Ulasan Buku : Amru Rebellion

Ulasan Buku : Amru Rebellion

Nama Hilal Asyraf bukanlah satu nama yang asing lagi di dalam dunia perbukuan, terutama bagi novel-novel bergenre aksi dan ‘thriller’. Novel ini merupakan hasil idea Tuan Aeril Zafrel dan penulis menterjemahkan idea tersebut dengan bakat menulis beliau.

Mengisahkan tentang seorang pemuda berusia 20-an bernama Amru. Amru dibesarkan di sebuah kawasan terpencil di luar Kota Lemuria, Taujih Ruhiyyah. Terletak di dalam kawasan perhutanan, jauh daripada dunia kemodenan, suasana di situ amat tenang dan nyaman. Penduduk di situ di ajarkan membumikan ilmu agama, terpasak kemas di dada. Santri (pelajar) di situ turut diajarkan ilmu akademik dan seni tempur. Tujuan utama pembelajaran adalah melihat dunia daripada perspektif akhirat.

Amru diarahkan pergi ke Kota Lemuria untuk berjumpa dengan ibunya yang sedang sakit tenat. Kota Lemuria adalah sebuah kota yang penuh kerosakan. Sebutlah apa sahaja jenis kerosakan yang mampu dilakukan oleh manusia, judi, arak, zina, perdagangan manusia, rasuah, gangsterisme dan lain-lain, ada di kota itu. Kota tersebut dikuasai dan diperintah oleh Tuan Mansur.

Amru buntu mencari jalan mendapatkan wang bagi menampung kos pembedahan ibunya. Namun, takdir telah menetapkan, Amru telah membantu Tuan Mansur menyelamatkan nyawanya daripada dibunuh. Dek kerana terhutang budi, Tuan Mansur telah membayar dan menampung kesemua kos pembedahan, rawatan dan perubatan ibunya. Tuan Mansur juga telah menawarkan pekerjaan sebagai ketua pengawal peribadi kepada Amru.

Tanpa pengetahuan ibunya, dan tanpa Amru sedari, dia telah masuk ke dalam perangkap Tuan Mansur. Apakah perangkap itu? Siapakah Tuan Mansur sebenarnya? Mengapakah ada pihak yang ingin membunuh Tuan Mansur?

Bagi yang sudah biasa membaca karya Hilal Asyraf, anda pasti tahu bahawa karya beliau bukanlah karya picisan. Bahkan, penuh dengan nasihat dan pengajaran. Bagi aku sendiri, ianya ibarat satu teguran buat diri yang selalu alpa.

Lihat ayat penulis:

“Jangan menjadi seperti Ikarus yang sayap buatannya terbakar dek panasnya mentari, hanya kerana dia tidak sedar akan kemampuannya untuk terbang terlalu tinggi. Sekadar mengingatkan. Engkau bukan orang pertama dalam dunia kita ini yang tertipu dengan kejayaan-kejayaan kecil.”

Ayat ini mengingatkan kita agar tidak terlalu berbangga dengan kejayaan dan kebolehan yang kita miliki sekarang ini. Boleh jadi ia mampu menjadi kebinasaan buat kita sekiranya sombong dan alpa kelak.

Penulis juga mengajak kita sentiasa bersangka baik dengan setiap aturan Tuhan:

“Apa pun yang kita tidak selesa dengan kehidupan ini, ia adalah sebuah ujian. Untuk kita tempuhi, supaya dengannya kita menjadi manusia yang lebih baik.”

Pembaca juga disedarkan akan hakikat kehidupan dan kematian, sama ada menang di dalam perjuangan atau mati di dalam keadaan mulia:

“Bukankah kita berada di dalam lindungan Allah? Sekiranya kita dipanggil pergi pun, bukankah kita dipanggil pergi untuk kembali kepada Yang Maha Mencintai kita?.”

Ada juga bahagian di dalam novel ini yang menerangkan tentang istidraj dan dialog manusia yang mencabar kekuasaan Tuhan:

“Aku mampu menolong orang yang susah,memberikan bantuan kepada yang memerlukan, buat kebajikan itu dan ini, dengan apa? Duit yang datang dari mana? Daripada kerja-kerja yang engkau panggil haram itu. Jalan halal sahaja tidak mencukupi! Jika Tuhan bencikan sangat jalan haram itu, mengapa Dia tidak membenarkan? Aku balas jasa Dia. Kerana itu aku tetap berbuat kebaikan. Apakah Tuhan tidak pandai mensyukuri tindak tanduk aku ini?

Dan ayat yang paling buat aku tersentuh hati agar tidak kufur dengan nikmat Allah dan sentiasa bersangka baik dengan takdir-Nya:

“Apabila Allah susunkan kepada kita sesuatu yang buat kita gembira, kita bersyukur dan memuji-Nya. Kita kata, itulah hikmah-Nya, itulah kebaikan-Nya. Apabila Dia menguji kita dengan sesuatu yang buat kita sedih, apakah kita akan membentak dan mempersoalkan-Nya? Apakah kita akan kata, itulah kebencian-Nya, itulah keburukan-Nya? Naudzubillah”

Menarik bukan novel ini? Jomlah kita membaca novel ini. Novel ini adalah novel yang berdiri sendiri. Namun, penulis sengaja membuatkan pengakhirannya agak tergantung. Jika ramai permintaan untuk diadakan sambungannya, akan dipertimbangkan penulis. Maka, marilah kita beramai-ramai membacanya dan moga penulis berbesar hati untuk menulis sambungannya.


Dapatkan buku-buku yang terkini dan beinspirasi daripada Kafe Konfess Buku dengan melayari kafe.konfessbuku.com.

Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca