Ulasan Buku : Merantau Ke Deli

PEMBACA INI TAWAR HATI UNTUK BERKAHWIN SETELAH MEMBACA BUKU INI    

Karya Hamka selalunya mendapat tempat di hati kalangan pembacanya. Tidak dapat dinafikan, karya-karya beliau seperti Tenggelamnya Kapal Van der Wijck, Tuan Direktur, Falsafah Hidup, Lembaga Hidup terkenal di serata tempat terutamanya di rantau Indonesia dan  Malaysia.

Hasil tulisannya yang bertajuk Merantau Ke Deli juga menjadi antara karya kegemaran para pembaca dan peminatnya. Ramai yang memuji dan memberikan komen positif terhadap novel karangan beliau.

Namun, apa yang mengejutkan di laman Goodreads, ada pembaca mengatakan beliau tawar hati untuk menempuh alam perkahwinan setelah membacanya. Bagaimana buku ini membuatkannya tawar hati untuk berkahwin?

Secara ringkasnya, buku ini adalah berkisarkan tentang seorang pemuda bernama Leman yang merantau ke tanah Deli untuk mengubah nasibnya. Di sana pula dia berjumpa jodoh dengan Poniem isteri orang kaya yang juga kuli. Atas kebijaksaan Poniem dan kesungguhan mereka suami isteri akhirnya perniagaan Leman dan Poniem semakin maju.

Jadilah Leman saudagar terkenal ke seluruh negeri dan ramailah pula sanak saudara yang menumpang kekayaan. Atas desakan ahli keluarga, Leman juga bersetuju untuk berkahwin seorang lagi kerana beranggapan Poniem yang bukan dari keturunan mereka tidak setaraf dan harta kekayaan Leman tidak dapat diwariskan kepada keturunan mereka.

Kehidupan berpoligami menyebabkan kehidupan Leman berantakan. Adatlah juga bila yang muda lebih disayangi, dan yang tua dipandang sepi. Akhirnya perniagaannya merosot kerana terlalu asyik dengan isteri baru malah sanggup juga menceraikan Poniem.

Begitulah akhirnya kehidupan berumahtangga Poniem dengan Leman. Rencah kehidupan alam perkahwinan yang diceritakan dalam karya Hamka ini sebenarnya adalah resam dalam alam rumahtangga. ia bukan hanya cerita rekaan semata-mata.

Memetik kata-kata yang ditulis oleh pembaca novel Hamka ini iaitu Ainunsailah di laman Goodreads yang berpendapat “Dalam perkahwinan yang utama adalah cita-cita. Cuma cinta, tidak cukup. Kerana sifat manusia ini fitrahnya tidak pernah puas. Dan kenalilah wanita, walau seberapa besar sekalipun agama memberi ruang kepada lelaki untuk poligami. Ia tetap melukakan. Cuma yang berjiwa besar akan bertahan. Wanita sebaik Poniem juga boleh bertahan cuma di awal. Apatah lagi, aku. Entah makin tawar hati dengan perkahwinan bila baca buku ini.”

Mungkin kisah poligami yang ditonjolkan dalam kisah ini adalah sebab utama mengapa pembaca ini tawar hati untuk berkahwin.  Namun, novel Hamka ini adalah berbaloi untuk dibaca, baik yang sudah berkahwin, belum berkahwin atau akan berkahwin.

 

Diulas oleh Nor Fatin Amira binti Salleh


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Nor Fatin Amira
Nor Fatin Amira
Articles: 1