Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Laki Aku Negro Kau Peduli Apa?
Persepsi bahawa hitam itu buruk dan lebih rendah darjatnya daripada golongan yang berkulit putih atau cerah cuba diruntuhkan oleh penulis buku ini melalui penceritaannya tentang latar belakang perkahwinannya bersama seorang lelaki Afrika. Walaupun penulis sendiri berpendapat bahawa penggunaan perkataan ‘Negro’ untuk merujuk kepada orang yang berasal dari benua itu membawa konotasi yang tidak baik, penulis tetap menggunakannya dalam penulisan buku ini kerana beranggapan bahawa ianya adalah ‘bahasa rakyat Malaysia’. Menurut pendapat saya sebagai pembaca, penggunaan perkataan ‘Negro’ ini adalah perlu terutamanya pada nama buku ini untuk menarik minat awal pembaca berpotensi.
Tajuk buku ini telah secara tidak langsung membuat saya terfikir sendiri, “Apakah pandangan saya terhadap Negro?” dan “Adakah saya benar-benar menganggap diri saya seorang yang tidak rasis?”. Persoalan kedua lebih banyak berlegar-legar dalam fikiran saya. Saya pernah terbayang untuk mendirikan rumah tangga bersama-sama lelaki yang sama-sama Melayu, tidak kurang juga berangan-angan tentang kemungkinan untuk mendapat pasangan orang putih. Tetapi Negro sebagai suami? Tidak berani untuk saya membayangkan kerana risau bahawa fikiran itu akan menjadi realiti. Jadi, adakah saya sebenarnya seorang rasis?
Penulis banyak menceritakan tentang pandangan masyarakat sekeliling apabila mengetahui bahawa suaminya seorang Negro, tentang perkara yang membuatkan beliau tertarik untuk mengahwini suaminya, tentang budaya-budaya masyarakat Afrika yang ramai tidak kisah untuk ambil peduli sedangkan ada sebahagiannya yang boleh dijadikan ikutan dan bermacam-macam lagi. Gaya penceritaan buku ini yang ‘sempoi’ sedikit sebanyak membantu untuk membuka hijab yang mengaburi pandangan para pembaca terutamanya apabila Dr. Hayya menggunakan hujah-hujah agama untuk membuang diskriminasi umum terhadap orang berkulit gelap. Ringkasnya, walaupun buku ini ditulis dengan gaya yang santai dan diselit dengan unsur-unsur jenaka, ianya tetap sarat dengan maklumat yang bermanfaat untuk bacaan umum.
Diulas oleh Nurul Najwa Mohd Radzi – atypicalwanderer.blogspot.com
Berminat untuk siarkan ulasan buku anda ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.
Jangan lupa untuk Like / Follow Konfess Buku di :
Facebook : Facebook.com/konfessbuku
Instagram : Instagram.com/konfessbuku
Twitter : Twitter.com/konfessbuku
#konfessbuku
#MalaysiaMembaca