Ulasan Buku : Noktah Terjahit

‘Dengan tumbuhnya media sosial, dunia tidak lagi punya sempadan. Capaian tidak lagi dibataskan. Semakin mudah kita diperalatkan. Semakin laju kemuslimahan ditunggang oleh mereka yang tamak haloba demi kepentingan kocek dan perut yang tak pernah dipuaskan. Kasihan anak gadis kita yang wajah putih bersih mereka dipaparkan secara terbuka lalu menjemput pandangan-pandangan gelora para pemuda.’ [Noktah Terjahit, hal.25, Nik Nur Madihah]

Dunia yang fana selalu mencabuli manusia menjentik keseronokan sehingga kita terlupa akhirat tempat kehidupan diberi perhitungan. Jiwa seorang wanita terkadang perlu diketuk untuk menyedarkan kembali tujuan asal diciptakan di muka bumi ini sebagai hamba yang mengabdikan diri kepada Tuhan.

Kenapa wanita, perempuan, dan muslimah? Kerana kitalah yang selalu tertipu pada era globalisasi yang kerap menumbang identiti kita melakukan keburukan sehingga mempergadai ugama. Siapa yang tidak kenal, Khadijah RA ialah isteri Rasulullah shallahu’alahi wassalam, seorang ahli perniagaan yang banyak mengorbankan harta dan jiwanya untuk agama. Maka beliau adalah salah satu teladan para muslimah di akhir zaman.

Noktah Terjahit, karya Nik Nur Madihah kelahiran kota Bharu Kelantan, 25 September 1991, seorang wanita yang berjaya mengharumkan nama Malaysia ketika tahun 2008 dengan pencapaian 20A Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (SPM). Naskhah yang memuatkan 135 halaman, telah dicetak sebanyak dua kali pada bulan September & November 2017 dibawah terbitan Jejak Tarbiah Resources. Tentunya kejayaan yang pernah dirangkul oleh Nik Nur Madihah menyebabkan beliau mendapat perhatian sebahagian penulis dan akhirnya terhasil buku bertajuk ‘Catatan Nik Nur Madihah’ karya Ummu Hani Abu Hassan dan ‘Permata Generasi Rabbani’ oleh Ummu Sakinah. Pasti rakyat Malaysia mengenalinya bukan?

Ketebalan buku yang ringan, lakaran ilustrasi yang menarik, motivasi kehidupan berbagi pengalaman akan membawa para wanita diluar sana merenangi lautan luas dibawah arus yang deras ketika membacanya. Muatan warkah penghantar bicara kasih oleh sang penulis seolah-olah kita sedang memasang telinga, merenung empat mata, menepuk bahu dan mengesat air mata bersama-sama. Pada yang mahukan suntikan rohani, pembersihan jiwa, pembangkit semangat tatkala pernah jatuh sebagai perempuan yang lemah diarus ujian berlipat ganda, buku ini hadir memberi jawapan.

Harapan buku ini supaya terus berada ditangan orang-orang yang tidak jemu mendengarkan nasihat, semoga pahala kebaikan terus mengalir kepada penulis ini. Buku ini boleh didapati dengan melayari Website www.jejaktarbiah.com dan ImanShoppe atau boleh berhubung halaman facebook DukkanMaya yang diseliakan oleh beliau sendiri.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67