Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Homo Deus, A Brief History of Tomorrow
Homo Deus: A Brief History of Tomorrow karya Prof. Yuval Noah Harari.
- Keseluruhan
Penulis menjadikan ‘Sejarah dan Ketamadunan Manusia’ sebagai tema utama dalam pengolahan buku ini. Buku ini juga merupakan lanjutan buku pertama beliau ‘Sapien: A Brief History of Humankind’. Sepanjang penulisan beliau ini, seluruh topik-topik kecil dapat dilihat menjurus kepada tema utama di atas. Buku ini bukan sahaja bernilai untuk peminat sejarah dan pengkaji sifat manusia, malahan buku ini mesti menjadi bacaan setiap yang bernama manusia. Dengan gaya penulisan yang baik, penggunaan Bahasa Inggeris mudah, kelakar dan berfakta (sarat dengan rujukan ilmiah), idea yang ingin disampaikan penulis tampak begitu jelas.
Pandangan peribadi saya, karya setebal 462 mukasurat ini sarat dengan kontroversi, pembuka mata (baca: eye-opener) dan menjatuhkan dagu (baca: jaw-dropper). Sepanjang membaca buku ini, anda akan berhenti sejenak, melihat dunia realiti dan memikirkan idea yang disampaikan penulis. Proses berfikir dan rasionalisasi akan terus berjalan sehingga anda habis membaca buku ini.
- Sinopsis
Penulis memulakan penulisan dengan menyatakan misi manusia pada abad awal sehinggalah ke abad 20an, manusia ingin mengatasi (i) kelaparan, (ii) wabak penyakit dan (iii) bencana alam. Pelbagai usaha yang dilakukan oleh manusia untuk berdepan dengan masalah-masalah ini. Penulis menceritakan dengan panjang lebar mengenai ketiga-tiga masalah yang menjadi keutamaan manusia sejak berzaman dahulu. Juga diselitkan peranan agama dan Tuhan dalam mengharungi cabaran-cabaran tersebut.
Memasuki abad ke-21, penemuan sains, perkembangan teknologi dan kefahaman tentang sifat dan ciri manusia, (i) kelaparan, (ii) wabak penyakit dan (iii) bencana alam semakin mudah dikesan, dirawat dan diatasi. Penulis menyatakan, sungguhpun demikian, masalah-masalah ini masih wujud tetapi dalam kadar yang kecil berbanding abad-abad sebelum ini. Kata penulis, “lebih banyak orang yang mati disebabkan kegemukan dan makan berlebihan, berbanding orang yang mati kelaparan”.
Justeru, apa yang menjadi pendorong manusia di era baru ini? Penulis menyenaraikan 3 misi baru, (i) kehidupan kekal abadi, (ii) kebahagiaan hakiki, dan (iii) menjadi tuhan di dunia. Gila bukan? Yang menariknya, gaya penyampaian penulis yang menarik menjadikan idea yang nampak gila, seperti boleh dicapai manusia. Justeru, kajian-kajian sains dan penciptaan teknologi baru akan menjurus kepada 3 misi baru ini. Kajian perubatan bukan lagi dilihat untuk mencegah penyakit, tetapi sebagai pelanjut jangka hayat (baca: prolonged life-span). Kebahagiaan bukan lagi bergantung kepada perancangan dari langit tetapi kebahagiaan lahir dari syurga yang diciptakan di dunia. Wah, makin gila. Sekurang-kurangnya, itulah yang diyakini penulis.
Penulis mengakhiri Bab Pengenalan ini dengan menyatakan 4 amaran (baca:disclaimer); (1) misi baru abad ke-21 ini bukanlah terjadi sekaligus dan semua individu terlibat dalam perlaksanaannya, cumanya inilah yang dilaksanakan manusia secara kolektif, (2) ini hanyalah ramalan berdasarkan sejarah manusia, bukan sebuah manifesto politik yang wajib dilaksanakan (kata Tun, manifesto bukan kitab suci haha), (3) misi baru ini adalah apa yang akan diusahakan manusia di abad ini, bukan sesuatu yang pasti akan dicapai oleh manusia, dan akhir sekali (4) ramalan ini bukanlah sebuah wahyu tetapi memberi gambaran tentang pilihan yang manusia ada untuk mencorakkan masa depan.
Bab 1 menceritakan kelebihan manusia (Homo Sapiens) berbanding spesies binatang yang lain. Dilanjutkan lagi dengan bagaimana manusia menawan dunia, dan bukannya binatang yang lain. Diakhiri bab ini dengan sikap manusia ke atas binatang lain. Jelas dalam bab ini, penulis meyakini manusia adalah sebahagian dari spesies binatang, tetapi telah melalui Revolusi Kognitif yang belum pernah dilalui binatang yang lain.
Bab 2 menyentuh tentang dunia yang telah diwarnai oleh manusia. Bagaimana realiti yang telah diciptakan oleh manusia. Penulis menyatakan dunia binatang yang terdiri daripada dua jenis realiti, objektif (pokok, batu, matahari, musuh) dan subjektif (kasih, takut, gembira dan keinginan). Berbeza dengan manusia, mereka hidup di dalam 3 lapisan realiti, objektif dan subjektif, seperti binatang yang lain, tetapi ditambah dengan realiti yang diceritakan dan diciptakan, dalam bentuk duit, tuhan, negara dan syarikat korporat. Bagi penulis, realiti ketiga inilah yang digunakan oleh manusia untuk menawan, menguasai dan mewarnai dunia hari ini. Di akhir bab ini, penulis menceritakan tentang sebuah agama yang menjadi paling popular di era moden ini, agama Humanis.
Bab 3 menceritakan tentang teknologi yang telah diciptakan manusia yang mungkin melangkaui keupayaan manusia. Bab yang agak tragik di mana, penulis menyatakan pendiriannya tentang sebahagian tugas manusia yang telah diambil alih oleh mesin dan robot. Penulis juga menyatakan kemungkinan Manusia Super melayan manusia biasa, sebagaimana manusia telah melayan binatang-binatang yang lain. Sehingga menyebabkan kepupusan binatang. Di akhir bab ini, penulis membuat satu teori mengenai sebuah agama yang bakal mengatasi agama Humanis di masa hadapan, iaitu agama Data.
- Kesimpulan
Buku-buku yang menceritakan tentang apokalips di mana robot dan mesin menggantikan manusia sudah banyak di pasaran. Buku-buku sebegini bukanlah untuk menakutkan kita sebagai manusia, tetapi menyatakan pilihan yang kita ada bagi mencorakkan masa depan. Yang menjadi kelaianan pada buku ini adalah, kemampuan penulis untuk membawa pembaca memahami pemikiran beliau dengan bahasa yang mudah, contoh yang praktikal dan analogi yang baik. Buku ini tidak akan menghasilkan sebuah gerakan politik atau agama, tetapi menjadikan manusia merenung kembali diri masing-masing. Pembaca akan menilai idea-idea yang disampaikan penulis menerusi nilai yang ada pada diri masing-masing. Justeru, buat pembaca yang memiliki iman dan keyakinan, buku ini melawan nilai anda, dan mengkritik pegangan anda. Anda boleh mengganggap tulisan sebegini sebagai sampah yang tiada nilai, atau sebagai cabaran kepada anda untuk mendatangkan sebuah kritikan bersistem dan konkrit bagi mendepani isi kandungan buku ini.
Diulas oleh Amirul Neezam
Berminat untuk siarkan ulasan buku anda ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.
Jangan lupa untuk Like / Follow Konfess Buku di :
Facebook : Facebook.com/konfessbuku
Instagram : Instagram.com/konfessbuku
Twitter : Twitter.com/konfessbuku
#konfessbuku
#MalaysiaMembaca