Ulasan Buku : Advencer Si Peniup Ney

Ulasan Buku : Advencer Si Peniup Ney

Naskah ini sememangnya memberi sebuah titik pandang yang baru buat saya terhadap kehidupan kita pada hari ini. Faisal Tehrani berjaya memukau pembaca dengan bahasanya yang disusun satu persatu dengan indah dan penuh makna, ayatnya sangat menusuk ke kalbu dan penuh dengan sindiran untuk dijadikan pengajaran serta pedoman para pembaca.

Buku ini mengisahkan tentang 40 orang remaja yang menjemput seorang pemuda bernama Sulaiman untuk mengemudi bahtera dakwah bagi negeri-negeri yang penuh dengan sifat cinta akan hiburan. Unsur agama tetap dititipkan dalam setiap pemilihan perkataan agar mesej yang disampaikan tepat menuju ke hati para pembaca.

Satu demi satu pengorbanan yang dibuat untuk memastikan bahtera tersebut masih kekal di lautan dan tidak tenggelam dek beratnya penduduk yang sunguh-sungguh mencintai alam hiburan dan muzik. Mereka alpa dengan Sang Pencipta yang mewujudkan bunyi, mencipta melodi dan menghadirkan ketenangan bagi setiap nafas zikir yang dialunkan.

Huluran tangan yang memahami dapat membantu seseorang yang terjerumus dalam jalan yang gelap itu kembali ke arah yang bercahaya. Hadirnya Sulaiman memberi sejuta makna buat negeri-negeri yang mencintai hiburan semata dan juga buat 40 pemuda tersebut. Teguran demi teguran diselami dalam setiap muka surat yang dikarang oleh Faisal Tehrani ini.

Hidup tanpa tujuan ialah hidup yang mengundang bencana. Kehidupan ini merupakan suatu pengembaraan, begitu banyak yang boleh kita pelajari daripada lelahnya perjalanan, panjangnya masa dan air mata ketabahan. Lap dahulu peluh yang menitik di dahimu dan teruskan perjalananmu dengan penuh kesyukuran!

Saranan membaca

Saya sangat menggalakkan anak-anak muda membaca buku ini kerana ianya berkisarkan tentang kehidupan anak muda yang sangat mencintai dunia hiburan sehingga alpa dengan tujuan sebenar dirinya dilahirkan di muka bumi ini. Buku ini juga sesuai bagi pencinta muzik yang terkadang keliru dengan fungsi sebenar muzik dalam agama, novel ini meskipun hanyalah rekaan semata-mata tetapi novel ini dapat membantu untuk memandu kita menghasilkan muzik yang bermanfaat buat masyarakat, agama dan alam. Lebih seronok jika anda sendiri yang dapat membaca novel ini dan menelusuri perkataan demi perkataan yang dipilih Faisal Tehrani dalam memberi sesuatu makna dalam kehidupan kita. Oh ya, tidak dilupakan bahawa novel ini telah memenangi Tempat Pertama Pertandingan Novel Remaja Hadiah Sastera 2004 Kumpulan Utusan, saya yakin anda tidak akan pernah menyesal untuk membaca novel ini! Selamat membaca!

“Andai ada yang tersasar, walaupun niatnya mulia dan luhur, wajib pula ditegur. Agama itu tenggang-menenggang.”

“Tidak mereka jadikan kelazatan dan keseronokan sebagai tunjang puja mereka. Tidak mereka terikut-ikut mengejar nama dan berkehendakkan kepada kemasyuran semata-mata, melainkan mereka hanya mahu nama mereka dikenali di langit oleh Tuhan dan para malaikat sahaja. Mereka sudah berhenti menjadi bodoh mengejar keseronokan yang kosong kerana hidup ini ternyata ada tujuan. Hidup tanpa tujuan ialah hidup yang mengundang bencana.”

“Orang muda kalau berbuat silap wajib dinasihatkan. Hati-hati dalam melangkah. Hati-hati mengemukakan dakwah. Anak muda yang berdakwah dan ingin berbuat kebaikan juga selalu ghairah, dan kadangkala silap perkiraan. Untuk berbuat baik juga perlu ada perhitungan. Semangat mesti ditimbangkan dengan kebijaksanaan. Kesimpulannya, berfikirlah sebelum bertindak, meskipun atas jalan kebajikan dan kebaikan.”


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca