Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Ikigai; The Japanese Secret to a Long and Happy Life

Ulasan Buku : Ikigai; The Japanese Secret to a Long and Happy Life

“Follow those things you enjoy, and get away from or change those you dislike. Be led by your curiosity, and keep busy by doing things that fill you with meaning and happiness. It doesn’t need to be a big thing: we might find meaning in being good parents or in helping our neighbors.”

Ikigai ialah salah satu buku international bestseller dan mempunyai banyak versi yang ditulis oleh berlainan penulis. Bacaan saya ialah buku Ikigai berkulit keras, warna biru lembut yang ditulis dan dikaji oleh dua orang penulis iaitu 1)Hector Garcia; seorang warganegara Jepun dan sering menulis tentang adat budaya orang Jepun dan 2)Francesc Miralles; pemenang anugerah  dan antara bukunya yang paling laris ialah tentang bagaimana untuk hidup dengan lebih baik, novel Love in Small Letters dan Wabi-Sabi. Buku ini berlatarkan masyarakat Jepun di kawasan Okinawa dengan ketebalan 194 muka surat dan mempunyai 11 bab.

Okinawa ialah salah satu kawasan yang berada di bahagian selatan Jepun. Okinawa juga antara kawasan yang pernah mengalami kebuluran dan kekurangan sumber alam akibat daripada Perang Dunia Kedua. Namun, kini Okinawa tersenarai dalam carta Zon Biru dunia dan salah satu daerahnya iaitu Ogimi dikenali sebagai “Village of Longevity”. Zon Biru ialah kawasan yang mempunyai penduduk dengan kadar jangka hayat yang lebih lama berbanding jangka hayat populasi dunia, dengan keupayaan fizikal dan mental yang masih sihat, cergas dan gembira menjalani kehidupan. Rahsia Okinawans ialah berusaha memenuhi “ikigai” yang ada dalam diri masing-masing.

Ikigai berasal daripada Bahasa Jepun. Ia tidak hanya mewakili perkataan dalam Bahasa Jepun, malah ikigai juga merupakan kepercayaan orang Jepun yang membentuk cara hidup mereka. Orang Jepun percaya bahawa setiap orang mempunyai ikigai; tujuan kita bangun setiap pagi atau sebab untuk terus hidup atau tujuan hidup. Sebagai orang Islam, kita bertuah kerana telah diberitahu tujuan utama iaitu untuk beribadah kepada Allah. Sebagi contoh, setiap hari kita perlu bangun awal pagi untuk menunaikan solat Subuh. Tetapi, kita juga perlu memikirkan tujuan sampingan untuk menjadikan kehidupan kita di dunia yang sementara ini terisi bermanfaat.

Sebahagian orang mungkin telah mengetahui ikigai-nya tersendiri, namun ada juga yang masih tercari-cari. Konsep ikigai ialah gabungan persoalan apa yang kamu suka lakukan (what you love), apa bakat yang kamu ada (what you are good at), cara apa yang membolehkan kamu diberi upah (what you can be paid for) dan apa yang dunia perlukan (what the world needs). Sekiranya kita dapat menjawab semua persoalan ini, maka kita tahu apa ikigai kita. Saya sertakan diagram konsep ikigai yang diambil dari buku ini supaya lebih mudah difahami.

Ikigai dalam diri tidak akan dijumpai sekiranya kita tidak berusaha mencarinya. Ia tidak muncul dengan sendiri pada tahap umur tertentu. Ada orang cepat menjumpai ikigai-nya, ada orang lambat menemuinya. “There is no perfect strategy to connecting with our ikigai. But what we have learned from the Okinawans is that we should not worry too much about finding it”. Jika kita berasa gembira, kepuasan hati yang luar biasa dan ada minat dalam sesuatu pekerjaan, mungkin itulah ikigai kita. Seseorang yang bekerja dalam ruang lingkup ikigai-nya akan lebih gembira, ikhlas dan tidak berhenti daripada pekerjaannya meskipun telah mencapai umur pencen. Jika perlu diterangkan dengan satu perkataan yang mudah difahami, “passion” adalah perkataan yang sesuai.

Selain itu, masyarakat Okinawa sangat menitikberatkan kesihatan fizikal dan mental. Walaupun mereka telah berumur lebih daripada 100 tahun, ingatan mereka masih kuat, mampu menyara diri, masih boleh memandu sendiri dan majoritinya tidak menghidapi sebarang penyakit kronik. Hal ini tentunya berkait rapat dengan amalan kehidupan harian mereka yang berpegang pada prinsip berhenti makan sebelum kenyang, banyakkan bergerak dan hidup bermasyarakat. Mereka juga begitu positif dalam menghadapi tekanan hidup, selalu mencabar diri dari perkara kebiasaan dan  tidak mudah putus asa dengan kegagalan.

Walau bagaimanapun, ada konsep dalam buku ini yang menidakkan hidup bertuhan. Mereka terlalu fanatik untuk hidup lebih lama sehingga menganggap mereka dapat mengubah takdir kematian. Sebagai pembaca yang berakal dan beragama, kita perlu bijak menilai dan menapis ilmu sebegini, begitu juga dengan buku-buku yang lain. Harus sentiasa ingat, sebagai manusia, kita ada had dan batasan. Serap apa-apa yang baik dan bermanfaat sahaja.

Membaca Ikigai bukan untuk kejar hidup yang lebih lama. Ada lebih lagi. Iaitu untuk kita tahu cara menghargai kehidupan yang sementara ini dan bertanggungjawab kepada akal, jiwa dan jasad yang dianugerahkan Tuhan kepada kita, manusia. Jemput dapatkan buku Ikigai sebagai bacaan anda, supaya isi ulasan ini lebih mudah dicerna.

Selamat membaca dan semoga bermanfaat.

Oleh: Nur Mustika Adriena

7 Julai 2018 | Alor Setar


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca