Ulasan Buku : Check It Out

Teknologi serba moden dan canggih pada masa kini agak sukar untuk menepis berita-berita yang tidak shahih ataupun palsu. Kadang, kita sendiri yang membantu lagi menyebarkan kepalsuan itu hingga akhirnya menimbulkan kepanikkan dikalangan orang-orang awam. Walhal, sebelum memastikan ia tulen ataupun tidak, sebagai seorang muslim, wajib untuk kita tabayyun ataupun selidik berita tersebut terlebih dahulu.

Judul Buku Check It Out terbina hasil kumpulan para penulis antologi bimbingan Akademi Bonda Nor serta Bonda Nor sendiri yang berjuang melawan ujian fitnah, buruk sangka, dan pembohongan yang sedang ditudingkan kepada mereka. Buku ini mengandungi 188 muka surat, cetakan pertama 2020 dan diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn. Bhd.

Check it out diinspirasikan daripada satu perkataan arab Tabayyun تبيّن bermaksud siasat. Bererti buku ini mengajar masyarakat agar menyemak sesuatu berita dan tidak menerima secara mentah-mentah tanpa didatangkan bukti mengenai berita itu.

Pengalaman para penulis di dalam naskhah ini menyedarkan kita bahawa bahananya sikap tidak bertabayyun atas apa yang didengarkan kerana boleh memutuskan silaturrahim, menimbulkan kebencian dan menjerumuskan ke arah dosa memfitnah.

Antara pengajaran besar yang diperolehi dalam sebahagian kisah ialah :

1- Jangan mudah bersangka-sangka.

Ini dibuktikan dengan sikap Zalila yang melulu bersangka-sangka bahawa rakan setugasnya, iaitu Cikgu Badrul lah yang mencuri dirumahnya. Akan tetapi, teka-tekinya adalah silap dan salah. Sikap bersangka-sangka oleh Zalila adalah sebahagian sifat digemari syaitan kerana menghantarkan seseorang berfikiran buruk. Nabi juga memperingatkan dalam hadithnya agar menjauhi sikap bersangka-sangka.

2- Jadi pendengar yang mahukan bukti yang jelas.

Disini watak Rosmati Mohamad Rasit memilih keputusan tepat untuk bersemuka dengan sahabat karibnya yang sedang dilumuri fitnah tatkala orang lain mulai menjauhinya. Khabar angin mengenai sahabatnya tidak benar sama sekali. Betapa erat dan indahnya ukhwah kerana hubungan terjaga dan tidak retak kerana satu berita yang tidak jelas.

3- Semak sebelum kongsi.

Kematian pelajar tingkatan 2 disebabkan pembuangan bahan kimia ke sungai Kim Kim pada tahun 2019 adalah berita palsu yang ditularkan dari group whatsapp dan sebagainya. Aziana Othman yang mendengar berita itu menyiasat dan tidak gelojoh mempercayai mesej-mesej berantai yang berkeliaran.

4- Berhati-hati dalam mempercayai orang lain.

Sahabat termasuk insan yang kita percaya dalam hidup kita. Tetapi tidak pula pada Cik Deby Febryanti Ujang dan sahabatnya Ulan. Dia hampir sedikit tertipu oleh Midah (sahabat temannya juga, Ulan) yang hendak meminjam wang daripadanya. Midah menjadi viral kerana menipu orang ramai. Scammer ! Ulan juga sebenarnya pernah terkena ketika Midah menggunakan kad pengenalannya untuk membuat pinjaman online sewaktu berkunjung ke rumahnya. Hendak ceritakan bahawa dengan sesiapa sekali pun kita bergaul sentiasalah berhati-hati agar kita tidak terkena dan tertipu.

5- Sabar kerana menjadi mangsa keadaan.

Mereka yang mengata tidak semena-mena melontarkan hinaan dan buruk sangka. Sebagai individu yang hanya mengetahui akan kebenaran ini, bersabarlah melalui ragam hidup manusia. Allah menjanjikan pahala berlipat ganda pada mereka yang bersabar atas ujian yang diberikan. Dalam soal ini, dapat kita pelajari daripada sikap Cik Ayu yang lama bersabar dituduh melahirkan anak tidak sah taraf. Walau bagaimana pun, dia tetap jalani kehidupan seperti biasa dengan membesarkan anak angkatnya.

Firman Allah ta’ala :

إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا .

“Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa suatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya.” [Surah al-Hujurat: 6]

Kesimpulannya, jadilah manusia yang bertanggungjawap baik dari segi mendengar atau menyampaikan. Perhatikanlah setiap pengkhabaran yang diterima kerana dibimbangi ia adalah dusta semata-mata bertujuan untuk menakut-nakutkan orang ramai. Tabayyun atau selidiklah terlebih dahulu untuk keselamatan agama dan negara.

“Yang kau dengar, belum tentu benar. Yang kau lihat, belum tentu tepat. Yang kau fikir, belum tentu betul.” [Check It Out]

Selamat membaca.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67