Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Hanya Senyummu Yang Terlihat

Ulasan Buku : Hanya Senyummu Yang Terlihat

Buku Hanya Senyummu Yang Terlihat ini ialah sebuah buku dari Iman Publication  hasil nukilan 4 orang penulis muda yang berlatarbelakangkan kesukarelawan.Buku ini sesuai dibaca disetiap lapisan umur terutamanya bagi anak muda yang masih tidak jelas dan mencari-cari erti hidup.Menariknya tentang buku ini, pembaca akan dapat melihat satu sequel kepada tajuk dibahagian belakang yang berbunyi “Di mana Kau Sembunyikan Tangismu?” .

Persoalan yang dilontarkan oleh tajuk sequel di bahagian belakang ini cukup memberi impak kepada pembaca sepanjang pembacaan dan menimbulkan satu pertanyaan kepada pembaca tentang tangis siapa yang sedang mereka bicarakan? Kenapa perlu ada tangis dalam senyuman? Dua emosi yang berbeza namun dicantum didalam satu kisah yang sama.

Buku ini berkisarkan pengalaman sebenar penulis iaitu Ajeerah Azali, Faiz Qayyuum, Farah Adibah dan juga Siraj Aziz yang berkongsi kisah sepanjang mereka berkecimpung didalam bidang kesukarelawan. Benih kebaikan dan keamanan telah mereka taburkan di Malaysia dan merentas horizon, tumbuh cambah di Tanah Khmer, Bumi Antep sehingga ke Timur Tengah.

Pembaca akan dihidangkan dengan kisah Ajeerah Azali, anak muda yang baru sahaja menamatkan diplomanya namun terkurung dengan satu persoalan sehingga membuatkan dia betul-betul terasa hilang arah mencari.

“Apa yang perlu aku lakukan?”

“Apa yang aku mahukan?”

Kenangannya  bergelar pelajar di alam universiti tidaklah begitu indah seperti yang dia harapkan, sehingga membuatkan dia hilang diri sendiri, hilang identiti, hilang arah hidup, sehinggalah takdir Tuhan menemukan dirinya dengan “Mycorp” yang betul-betul mengubah hidupnya, menuntun dirinya kepada jawapan terhadap persoalan yang menyesakkan dadanya setiap hari. Dia akhirnya terbang jauh, menabur bakti kepada 2 negara, Kemboja dan Turki, dan meninggalkan jejaknya yang tidak akan terpadam.

Manakala, Siraj Aziz membawa pembaca terbang jauh ke Tanah Khmer. Disebalik megahnya Angkor Watt dengan sejarah peradabannya tersembunyi kisah tragis “Khmer Rouge”, pembunuhan secara beramai-ramai rakyat Kemboja. Indahnya kepuasan yang dia rasakan semasa kunjungan pertama dengan kumpulan Mycorp membuatkan dia nekad untuk kembali lagi kesana sendirian dengan membawa misi peribadinya.Namun kedua-duanya atas niat yang sama, untuk mengembalikan senyuman kepada anak-anak dan rakyat Kemboja.

Rasulullah S.A.W bersabda (yang bermaksud), “orang beriman itu bersikap ramah dan tidak ada kebaikan bagi seorang yang tidak bersikap ramah. Dan sebaik-baik manusia adalah orang yang paling memberi manfaat bagi orang lain”

Hadis yang diriwayatkan oleh Al-Thabrani & Daruquthni ini menjadi pegangan utama Faiz Qayyuum, yang menggerakkan dan menguatkan dirinya diatas jalan kemanusiaan ini. Tidak semua mempunyai kisah kanak-kanak dan alam remaja yang indah, tidak semua orang diberi anugerah lahir didalam lingkungan seperti selayaknya. Pertemuannya dengan anak-anak yang berkongsi rumah dengan penagih dadah dan pekerja seks menjadi “turning point” dalam perjalanan hidupnya. Dari Chow Kit, jalanan, ke seluruh Malaysia dan akhirnya terbang juga merentas laut ke Kemboja, akhirnya dia berjaya menyembunyikan tangisan mereka dibalik senyuman yang telah berjaya diukirkan.

Adik , bila dah besar nanti jadi insan yang berguna kepada bangsa , agama dan negara ya?” pesan mama selalu padaku.

Pesanan tersirat dari Mama kepada Farah Adibah sejak bangku sekolah masih dia tidak fahami, sehinggalah suatu hari dia tekad untuk mencuba nasib menjadi salah seorang daripada mereka, mengepakkan sayapnya ke Timur Tengah. Dia meninggalkan jejaknya di Tanah Urdun, yang menempatkan kem pelarian Syria.Berbekalkan ilmu perubatan yang ada, Doktor Farah membuktikan bahawa profesion perubatan itu tidak terikat di ruang hospital sahaja, malah mampu memberi kebaikan ke serata alam.

Tidak.

Aku tidak mahu menyentuh tentang apa yang sudah mereka lakukan untuk ummah, atau sudah berapa negara mereka jelajahi untuk kemanusiaan, tetapi apa yang kita boleh lakukan setelah membaca buku ini.

Aku ingin kita sama-sama melihat dari satu sudut yang lebih besar iaitu bagaimana untuk menjadi agen perubahan seperti mereka.Bagaimana anak muda seperti mereka, yang masih belajar, tidak bekerja, tidak punya harta yang menimbun, tetapi mampu memberi manfaat untuk ummah.

Ternyata perbezaan individu itu sebenarnya menyatukan.

 Sebagaimana Ajeerah seorang introvert, yang seringkali dihakimi sebagai seorang pendiam, membuktikan bahawa golongan sebegini bukanlah hanya terperuk dan tidak keluar dari dunia. Aku mengerti benar sebagai seorang introvert juga, sering dipandang rendah dan dikira tidak mampu keluar dari kepompong dan tidak berani sedangkan mereka sebenarnya golongan yang hanya tidak suka bersosial secara berlebihan. Tidak bermaksud mereka tidak berpotensi untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

Seperti mana juga manusia sering menghukumi orang lain dengan masa silam,Faiz Qayyuum memberi harapan kepada orang-orang yang seringkali merasa bahawa mereka tidak mampu lagi untuk menjadi yang lebih baik kerana terikat dengan masa silam. Kebaikan itu ialah satu fitrah yang ada didalam diri setiap yang bernama insan namun seringkali dikaburi oleh kata-kata nista manusia yang menjatuhkan sehingga tidak mampu bergerak kehadapan untuk meninggalkan yang keruh di belakang. Faiz Qayyuum membawa pembaca menyelusuri kisahnya yang dia tidak menjadi hamba kepada kisah silamnya sendiri malah dia bergerak jauh kehadapan, meninggalkan sisa-sisa yang tidak sepatutnya dia bawa. Malah, dia berjaya menjadi agen yang membawa senyuman kepada ummah!

Barangkali yang pernah mengalami erti kesusahan itu yang akan lebih banyak memberi. Siraj Aziz pernah mengalami situasi dimana dia hampir kehilangan ibunya akibat pendarahan, dan nah! Itu menjadi salah satu penguat semangat kepadanya untuk terus berbakti kepada masyarakat malah beliau bersungguh-sungguh untuk terus menjadi wira tidak didendang dengan menderma darah bukan sahaja di Malaysia malah diluar negara. Sesuatu yang terjadi yang bukan kemahuan kita tidaklah sia-sia melainkan ada asbab sendiri.

Kata orang, doktor itu tugasnya sibuk sekali, tidak punya masa apatah untuk diri sendiri. Seringkali kekangan masa akan menyebabkan seorang doktor itu lebih senang untuk memberi ganjaran hanya kepada diri sendiri. Tiba masanya untuk melihat profesi kedokteran ini dalam bidang yang lebih luas lagi dan bukan hanya terikat di hospital. Doktor Farah membuktikan dengan tekad dan azam, seorang doktor itu peluang untuk menabur bakti lebih meluas dan khidmatnya sangat diperlukan dimana-mana.

Aku melihat, sisi kehidupan 4 orang penulis ini yang langsung tidak ada persamaan, masing-masing berada dilandasan hidup yang berbeza. Masing-masing bergelut dengan cabaran kehidupan yang berbeza, tetapi mereka mempunyai tujuan hidup yang sama, iaitu untuk memberi kebaikan kepada ummah dengan cara yang tersendiri didalam bidang kemanusiaan ini.

Setiap orang ada kisah sendiri.

Setiap orang ada masa lalu yang tersendiri.

Setiap orang tidak pernah sempurna.

Setiap orang punya jalan hidup yang berbeza.

Tetapi perbezaan itu menyatukan didalam bidang kemanusiaan.

Saling melengkapi untuk kebaikan ummah.

Maka , untuk kalian yang membaca buku ini, tidak cukup sekiranya menoktahkan pembacaan lalu buku ini disimpan dirakbuku sahaja. Sudah tiba masanya untuk kita bergerak. Mulakan dengan sekecil-kecil langkah dengan menyertai mana-mana aktiviti yang memerlukan sukarelawan, percayalah anda akan jatuh hati didalam bidang ini.Kelemahan bukanlah satu alasan malah jadikan ia sebagai pemangkin untuk terus bergerak kehadapan.

“Wise man always said, if not us,who?If not now,when?


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca