Ulasan Buku : Berbicara Tentang Perempuan

Jika perempuannya baik, maka baiklah negara, jika mereka bobrok, bobrok pulalah negara. Mereka adalah tiang, dan biasanya tiang rumah tidak begitu kelihatan. Namun, jika rumah sudah condong, periksalah tiangnya.. – Hamka, Berbicara Tentang Perempuan, m/s 15

 

Tentang buku

Sarat dengan pelbagai perbincangan dan hujah berteraskan Quran dan Hadith Nabi, buku ini telah berjaya mengangkat kaum perempuan daripada serong pandang dan salah faham terhadap nilai dan harga diri seorang perempuan. Buku ini pada asalnya adalah tulisan Hamka yang bersambung-sambung dalam majalah Panji Masyarakat. Setelah mendapat banyak permintaan dan saranan daripada pembaca untuk membukukan tulisan tersebut, maka kumpulan tulisan daripada majalah Panji Masyarakat telah dibukukan sehingga menjadi sebuah buku bertajuk Berbicara Tentang Perempuan.

Tulisan Hamka tentang perempuan dalam buku ini telah ditintakan dakwatnya dalam 134 muka surat dengan pecahan dan pemfokusan bersambung sebanyak 12 bab. Setiap bab membawa mesej yang sangat penting dan menyentuh pelbagai aspek terhadap perempuan bermula daripada status perempuan di sisi Islam, perbandingannya dengan lelaki, peranan dan tugas, nilai harga diri seorang perempuan,  teladan Rasulullah terhadap anak perempuannya, kemuliaan perempuan sebagai seorang ibu, tanggungjawab dalam menghormati dan menyayangi mereka, ibrah daripada kisah Adam dan Hawa, perbandingan mereka dengan bidadari syurga, jaminan hak milik mereka dan dua bab yang terakhir yang mengupas dalam tentang mengapa dan bagaimana untuk memimpin perempuan.

Meskipun tajuk buku ini kelihatan seakan-akan memberi perhatian lebih kepada perempuan, sepanjang pembacaan, saya mendapati ia sebenarnya adalah sebuah buku yang sangat adil seimbang dalam memberi pandangan terhadap perempuan, penjelasan tentang nilai perempuan pada sisi sudut pandang Islam, menjustifikasikan hak-hak perempuan dan juga tanggungjawab perempuan dalam hidup berkeluarga. Dalam masa yang sama juga, Hamka menerangkan tentang peranan dan tanggungjawab lelaki dalam menjaga mereka, membimbing mereka, mengasihi mereka dan mendidik mereka dengan baik kerana kesudahannya nanti, hasilnya akan menatijahkan kebahagiaan hidup berkeluarga  tanpa diskriminasi terhadap mana-mana pihak.

 

Pesanan untuk lelaki dan perempuan

Hampir kebanyakan tempat dalam buku ini Hamka menekankan tentang betapa pentingnya  peranan bersama antara lelaki dan perempuan dalam menggalas tanggungjawab hidup berkeluarga. Adil dan saksama, kedua-duanya mempunyai tugas masing-masing dalam melayari bahtera rumahtangga dengan selamat menuju destinasi yang terakhir iaitu syurga Allah s.w.t. Suka untuk saya selitkan sebahagian tulisan daripada buku ini yang menyentuh tepat kepada lelaki dan perempuan.

Pesan Hamka untuk perempuan :

Perempuan dunia akan masuk ke dalam surga karena amalannya, shalatnya, salihahnya, kesetiaanya pada suami, dan pengorbanannya untuk anak-anaknya. Sementara, bidadari mendapat tempat tersebut dengan tidak  mengetahui betapa tinggi nilai tempat yang didiami tersebut kerana tidak dapat dengan jerih payah dan perjuangan. Jika ada perempuan yang menanyakan langsung kepada Nabi, mana yang lebih mulia perempuan dunia ini dengan anak bidadari dan Nabi menjawab dengan tegas bahawa perempuan dunia lebih mulia, apa lagi yang hendak anda cari untuk membuktikan bahawa perempuan memang mendapat tempat istimewa dalam Islam ? – Hamka, Berbicara Tentang Perempuan, m/s 81

Pesan Hamka untuk lelaki :

Qawwamuna  beerti memimpin supaya tegak. Membimbing supaya dapat berjalan, memapah supaya jangan terjatuh, atau menarik naik kalau sudah tergelincir jatuh. Tegak kemuka kalau bahaya datang mengancam. Mengajar kalau ilmunya masih kurang. membujuk kalau dia dalam kesedihan. Di samping itu, mencukupkan apa keperluannya; kainnya, bajunya, perhiasannya, yang sepanjang tubuh, sepanjang bayang-bayang. Itulah tugas lelaki untuk membela perempuan. Artinya, menurut kekuatan dan kesanggupan si laki-laki.

Masukkan rasa kegembiraan ke dalam hatinya, hadapkan muka yang jernih dan laku perangai yang membuktikan bahawa engkau seorang yang mengenal sopan santun. – Hamka, Berbicara Tentang Perempuan, m/s 96

 

Sisi pandang peribadi

Apa yang saya dapat simpulkan hasil daripada pembacaan buku ini adalah pertamanya kepentingan dalam memahami tanggungjawab masing-masing bagi setiap lelaki dan perempuan dalam membentuk peribadi muslim yang baik sesuai dengan tuntutan dan ajaran Islam. Pembentukan peribadi muslim yang baik ini tidaklah hanya semata-mata kerana keperluan untuk hidup bekeluarga, akan tetapi ia adalah tanggungjawab asas setiap individu dalam berinteraksi secara mendatar iaitu sesama manusia dan juga menegak iaitu dengan Tuhan.

Keduanya adalah kepentingan dalam memahami sifat dan keperluan pasangan dari sudut emosi, mental, fizikal dan juga pendidikan terutamanya. Boleh untuk saya ringkaskan lagi dalam satu kata iaitu “perhatian”. Ya, perhatian tentang keperluan masing-masing dan berusaha untuk memberi dan memenuhinya padar kadar kemampuan yang boleh dilaksanakan.  Maka sebelum memberi haruslah memiliki terlebih dahulu atau dalam erti kata lain, mempersiapkan diri.

Ketiga adalah kepentingan mendedahkan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran supaya kita dapat belajar banyak perkara dalam kehidupan yang sangat diperlukan bagi melengkapi kekurangan lelaki dan perempuan. Ilmu dan kemahiran ini pula kebanyakannya hanya akan dapat diperoleh daripada pembacaan yang pelbagai, kehidupan berdikari, pertanyaan soalan, pengalaman peribadi dan juga ibrah daripada pengalaman orang lain.

 

Saranan

Buku ini sarat dengan pelbagai perbincangan tentang perempuan. Namun saya amat menyarankan untuk anda membacanya baik lelaki ataupun perempuan kerana dalamnya terdapat banyak panduan dan nasihat yang berguna untuk lelaki dan juga perempuan terutamanya. Olahan dari satu bab ke satu bab yang lain akan membuatkan anda tegar untuk terus membaca dan terus menyelak dari muka ke muka. Sebuah buku yang saya kira tidak tebal tapi padat dengan pedoman.

Disebabkan buku ini bersifat lebih kepada perbincangan, sudi untuk saya mencadangkan kepada anda juga untuk membaca karya Hamka yang lain yang lebih menjurus kepada realiti dan situasi kehidupan lelaki dan perempuan supaya anda akan lebih memahami di mana anda harus mula untuk membaiki diri dan  bagaimana untuk membuka kunci perubahan diri ke arah yang lebih baik. Antara buku lain yang anda boleh jadikan pelengkap bacaan kepada buku Berbicara Tentang Perempuan adalah Terusir, Angkatan Baru, Merantau Ke Deli dan juga karya popular Hamka di nusantara iaitu Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.

Selamat membaca !

 

Diulas oleh Syafiyullah Yahya


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syafiyullah Yahya
Syafiyullah Yahya

Seorang  IT Professional yang suka membaca, menulis dan berkongsi tentang buku.

Articles: 7