Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Anak Rantau

Ulasan Buku : Anak Rantau

Tajuk novel: Anak Rantau

Penulis: A. Fuadi

Donwori Bihepi. Nama seorang anak lelaki yang diharap oleh bapanya agar sentiasa ceria dan gembira persis namanya. Bahagian pertama novel ini aku melihat Hepi seorang anak yang keras kepala. Dendam terhadap bapanya membuatkan dia nekad untuk menjadi anak nakal; bukan seperti harapan bapanya agar dia menjadi seorang anak yang mendengar kata apabila ditinggalkan di kampung halaman bersama nenek dan datuknya. Hepi bersama dua orang teman baiknya, Attar dan Zen mencari apa jua pekerjaan demi memenuhi hasrat Hepi untuk mengumpulkan wang dan pulang ke Jakarta;tempat di mana bapa dan kakaknya tinggal. Datuk Hepi, seorang tua yang ingin menebus kesilapan silam, cuba menawarkan pendidikan agama kepada masyarakat kampung khususnya anak kecil. Bukan sahaja pendidikan agama, tetapi juga ilmu silat. Pada usia muda, Hepi bekerja di merata tempat hingga ke ceruk kampung pun sanggup diredahi. Berkawan dan bekerja dengan pencuri yang telah bertaubat, Bang Lenon juga dia menyanggupinya walaupun telah ditegah keras oleh datuknya daripada terus bercampur dengan Bang Lenon dan pencuri kampung yang lain. Katanya, Bang Lenon sudah bertaubat!

Menurutku, tak salah cara fikir Hepi. Manusia mana yang sepi daripada salah dan dosa. Apabila dosanya pada dunia telah mendapat balasan setimpal menurut undang-undang dunia, maka orang tersebut telah bersih daripada kesalahannya. Jika salahnya kepada pemilik dunia; dia bertaubat, maka itu hubungan antara dia dengan Allah. Cuma, sebagai manusia yang tak punya upaya untuk membaca hati manusia; apakah seseorang itu benar-benar boleh dipercayai atau sebaliknya, sewajarnya kita sentiasa berhati-hati dan meminta perlindungan daripadaNya agar kita terhindar daripada sesuatu atau seseorang yang mempunyai niat yang tidak baik terhadap kita seperti yang tersebut dalam kalam suci, surah An-Nas.

Plot novel berubah rentak apabila watak Hepi berkembang menjadi hero yang disebut-sebut seluruh warga kampung. Bermula daripada perasaan marahnya apabila tabung simpanannya dicuri, Hepi bersama dua temannya menjadi detektif untuk mengesan pencuri yang bertanggungjawab mencuri di kampungnya bahkan mencuri di tempat keramat iaitu surau!

Ada satu isyarat yang cuba diketengahkan oleh penulis, A.Fuadi ketika sampai di plot ini. Melalui perbincangan mengenai kejadian demi kejadian buruk yang berlaku di kampung Hepi, tiga pendebat di warung Mak Tuo mereka menyebut:

Masyarakat Minang dulu mempunyai tiga kumpulan. Yang pertama, penghulu. Penghulu memimpin dan menjadi contoh kepimpinan kepada anak muda. Kedua, kelompok cerdik pandai yang menyelesaikan masalah yang berlaku dalam masyarakat mereka. Dan yang ketiga, kelompok alim ulama yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama termasuklah dalam soal pengurusan sahsiah dan akhlak anak muda mereka. Ketiga-tiga kumpulan ini bersinergi lalu membentuk masyarakat yang utuh serba-serbi dalam segenap aspek.

Persoalan yang mereka timbulkan, apakah ada lagi kelompok-kelompok ini yang saling bersatu pada hari ini? Bagiku, penulis sedang berbicara dengan para pembacanya. Tak kira apa jua keturunan atau bangsa, sinergi antara tiga kumpulan ini boleh membangunkan semula jati diri kita!

Dan seterusnya, aku dapat lihat Hepi kian menjadi satu watak yang aku kira watak yang aku inginkan agar terwujud dalam diriku.

Teruja akan hal baru–sifat ingin tahu yang tinggi–tidak mudah mempercayai sesuatu yang diluar logiknya meski ramai manusia yang mempercayai–tetap mencuba sesuatu yang ingin dilakukannya walaupun tidak tahu hasil di penghujung nanti dan meski dia sangat takut untuk melakukannya–suka membaca dan menyukai orang yang suka membaca.

Perkenalannya dengan Pandeka Luko membuka lagi mata dan hati Hepi terhadap sisi-sisi kejahatan dan ketidak adilan hidup. Pandeka Luko, pahlawan terbuang yang dizalimi. Namun tahun demi tahun, dendam dan luka terawat dengan menulis. Dia memaafkan dunia. Dia menulis puisi-puisi tentang kisah hidupnya yang terbuang. Dia menulis (dan membaca)!

Mungkin benarlah membaca dan menulis itu dapat merawat hati yang luka.

Tentang ketidak adilan hidup, mungkin mereka yang kita sanjung pada hari ini berubah menjadi dia yang kita buang. Atau dia yang kita buang semalam menjadi seseorang yang kita sanjung-sanjung hari ini. Dalam novel ini, A.Fuadi menunjukkan kepada kita bahawa tiada yang kekal dan tetap sama dalam hidup. Matahari yang sama kita lihat sedari bayi hingga mati. Tapi tidak bagi manusia atau isi dunia. Paling tidak, alam kecil dalam tubuh kita; perasaan, jiwa dan fikiran juga tidak kekal kan?

Klimaks dalam novel ini adalah saat Hepi dan dua temannya hampir mati kerana mereka mengetahui punca masalah di kampung mereka yang melibatkan sekumpulan pengedar dadah. Dan kumpulan ini diketuai oleh Bang Lenon. Kata Bang Lenon, berubah jalannya susah dan mahal. Cara ini lebih cepat dan mudah. Hepi yang hampir mati berharap agar matinya dalam iman. Aku percaya, siapa pun jua inginkan kematian yang baik tak kira betapa jelek atau bejatnya hidup semasa hayat di dunia.

Di penghujung kisah, Hepi sedar bahawa dia sebenarnya rindu dendam kepada bapanya. Dalam dendam kerana ditinggalkan bapanya, dia sebenarnya rindu. Rindu dendam. Sebagai penutup, hayatilah kata-kata Pandeka Luko:

’… Kita boleh ditinggalkan, tapi jangan mau merasa ditinggalkan. Kita boleh dibuang, tapi jangan merasa dibuang. Kita akan selalu ditemani dan ditemukan oleh yang lebih penting dari semua ini. Resapkan ini: kita tidak akan ditinggalkan Tuhan. Jangan takut sewaktu menjadi orang terbuang. Takutlah pada kita yang membuang waktu …’

Diulas oleh Mirratul Mukminah


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca