Ulasan Buku : Tulis! Jangan Takut-takut

Ramai orang menyimpan hasrat ingin menjadi penulis yang memiliki bait kata yang indah dan kosa kata yang tepat dalam menyampaikan sesuatu maksud. Ayat ringkas dan tidak berbelit memudahkan para pembaca menyelami mesej si penulis. Kosa kata yang kurang tepat atau bak kata orang zaman sekarang ‘punchline’ tak sampai, membuatkan orang ramai dengan mudah memutarbelitkan maksud penulis.

Seperti kemahiran yang lain, menulis juga adalah kemahiran yang perlu diasah dan diasuh. Seperti latihan bina ayat darjah satu tidak sama dengan latihan bina ayat darjah enam. Mungkin latihan darjah satu hanya empat hingga lima perkataan manakala latihan darjah enam mungkin harus mempunyai AT (ayat topik), AH (ayat huraian), AC (ayat contoh) dan AK (ayat kesimpulan). Kualiti kemahiran akan naik sedikit demi sedikit. Kekemasan ayat datang seiring dengan kematangan penulisan. Sebelum menjadi penulisan yang cukup masak dan rencah, hasil kerja harus menjalani proses mentah dan masam.

Tulis! Jangan Takut-takut hasil tangan Tuan Zamri Mohamad menghimpunkan gerak kerja insan yang bercita-cita menjadi penulis. Tulisan yang ringkas, lurus (straight forward) dan tidak berjela memudahkan penulis baru menghadam ilmu penulisan. Lebih menarik lagi, bukan sahaja ilmu penulisan dikongsi beliau malah adab penulis terhadap penerbit turut ditekankan dalam buku fizikal kecil ini. Ada juga diselit sekali ayat cinta dari Sang Pencipta yang paling menawan hati (bagi saya : pembaca).

Antara disiplin asas yang harus ditekankan oleh bakal penulis adalah :

1) Tulis dan terus menulis

2) Tulis dan habiskan

3) Tolak tepi alasan

4) Membaca dan membaca

5) Baca untuk tambah idea dan buah fikiran

Walaupun halaman buku hanya 130, kandungannya sangat padat dengan idea cara kerja penulis baru dalam menerbitkan buku sendiri seperti kaloborasi (kerjasama / tulis bersama) contoh sepertu buku Pendiam keluaran Iman Publication. Sebuah buku dengan dua orang penulis.

Dari helaian depan hingga belakang mesej buku tidak lari dari tip penulisan. Namun, Tuan Zamri Mohamad sempat menyelit kesan positif menerbitkan buku sendiri dalam menaikan nilai diri atau erti kata lain, memahalkan diri anda. Sangat membantu sekiranya anda seorang penceramah bebas atau motivasi, ahli perniagaan dan sebagainya.

Tip, panduan dan rencah menjadi penulis dalam buku ini sangat padat. Jika disenaraikan satu persatu panjangnya lebih kurang sama dengan buku ini sendiri kerana penyampaian sangat ringkas dan berisi. Digalakkan menelaah sendiri dan merasai angin deras yang menerpa pipi bertalu-talu.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Wan Aisyah Mashitah
Wan Aisyah Mashitah

Belajar tiada tarikh luput

Articles: 1