Ulasan Buku : Isteri Dominan

Judul buku Isteri Dominan merupakan sebuah buku duet hasil cetusan ilham Bonda Nor & Puan Farizah Shamsudin. Ia dibawah terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd, cetakan pertama di tahun 2019 dan setebal 216 halaman.

Pertama kali bertentang mata dengan buku ini tertarik pada cover buku tertera ditulis ‘Isteri Dominan’. Tanpa berfikir panjang saya terus membuka pada bahagian kandungan. Beberapa hari lepas, memang ada terlihat buku tersebut dipromosikan di dinding facebook oleh penulis. Akhirnya, kami sudah pun berjodoh.

Untuk makluman umum, Bonda Nor merupakan pengasas Akademi Bonda Nor (ABN) dan Pengasas Kaedah Membaca Ekspres-i. Beliau telah menghasilkan banyak buah buku yang best seller dan melahirkan anak-anak didik dalam bidang penulisan di bawah pertubuhan ABN. Bahkan terdapat beberapa karya antologi gabungan bersama penulis didikan Bonda Nor diterbitkan dalam satu naskhah. Di samping itu, aktif mengadakan Bengkel Penulisan membimbing penulis-penulis baharu. Sebagai follower setia beliau, saya mengagumi akan usaha kerasnya dan tahniah diucapkan buat Bonda Nor kerana berjaya melahirkan ramai wanita yang suka menulis.

Buku ini diperap untuk berkongsi pengalaman penulis terhadap situasi-situasi sekeliling berkaitan rumah tangga terutama sekali buat para isteri. Sebagai seorang isteri, kita sering dihujani konflik permasalahan beraneka rasa. Terkadang kita terlalu letih menggalas tanggungjawap sebagai ibu yang menguruskan anak-anak seawal pagi. Bertarung didapur menyiapkan sarapan buat bekalan ke sekolah. Ditambah pula kerenah anak-anak, kacau bilau jadinya. Adakala berasa tidak dihargai oleh suami yang tidak memahami pekerjaan dan kepenatan isteri.

Para isteri buntu memikirkan beragam macam perkara hendak mengatasi setiap masalah sehalus debu sehingga setebal awan. Menanti pujuk rayu suami tak kunjung tiba. Suami tidur lena berdengkur tanpa memikirkan hati isterinya. Tiap-tiap daripada kita tidak akan lari dari ujian diturunkan Allah subhanahu wa ta’ala. Bergaduh, selisih faham, stress, begitulah kehidupan bersama makhluk bernama suami. Mereka orang luar bukan sekadar makhluk yang ‘ego’ malah tidak dapat menakhluk hati wanita yang kurang akalnya. Allah menciptakan kedua-kedua pasangan untuk saling melengkapi antara satu sama lain. Kekurangan yang ada adalah tanda untuk seorang isteri menambah hal-hal yang dapat mengeratkan ikatan percintaan. Orang kata, bukan rumah tangga namanya jikalau tiada rasa manis, masam dan sebagainya.

Kombinasi dua penulis yang hebat akan mengajar para isteri mencari punca persengketaan dan jalan keluar melalui kisah-kisah pengalaman yang disajikan. Mengajar para isteri mendominasi emosi dengan bijak agar dapat meraih kedudukan agung di sisi Allah menjadi isteri yang solehah. Para suami pula amat disarankan membaca buku ini untuk mendalami personaliti isteri.

Ia digarap sesuai keadaan masyarakat kita pada hari ini. Bacaan ringan dan tidak perlu berkerut muka membaca dengan serius. Saya beli buku ini semasa Pesta Buku sedang berlangsung di Kota Bharu, Kelantan pada 26/2/2020. Pembaca boleh cuba berhubung dengan para penulis untuk mendapatkan buku tersebut atau dilaman web Galeri Ilmu Online pada harga Rm 20 SM, Rm 22 SS.

Selamat Membaca !


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67