Ulasan Buku : Quiet Power

Jika anda biasa ditegur “kenapa anda pendiam” oleh para guru, rakan-rakan dan orang sekeliling, anda tidak keseorangan kerana ini adalah kuasa yang tersembunyi anda dan bukanlah sumpahan. Malah golongan ini adalah memenuhi satu pertiga daripada keseluruhan dalam masyarakat. Golongan ini dikategori sebagai introvert. Berlawanan dengan golongan introvert ini adalah extrovert dan terdapat juga golongan yang berada di antara dua spektrum ini iaitu ambivert.

Apa itu introvet?

Sukar untuk mendefinasi apakah introvert itu sebenarnya dari sudut bahasa kerana introvert terdiri daripada gabungan beberapa ciri. Secara amnya, golongan ini adalah pendiam dan pemalu tetapi tidak bermakna mereka tidak pandai bersosial. Mereka ini lebih sukakan suasana yang tenang, mudah menyendiri dan reflektif terhadap apa yang mereka hendak lakukan. Berbeza dengan extrovert, mereka lebih suka suasana yang interaktif, mudah bergaul dengan orang dan lebih mudah bertindak tanpa berfikir panjang.

Buku ini sarat dengan cerita bagaimana dunia kehidupan sebagai seorang introvert. Penulis juga banyak menyertakan kompilasi kisah introvert dari budak sekolah hinggalah orang dewasa yang sudah berkerjaya termasuk juga nama-nama besar dipersada dunia seperti Bill Gates (Microsoft), Steve Wozniak (Apple), Warren Buffett dan pelbagai lagi.

Isi Kandungan

Kadungan ini terbahagi kepada empat bahagian utama. Setiap bahagian akan ada topik-topik yang penulis hendak fokuskan. Dalam setiap topik itu penulis akan membawa kisah beliau sendiri atau orang lain. Di setiap topik tersebut penulis akan selitkan saranan atau langkah-langkah yang boleh ambil untuk menambah baik diri dalam kehidupan seorang introvert.

Target pembaca

Buku ini sesuai untuk semua lapisan masyarakat daripada remaja hinggalah dewasa. Adakah anda perlu jadi introvert untuk membaca buku ini? Sudah tentu tidak. Malah buku ini juga dapat membantu mereka yang hendak memahami apa itu introvert terutamanya ibu bapa dan guru.

Pandangan pembaca

Buku ini sangat membantu diri terutamanya bagi mereka yang introvert yang kurang memahami diri mereka sendiri dan ingin memperbaiki diri mereka. Menjadi seorang introvert yang tidak banyak bercakap dan suka meluangkan masa bersendirian bukan yang satu kesalahan tetapi sesuatu yang perlu diraikan. Membesar sebagai introvert sangat menggusarkan terutamanya di peringkat sekolah yang menggalakkan kita banyak bercakap dan proaktif untuk bergaul dengan ramai pelajar di dalam sekolah sebagai satu tanda aras kejayaan. Perkara ini bukanlah sesuatu yang salah kerana ada masanya kita perlu memberanikan diri untuk bercakap di khalayak ramai dan bersosial bersama rakan-rakan kerana manusia dicipta untuk bersosial. Cuma golongan introvert ini mereka mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri untuk bersosial dan mereka mempunyai cara mereka tersendiri.

Selain itu, buku ini juga memberi inspirasi untuk mengubah padangan golongan introvert melihat diri mereka sendiri dan juga masyarakat umum melihat golongan introvert. Buku ini juga dapat meningkatkan keyakinan diri mereka yang introvert kerana mereka mempunyai kelebihan mereka yang tersendiri, malah mereka mampu menjadi seorang ketua yang terbaik! Apakah kelebihan itu? Anda akan temui di dalam buku ini dan anda pasti bersetuju dengan pandangan penulis ini yang juga disokong oleh dapatan pakar ahli psikologi. Ini memecahkan tanggapan masyarakat bahawa golongan introvert ini adalah pendiam semata-mata dan tidak mampu memimpin sesebuah organisasi.

Selamat membaca dan moga bermaanfat.

Diulas oleh : Ahmad Syamim Mustaqim Bin Mohd Radzi


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Ahmad Syamim Mustaqim
Ahmad Syamim Mustaqim
Articles: 3