Ulasan Buku : DIY 360 Mengurus Wang

Ulasan Buku : DIY 360 Mengurus Wang

Bebas kewangan bukanlah bermaksud anda mempunyai wang semata-mata dan mampu membeli apa yang anda mahu. Sebaliknya, maksud bebas kewangan ini berbeza bergantung kepada gaya hidup dan keperluan anda sendiri”

Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan bebas kewangan ? Menjadi jutawan atau kaya raya ? Atau juga anda boleh melancong ke mana sahaja yang anda suka bila-bila masa? Definisi bebas kewangan ataupun yang selalu disebut sebagai “Financial Freedom” ini seringkali berlegar dalam kalangan anak muda masa kini, baik di media sosial mahupun di meja makan.

Hakikatnya bebas kewangan ini tidaklah hanya dimiliki oleh orang kaya tapi setiap dari kita boleh memilikinya tidak kira berapa jumlah harta yang kita ada selagimana kita bijak menguruskannya. Maka di sinilah pentingnya untuk mempelajari dan memahami tentang ilmu pengurusan kewangan yang efektif. Mengapa saya tambahkan perkataan “efektif” ? Kerana ramai dalam kalangan kita yang sangka telahpun ‘menguruskan kewangan’ mereka tapi hakikatnya mereka tidak menguruskannya dengan betul sehinggakan ramai yang menghadapi masalah kewangan yang akhirnya membawa kepada masalah kepada institusi kekeluargaan.

Buku DIY 360 Mengurus Wang ini akan dikupas secara ringkas dan padat tentang bagaimana ia boleh membantu anda menguruskan wang dengan betul.

Tentang Penulis

Tuan Alwi Adam, satu nama yang tidak asing lagi dalam dunia pelaburan saham patuh syariah. Beliau merupakan seorang pelabur, usahawan, jurulatih dan perunding kewangan, bisnes dan motivasi sepenuh masa. Beliau merupakan peneraju utama EZAZ Wealth Academy di bawah EZAZ Wealth Management & Consultancy.

Beliau mula berjinak dalam bidang kewangan dan pelaburan seawal tahun 2007 sebaik sahaja pulang ke Malaysia setelah menamatkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Univerisity of Melbourne, Australia. Minat mendalam beliau dalam pengurusan kewangan dan pelaburan dimanfaatkan lagi dengan mengasaskan siri latihan bersistem seperti Modul Kewangan #DIYFinancialFreedom dan siri modul pelaburan #SMARTSAHAM.

Kini, beliau berjaya membentuk sebuah team professional yang mahir dalam bidang pelaburan dan pengurusan kewangan dengan tanda pagar #TSI ataupun #TheSophisticatedInvestor dan semakin berkembang dari semasa ke semasa.

Tentang Buku

Buku DIY 360 Mengurus Wang ini merupakan sebuah buku tentang asas pengurusan kewangan yang padat dan lengkap menyentuh hampir setiap aspek dalam kehidupan apabila berurusan dengan wang. Tujuan buku ini dihasilkan adalah untuk mendidik dan mengajar masyarakat bagaimana untuk menguruskan kewangan sendiri dengan betul tanpa mesti perlu mendapatkan nasihat perancangn kewangan atau Financial Planner, kerana bagi penulis, mengurus wang adalah tanggungjawab setiap orang kerana setiap hari kita tidak lari daripada berurusan dengan wang.

Intipati utama buku ini menerangkan 10 teknik DIY menguruskan wang yang harus dilakukan oleh seseorang yang mahukan kebebasan kewangan. 10 teknik ini merupakan tindakan yang harus dilakukan secara menyeluruh dan konsisten supaya matlamat kewangan dapat dikecapi dengan mudah dan betul. Secara asasnya kesemua teknik ini berasaskan daripada “Cashflow Quadrant” yang terdiri daripada Pendapatan, Perbelanjaan, Aset & Liabiliti. Berikut saya jelaskan secara ringkas 10 teknik DIY tersebut.

  • DIY Scan

    Teknik DIY Scan adalah teknik yang sangat penting bagi mereka yang hendak mula menguruskan kewangan dengan betul. Teknik ini mengajar apa itu Cash Flow ataupun Aliran Tunai, bagaimana untuk mengetahui aliran tunai positif atau negatif, bagaimana untuk mengira Nilai Aset Bersih dan bagaimana untuk mengesan kebocoran dan masalah aliran tunai dalam penggunaan wang kita.

    Pendapatan aktif adalah pendapatan yang dijana menggunakan masa dan tenaga yang banyak. Manakala pendapatan pasif adalah pendapatan yang dijana tanpa menggunakan masa dan tenaga.”

  • DIY Goals

    Secara asasnya, DIY Goal mengajar kita supaya menetapkan matlamat kewangan ataupun Financial Goal supaya kita tahu kemana arah tuju kewangan kita. Matlamat kewangan ini pula boleh dibahagikan kepada tiga iaitu matlamat jangka masa pendek, matlamat jangka masa sederhana dan matlamat jangka masa panjang. Kemudian penulis menyenaraikan saranan untuk mencapai matlamat kewangan tersebut.

    It is more important to grow your income. Than cut your expenses. It is more important to grow your spirit. Than cut your dreams.” – Robert Kiyosaki

  • DIY Budget

    DIY Budget merupakan teknik dalam menyediakan bajet belanjawan berdasarkan pengiraan wang masuk dan wang keluar. Melalui teknik ini, kita dapat mengawal perbelanjaan apabila kita meletakkan kadar maksima bagi setiap penggunaan wang ataupun wang keluar bagi sesuatu tujuan.

  • DIY Protect

    DIY Protect pula mengajar kita apakah jenis-jenis risiko yang wujud dalam pengurusan kewangan dan bagaimana untuk menguruskannya dengan betul. Teknik ini penting bagi memelihara kewangan kita apabila kita terpaksa menghadapi situasi yang tak dijangka.

    Dalam strategi kewangan, anda berdepan dengan risiko ‘diserang’ pada bila-bila masa dan jika pertahanan anda ridak kuat, anda akan tewas.”

  • DIY Savings

    DIY Saving adalah teknik bersedia untuk menghadapi situasi kecemasan yang seringkali orang terlepas pandang. Teknik ini mengajar kita untuk menyediakan tabung kecemasan supaya kita sentiasa mempunyai wang tunai jika kita menghadapi situasi yang memerlukan jumlah wang tunai segera.

    Tabung kecemasan ini penting untuk digunakan dalam situasi yang anda tidak jangkakan seperti kerosakan kenderaan secara tiba-tiba, ataupun kos perubatan yang tidak ditanggung takaful.”

  • DIY Invest

    Apabila kita telah berjaya mendapatkan aliran tunai positif, menetapkan matlamat kewangan dan mnenguruskan risiko bagi melindungi kewangan, langkah seterusnya adalah menggandakan wang dengan cara melabur. Terdapat banyak instrumen pelaburan yang anda boleh dipelajari. Namun begitu, teknik ini memerlukan pengetahuan yang mendalam supaya pelaburan anda tidak menjadi ‘peleburan’.

  • DIY Retire

    Rancang persaraan anda dengan mempelajari teknik DIY Retire. Teknik ini mengetengahkan bagaimana untuk membuat kiraan wang yang diperlukan selepas persaraan. Ramai yang gagal dalam merancang bab ini. Kesannya, survival selepas bersara mungkin tidak akan menjadi suatu yang indah lagi.

  • DIY Clean

    Umat Islam mesti belajar dan membayar zakat, kerana zakat itu tujuannya menyucikan harta daripada hasil yang tidak halal. Dari situ keberkatan dalam kehidupan hadir memberikan kita kecukupan dalam rezeki yang kita perolehi. DIY Clean mengajar kita jenis-jenis zakat yang ada dan bagaimana untuk merancang membayarnya. Bonus, ada tips untuk perlepasan cukai untuk mereka yang membayar zakat.

  • DIY Education

    Rancang pendidikan anak-anak sejak mereka keluar dari perut ibu. Teknik ini menekankan strategi bagaimana untuk menyediakan dana pendidikan untuk anak-anak. Terdapat banyak instrumen penyediaan pendidikan anak-anak yang boleh digunakan. Semuanya ada diceritakan dalam bab ini.

    Bagi simpanan pendidikan anak-anak, anda juga perlu menyimpan di dalam instrumen kalis inflasi yang menjanjikan pulangan bagi wang tersebut. Jangkakan peratus kenaikan tahunan supaya amda boleh merancang simpanan bulanan anda untuk sampai ke jumlah yang diinginkan.”

  • DIY Debt

    Jangan tahu berhutang sahaja, tapi harus tahu juga bagaimana untuk menguruskan hutang. DIY Debt mengajar strategi bagaimana untuk membayar hutang dengan cepat dan mudah.

  • DIY State

    Ramai yang tidak ambil berat tentang perancangan harta pusaka. Kesannya, berlaku pergaduhan apabila orang utama dalam keluarga meninggal dunia kerana masing-masing berebut harta. DIY State mengajar bagaimana utuk menguruskan harta pusaka dengan betul melalui kaedah yang telah digariskan dalam Islam.

    Sangat molek jika anda dapat melakukan perancangan pusaka ini dari awal kerana maut boleh menjemput bila-bila masa sahaja.”

Saranan Membaca

Umat Islam harus bijak dalam menguruskan kewangan. Menguruskan kewangan bukanlah maksud kita harus menjadi kaya, tapi untuk menjadi kaya ia bermula dengan pengurusan wang yang betul. Ramai yang tahu untuk ‘buat duit’, tapi masih ramai yang tidak tahu kepentingan dan cara yang betul untuk menyimpan duit. Kesannya, setiap bulan ada saja kebocoran kewangan yang berlaku yang membawa kepada pembaziran.

Mempelajari pengurusan wang juga bukan bermaksud mengejar keduniaan. Sebahagian orang yang tidak memahami ilmu pengurusan kewangan terus memandang negatif bahawa ilmu menguruskan kewangan ini adalah ilmu keduniaan yang hanya mengejar kekayaan dalam hidup sehingga meninggalkan urusan akhirat.

Namun bagi sesiapa yang mempelajari ilmu pengurusan kewangan, hakikatnya tidaklah seperti yang disangkakan, bahkan setelah mempelajari ilmu ini, anda akan mendapati betapa pentingnya ilmu pengurusan kewangan lebih-lebih lagi kepada umat Islam, kerana ia mengajar kita bagaimana untuk berjimat-cermat, mengelakkan pembaziran, menambahkan rezeki halal, meningkatkan pembayaran zakat, memperbanyak sedekah dan mengelakkan diri daripada terjatuh kedalam lembah kemiskinan.

Buku DIY 360 Menguruskan Wang ini bukan lagi menjadi pilihan untuk dibaca atau tidak, tapi harus menjadi pembacaan penting bagi setiap orang supaya dapat meningkatkan kualiti kehidupan dan dalam masa yang sama menguruskan wang dengan berhemah. Selepas membaca buku ini, saya percaya anda akan mendapat sesuatu pelajaran yang bermanfaat dan menyedarkan diri anda di mana kesilapan selama ini yang harus dibetulkan. Perubahan ke arah yang lebih baik, bermula daripada kesedaran daripada sebuah kesilapan. Baca buku ini sebelum anda menyesal di kemudian hari. Selamat membaca !


Program Terkini daripada EZAZ Wealth Management & Consultancy :

Program 1 : SmartSaham Wyckoff Trading Blueprint (6 Hari Online Webinar) 14-19 JULY 2020
Link Pendaftaran : https://ml.my/wo6hbatch4

Program 2 : Smart Saham Special Coaching – Wyckoff Traders Malaysia SELANGOR Batch 5 – SEPTEMBER 2020
Link Pendaftaran : https://ml.my/ssscsab5september

Program 3 : SmartSaham Wyckoff Trading Blueprint EDISI SELANGOR (16-19 OKT 2020)
Link Pendaftaran : https://ml.my/ssscsab7


Dapatkan buku-buku yang terkini dan beinspirasi daripada Kafe Konfess Buku dengan melayari kafe.konfessbuku.com.

Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca