Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Gila Baca Ala Ulama’

Ulasan Buku : Gila Baca Ala Ulama’

Kita mungkin selalu mendengar manusia terkaya iaitu Bill Gates berhasil membaca 50 buah buku dalam masa setahun, pengasas Facebook Mark Zuckerberg pula menghabiskan 1 buku dalam masa seminggu. Ramai sebenarnya manusia ‘gila’ terhadap buku sehingga ratusan buku yang dibeli dijadikan makanan untuk santapan bacaan harian. Namun disini saya akan membawa pembaca menyelami kehidupan masyarakat muslim seperti ulama’ muslim yang minat membaca, menulis, dan mengoleksi, penyesalan menjual buku yang dimiliki kerana keperluan hidup bahkan tidak sempat berkahwin!

Mengenai Buku.

Gila Baca Ala Ulama’ merupakan hasil tulisan Syaikh Ali Bin Muhammad Al-Imran yang telah pun diterjemahkan kepada bahasa Indonesia, terbitan Kuttab Publishing, lebih kurang 178 halaman (tidak termasuk kulit) cetakan I januari 2016. Judul aslinya merupakan kitab arab, Al-Musyawwiq Ila Al-Qira’ah Wa Thalab Al-Ilm.

Inti Pati Buku.

Dua perkara yang menarik yang ada didalam naskhah ini iaitu kata pengantar dari penerbit dan penulis. Menarik kerana diawal pengenalan lagi hampir-hampir saja menjadi sedikit gila disebabkan mesej yang disampaikan terlalu indah sehingga jari jemari tidak sabar membuka halaman seterusnya. Tapi sabar, nikmatinya dengan secawan green tea.

Senarai Ulama’ Yang Banyak Membaca:

1- Al-Izz bin Abdussalam (wafat 660H) membaca kitab Nihayah Al-Mathlab dalam masa 3
hari.

2- Ibnu Al-Abbar (wafat 658H) khatam Shahih Muslim 6 hari.

3- Al-Hafizh Syamsuddin Adz-Zahabi (wafat 748H) membaca Sirah Ibn Hisyam 6 hari

4- Sirajuddin Ibnul Mulaqqin (Wafat 804H) membaca 2 jilid kitab Al-Ahkam dalam sehari.

5- Sirajuddin Al-Bulqini (wafat 805H) membaca satu kitab fikih dalam sehari.

Lebih kurang 200 buku yang ditulis oleh Ibnul Qadhi Syuhbah dan memiliki 700 buah buku yang dibaca dan dipelajari. Antara ulama’ yang paling banyak mengoleksi buku sehingga wafat iaitu Syafi’i bin Ali al-Kinani hampir 20 almari penuh dengan buku yang ditinggalkan.

Pernah satu ketika Ibrahim bin Ali bin Ahmad Jamaluddin Al-Qalqasyandi al-Qahiri terpaksa menjual separuh bukunya dan akhirnya menyesal. Banyak lagi kisah ulama’ yang terpaksa menjual buku kerana harus memenuhi keperluan hidup dan diakhir cerita mereka pun turut menyesal seperti seorang sasterawan Abu Hasan Ali Bin Ahmad Ali Sallak Al-Fali memiliki manuskrip Al-Jamharah karya Ibnu Duraid sedih dan menyesal kerana terpaksa menjual buku. Ada yang menjadi rabun kerana banyak membaca seperti Al-Hafizh Abdul Ghani Al-Maqdisi. Isa Bin Ahmad Al-Yunani (wafat 653H) terlalu sibuk beribadah dan belajar sehingga tidak sempat berkahwin diakhir hidupnya rela berkahwin dengan janda tua sekadar ada untuk mengurus kehidupannya.

Kegilaan ulama’ yang diertikan kerana gila membaca, menulis, mengumpul koleksi kitab, ghairah meluang waktu panjang dengan timbunan kitab. Tulisan Syaikh Muhammad Al-‘Imran ini bukan sekadar membawa kita hanyut menyelami kehebatan mereka menghabiskan bacaan dan menulis buku yang berjilid-jilid bahkan melalui gambaran realiti kehidupan mereka kita belajar pengalaman, pasang surut kesusahan dan kesenangan, kerendahan diri, tarbiah akhlak dan rohani.

Seribu satu harapan supaya anak-anak muda menjadi pembaca tegar apatah lagi terhadap karya ulama’ silam dan kini tidak seharusnya ditinggalkan.

Buku ini boleh didapati dengan memasang aplikasi shoppe melalui Nurani Mutiara Ilmu RM18.40 & facebook Rumah Kertas Rami pada harga yang berbeza-beza.

Selamat Membaca!


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca