuk ke masa lampau atau bergerak ke masa depan? Dan dengan siapakah anda akan memilih untuk bertemu pada kesempatan yang terhad itu?

Melalui buku ini, pembaca dapat mengenal pasti penyesalan-penyesalan yang dimiliki oleh karakter-karakter yang terlibat; penyesalan seorang kekasih, penyesalan seorang isteri dan penyesalan seorang saudara perempuan. Buku ini mampu membuatkan pembaca berasa dekat dengan salah seorang daripada watak yang terlibat ataupun paling kurang untuk menyedari persamaan kita dengan manusia yang lain iaitu kadangkala kita mempersoal tentang tindakan kita dengan soalan “Adakah keadaan atau situasi aku ini akan menjadi lebih baik jika aku mengambil keputusan yang lain dahulu?”. Selepas membaca buku ini, saya mengakui bahawa soalan ini pernah saya tanyakan pada diri saya sendiri dan saya yakin orang lain juga berkongsi persamaan ini. Walaupun kita tidak digalakkan untuk berfikir tentang ‘kalau’, sifat ingin tahu manusia itu selalu membawanya kembali kepada masa lalu. Namun, tidak dinafikan bahawa kadangkala kita juga perlu melihat ke belakang untuk memperbaiki langkah kita ke hadapan. Cuma janganlah dibiarkan masa lalu itu melemaskan kita sehingga kita berasa tiada lagi masa depan untuk kita.

Saya bukanlah seseorang yang menyukai cerita merentas masa atau ‘time travelling’. Tetapi apa yang membuatkan saya membaca buku ini adalah kerana keinginan saya untuk mengetahui apakah kisah di sebalik manusia yang ingin merentas masa. Cerita ini adalah fiksyen semata-mata tetapi saya yakin setiap penulis menetapkan suatu masa untuk membuat kajian tentang penulisan mereka dan mungkin kisah-kisah orang sebenar di sekeliling penulis membuatkan beliau menghasilkan buku ini. Elemen merentas masa yang diterapkan oleh penulis tidak bersifat keterlaluan; terdapat syarat-syarat yang ketat yang membuatkan ramai orang tidak memilih untuk melaluinya dan sesiapa yang pergi ke masa lalu tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengubah masa depan. Elemen yang tidak keterlaluan ini merupakan daya penarik buku ini kerana ia tidak mengendahkan tentang kepentingan masa dan betapa pentingnya manusia itu berfikir dengan sedalam-dalamnya sebelum membuat sesuatu tindakan kerana setiap keputusan yang diambil pasti akan membawa kesan, sama ada baik ataupun buruk.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Nurul Najwa Mohd Radzi
Nurul Najwa Mohd Radzi
Articles: 2