Ulasan Buku : Sebelas Patriot

Kulekatkan pipiku dibelakangnya. Mudah-mudahan ayah merasa belakangnya basah kerana keringatnya mengucur. Mudah-mudahan ayah tidak tahu, belakangnya basah kerana air mataku.”

– Sebelas Patriot karya Andrea Hirata.

Jika anda selalu membaca karya-karya dari seberang, maka nama Andrea Hirata pastinya tidak asing lagi bagi anda. Penulis berambut ikal ini telah membuatkan pembaca jatuh cinta, berasa kagum, patah hati dan kemudiannya menangis lagi dan lagi dengan karyanya yang paling popular, tetralogi Laskar Pelangi. Naskahnya kali ini, walaupun hanya mempunyai 74 muka surat, tapi cukup untuk membuatkan saya mengalirkan air mata. Sebuah naskah lambang cinta penulis kepada bola sepak, terutama sekali PSSI (Persatuan Sepak Bola Indonesia) dan bagaimana watak utamanya, Ikal, ingin sekali menghidupkan kembali impian serta mimpi ayahnya yang pada usia mudanya begitu hebat bermain bola.

Sebelas Patriot – Sebuah naskah yang sesuai untuk bacaan santai namun isinya berat dan sarat dengan nilai-nilai pengorbanan. Perasaan cinta akan negara milik penulis ternyata begitu menggebu dalam hatinya. Bahang semangat patriotisme yang membara itu dapat saya rasakan ketika saya leka menyelak halaman demi halaman buku tersebut. Bagaikan terkena candu, sukar untuk saya meletakkan buku ini – tidak sehingga saya berjumpa dengan perkataan TAMAT pada muka surat terakhir.

Bagaimana pada zaman Belanda dulu si ayah menggelecek bola sebagai satu tanda penentangan terhadap penjajah, dan kemudian disambung pula oleh si anak yang lincah beraksi di padang demi meneruskan cita-cita milik si ayah yang telah terkubur di tengah jalan. Mesej yang cuba Andrea Hirata ketengahkan dalam tulisannya amatlah jelas – Si ayah dan si anak kedua-duanya menggunakan bola sepak sebagai medium untuk menyalurkan semangat cinta mereka kepada negara yang menyala-nyala, dan juga sebagai penyambung cinta antara mereka anak beranak.

Inilah dia sebelas orang patriot wakil negara yang menjadikan padang bola sebagai medan tempur, dan sebiji bola sebagai senjata untuk menggegarkan gawang gol pihak lawan. Sebelas orang soldadu ini membawa harapan seluruh negara di atas bahu-bahu mereka dan berentap dengan penuh semangat demi mengharumkan nama negara pada pentas dunia. Bola sepak ialah sukan yang amat luar biasa. Kemenangan sering dirai dengan hebat sekali. Wira-wira ini pulangnya dijulang. Kekalahan pula ternyata boleh jadi amat menyedihkan dan meruntun hati, hinggakan para laki-laki, walaupun yang berbadan sasa, sudah tidak segan silu lagi untuk menitiskan air mata.

 

Ikal, ayahnya dan cinta mereka terhadap bola sepak

Andrea Hirata ternyata begitu bijak menggilap watak yang asalnya entah dari mana-mana, lalu mengangkatnya menjadi seorang yang hebat dan luar biasa. Si ayah merupakan seorang kuli yang bekerja di lombong bijih timah milik Belanda. Namun, walaupun dia berasal dari kalangan masyarakat paling bawah dan paling hina sekali ketika itu, ternyata bakat bermain bola sepak milik si ayah adalah terlalu luar biasa sehinggakan pihak Belanda jadi tercengang-cengang dan ternganga-nganga apabila melihatkan ayahnya dan dua orang abangnya beraksi di atas padang.

Dengan larian seligat rusa dan sepakkan sederas meriam, ayah Ikal bermain dengan cemerlang di atas padang. Harapan orang Melayu ketika itu disemat kemas dalam lipatan hatinya. Dia menggelecek bola bukan sebagai pemain biasa, tetapi juga sebagai seorang pahlawan yang memperjuangkan maruah bangsanya yang ketika itu sering diinjak-injak tanpa belas. Inilah perjuangan baginya. Padang inilah medan tempur dan pasukan lawan itulah musuhnya. Mereka tiga beradik bermain dengan bebas seperti angin, dengan tujuan asalnya adalah untuk menjadikan bola sepak sebagai satu eskapisme dari penjajahan.

Namun, pada akhirnya, permainan itu bertukar menjadi satu bentuk perjuangan dan satu penentangan oleh orang Melayu. Semangat yang dibawa oleh tiga beradik ini telah membuatkan para penonton kerasukan. Darah mereka berderau dan semangat mereka jadi berkobar-kobar ketika pasukan kebanggaan mereka, pembela maruah mereka, berjaya memembusi kubu pihak lawan. Ketika gawang pasukan Belanda dipecahkan dengan sebuah sepakan kencang milik si Ayah, dia terus melaung kalimat ‘Indonesia! Indonesia! Indonesia!’ yang ternyata telah mencabar ego Belanda ketika itu. Itulah saat terhebat dalam hidup si ayah, dan mungkin juga saat paling pahit, kerana setelah itu, ayahnya tidak lagi bermain bola sepak.

Dan kemudian bermulalah episod Ikal bermain bola sepak dengan penuh ghairah. Cita-citanya cuma satu; dia ingin sekali menjadi salah sorang pemain PSSI. Impiannya itu dikejar-kejar tanpa kenal erti penat dan lelah. Ikal faham benar akan harapan ayahnya yang satu itu. Mimpi serta impian milik ayahnya suatu ketika dahulu yang begitu mekar mati di tengah jalan, dan sebagai seorang anak lelaki, Ikal ingin sekali menyambung mimpi-mimpi ayahnya lalu membuatkannya gembira dan bangga.

Kisah ini ternyata lebih daripada kisah bola sepak semata-mata; ini adalah kisah ikatan kasih sayang dan cinta antara seorang anak kepada bapanya.

 

Cinta dan pengorbanan jalannya seiiring

Dimana ada cinta, disitu pasti ada pengorbanan, kerana pengorbanan juga bagi saya merupakan satu gesture yang melambangkan cinta. Si ayah mengorbankan segalanya untuk membuktikan cintanya kepada negara, manakala si anak pula mengorbankan masa luangnya dengan berlatih tak kira masa, hanya untuk membanggakan orang tuanya.

Sebelas patriot bukanlah sebuah cerita yang mempunyai pengakhiran yang menggembirakan. Pastinya dipenghujung cerita nanti, para pembaca akan mempunyai perasaan yang bercampur baur antara gembira, terharu dan sakit hati. Kadang-kadang, hidup boleh jadi amat mengecewakan dan perit untuk ditanggung oleh sang hati. Namun, Andrea Hirata memperkenalkan saya dengan watak-watak yang cekal sekali. Walaupun mereka dijajah dan hidup mereka langsung musnah akibat kejahatan Belanda, watak-watak ini tetap mempunyai keperibadian yang amat luhur dan lembut. Ternyata dalam kamus hidup mereka tiada erti penyesalan.

Buku Sebelas Patriot ini dahulunya saya beli melalui Bookcafe dengan harga yang begitu murah iaitu RM 8.00. Sebentar tadi saya dapati buku ini masih dijual di MPH Online dengan harga lima ringgit. Tidak rugi bagi pencinta buku untuk mendapatkan naskah ini yang bagi saya amatlah berbaloi dibeli dengan harga sebegitu. Saya sarankan pembaca untuk berkenal-kenalan dengan Andrea Hirata, seorang penulis muda yang begitu mudah melakarkan mimpi-mimpinya melalui tinta. Selain Sebelas Patriot, saya juga amat menyarankan pembaca untuk mencuba tetralogi Laskar Pelangi (1# Laskar Pelangi, 2# Sang Pemimpi, 3# Edensor, dan 4# Maryamah Karpov), ataupun mungkin duilogi Padang Bulan (1# Padang Bulan dan 2# Cinta di dalam Gelas).

Saya telah mula membaca karya Andrea Hirata seawal usia belasan tahun. Laskar Pelangi merupakan antara buku yang paling awal menjadi koleksi saya yang kini sudah bercambah memenuhi dinding bilik. Koleksi buku tulisan Andrea Hirata merupakan koleksi yang paling saya sayang dan saya cinta, dan saya berharap dengan tulisan saya kali ini, dapatlah saya menarik beberapa lagi hati-hati yang lain untuk turut sama jatuh cinta kepada pemuda kelahiran negara Garuda ini. Sebelas Patriot merupakan sebuah buku yang ringan namun mendalam dan sarat dengan pelbagai mesej. Suka saya ingin menghabiskan konfesi saya kali ini dengan sebaris quote yang menghiasi halaman paling belakang buku Sebelas Patriot:

“Jika ada hal lain yang sangat menakjubkan di dunia ini selain cinta, bola sepak.” – Andrea Hirata

Sekian terima kasih. Selamat membaca saya ucapkan dan semoga anda semua turut jatuh cinta, sama seperti saya.

Dengan ikhlas, Nur Fatin Zahra.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Nur Fatin Zahra
Nur Fatin Zahra
Articles: 2