Ulasan Buku : Pelan-pelan Kayuh

Pelan-pelan kayuh adalah antologi yang merakamkan kisah benar hidup para penulis tika menghadapi ujian dan musibah serta cara mereka menguruskan dua perkara tersebut mengikut metod dan usaha bagi menggapai apa yang diinginkan atau mungkin berakhir dengan kecundang. Berjayakah mereka melepasi segala onak dan duri yang tumbuh? gagal atau culaskah menerima takdir ketentuan illahi?

Pelan-pelan kayu diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn. Bhd. pada tahun 2018, cetakan pertama, setebal 204 muka surat.

Buku ini terbit hasil kerja keras para peserta yang mengikuti bengkel penulisan Bonda Nor. Kata Bonda Nor, mereka dipaksa bangun seawal pukul tiga pagi untuk menuliskan kisah hidup penuh warna tetapi terdapat hikmah disebalik masalah yang berjurai. Jadi buku ini pasti meninggalkan kesan padu dihati pembaca. Termasuklah saya.

Buku ini amat istimewa kerana ia membawa kita menyantuni ujian dengan meletakkan sifat sabar dan redha sebagai kekuatan dan penyelesaian. Walaupun tidak semanis madu yang dirasakan, tetapi pahit menjadi penawar.

Masing-masing mempunyai jalan cerita dalam menterjemahkan erti sebenar ujian. Baik berupa pengalaman peribadi ataupun pengalaman orang lain. Rasa seronok membacanya kerana penulis mempunyai berbagai-bagai taktik melawan setiap cela-cela halangan.

Tentunya, diawal cerita mereka juga hampir-hampir tersadung kerana tak tertahan beban yang menanggung. Namun berkat sabar menjulang ke langit, mereka pelan-pelan kayuh mencapai puncak sabar itu.

Buku ini memetik ibrah yang sangat besar, sangat berkait rapat dengan setiap kejadian. Disebabkan itu terdapat mesej berharga yang baik untuk kita teladani dikemudian hari. Antaranya :

1- Pahala menjadi anak yang soleh.

Anak-anak soleh dan solehah di dalam buku ini dapat kita pelajari daripada Nabihah AB Razak yang akur akan keputusan ibunya agar jangan pindah sekolah juga Afiq Syazwan berjaya membimbing ibunya untuk bertudung. Nabihah menjadi anak yang solehah kerana menurut kata ibunya, manakala Afiq Syazwan menjalankan tanggungjawapnya sebagai anak lelaki kepada ibunya. 3 amalan yang tidak akan terputus selepas meninggal dunia salah satunya doa anak soleh. Oleh kerana itu, senantiasalah kita melatih diri menjadi anak-anak yang berbakti dari segi ilmu dan amal buat kedua orang tua kita.

2- Suri Rumah sepenuh masa.

Srikandi Islam, penulis buku ini ikhlas meneruskan kerjayanya sebagai suri rumah walaupun pernah rasa terhina kerana belajar tinggi-tinggi tetapi tidak bekerja juga. Sahabat, selepas diijabkabulkan, isteri diamanahkan menjalankan kewajipan kepada suami dan anak-anaknya. Dan ini adalah ‘kerja’ berlipat ganda pahalanya. Para isteri diberikan pilihan memasuki mana-mana pintu Syurga jika menunaikan segala hak-hak berumah tangga. Berbahagialah kita dianugerahkan gelaran isteri suri rumah.

3- Rezeki selepas berkahwin.

Nah ! disini kita temui kisah Bonda Nor dan suaminya yang terpaksa menarik diri daripada pengajian kemudian tertangguh atas dasar kewangan keluarga. Namun ternyata, asbab tersebut membawa Bonda Nor ke era bidang penulisan dan menyandang beliau sebagai penulis bestseller yang kerap muncul dalam majalah dan kaca televisyen.  Rezeki sebagai isteri mencurah-mencurah. Hikmah orang-orang yang menyumbangkan ilmu ditinggikan darjat mereka di sisi Allah ta’ala.

4- Ikhlas hidup bermadu.

Ini antara kisah yang mendebarkan sekali. Diawal halaman saja sudah terpatri nama si madu. Hannan Alias  merelakan sahabat baiknya berkahwin dengan suaminya atas keputusan dan pilihan sendiri. Bergaduh dan salah faham perkara biasa yang memualkan rutin harian, namun ini adalah cara penulis mencari bahagia dan Syurga Allah melalui hidup berpoligami.

MashaAllah ! inilah tujuan yang hendak disampaikan para penulis, mengajak orang ramai mengayuh ujian, bencana atau apa sekali pun musibah dengan kesabaran dan ketabahan. Pengakhirnya, bertemu hasil  yang lumayan daripada yang Esa.

Para Nabi antara manusia paling dasyat diuji di muka bumi. Ambil contoh kisah Nabi Ayyub AS ditimpa penyakit kulit berlanjutan dan berpanjangan. Walau bagaimana pun, baginda tetap bersabar dan yakin bahawa bantuan Allah akan datang pada waktu yang tepat. Nabi Zakaria AS bertahun-tahun lama menanti zuriat, Allah memberikannya berkat sabar dan doa. Maryam mengandungkan Nabi Isa AS dan difitnah melahirkan anak luar nikah. Akan tetapi wahyu turun dan membersihkan tuduhan ke atasnya. Begitulah ada yang menahan dan sanggup ditohmah. Penghujungnya menghantarkan kita ke arah yang sama yakni belajar untuk bersabar.

Hendak dibandingkan ujian kita terkena duri di atas jalanan pasti tidak akan mampu menyayingi. Ujian mereka sangat luar biasa sehingga ada kisah Nabi yang dipulau ahli keluarga.

Tidak semua mampu merentasinya tanpa meletakkan pergantungan kepada Allah. Tanpa pertolongan dari-Nya. Tanpa keyakinan dan ketulusan dari lubuk hati paling dalam. Seperti tag line buku ini mengatakan,

“Kau bukan tak mampu, Cuma tak tahu. Kau bukan tak tahu. Cuma Tak Sabar “

Bila kita fikir cuma kita sahaja paling perit melalui musibah dan ujian, percayalah masih ada yang sedang bergelut begitu sukar melalui ujian-Nya. Jika mereka pakai kereta untuk sampai ke puncak kesabaran, tidak mengapa. Kita pakai basikal asalkan sampai, rajin dan istiqomah !

Pelan-pelan kayuh gais…

Selamat membaca.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67