Ulasan Buku : Ubat Dari Dapur

Kesihatan adalah satu nikmat yang Allah ta’ala anugerahkan kepada manusia. Sebaik-baik amanah yang perlu dijaga agar tidak dideritai penyakit-penyakit merbahaya. Inisiatif ataupun langkah menjaga kesihatan secara optimum adalah dengan menggali ilmu pemakanan yang betul.

Buku ini ditulis oleh Dr. Suri Roowi mantan ilmuan Saintis Prinsipal dalam Program Perekaan Makanan, Pusat Penyelidikan Sains dan Teknologi Makanan, Mardi. Beliau telah mengasah kepakarannya selama 23 tahun sebagai saintis terkemuka. Judul buku Ubat Dari Dapur telah dua kali di cetak pada tahun yang sama 2019 dibawah penerbitan Galeri Ilmu. Mengandungi 136 muka surat disertai info menarik dan gambar berwarna.

Motif dan tujuan buku ini dituliskan adalah untuk memberi pendedahan kepada orang ramai mengetahui apakah makanan dari dapur yang berkhasiat sekaligus boleh bertindak sebagai ubat tanpa harus menelan pil ataupun kapsul. Penulis juga begitu tekun membawakan rujukan-rujukan santifik bagi mengukuhkan kajian yang telah dijalankan.

Tiap-tiap hari kita menggunakan bahan dapur sebagai penyedap rasa dan kelengkapan makanan. Tetapi kebaikan makanan pada tubuh badan kurang dititikberatkan dek kerana makan hanya memuaskan selera perut dikala lapar.

11 bab terkandung dalam buku ini penulis berkongsi mengenai jenis makanan yang baik untuk diamalkan. Antara tamsilan yang dapat saya simpulkan ialah :

1. Sumber makanan asas berkhasiat. Beras ialah makanan asas masyarakat Malaysia. Jika direbus, mempunyai 2 kali ganda kandungan serat. Air rebusan nasi kaya asid kaumarik dan ferulic dan mampu merawat cirit birit dan sembelit jika diminum.

2. Minuman Berkhasiat. Air Kelapa mengandungi 94 peratus air. Bahan magnesium dan potasium dalam air kelapa boleh mengurangkan tekanan darah tinggi.

3. Buah-buahan berkhasiat. Bahan asid amino triftopan dalam pisang boleh membantu mengatasi kemurungan dan imsonia (susah tidur).

4. Sumber manisan berkhasiat. Gula melaka sering cukup terkenal digunakan dalam masakan oleh rakyat Kelantan misalnya dan amat sesuai digunakan bagi pesakit diabetis berbanding gula putih.

5. Minyak pati dan aromaterapi. Minyak pati ditemui dalam bunga cengkih, kayu manis dan lain-lain. Biasanya, minyak ini diekstrak menjadi essential oil sebagai aroma terapi dirumah seperti minyak gaharu yang bersifat anti kanser dan minyak jeremin menghalau nyamuk. Ia selamat jika dihidu dan digunakan.

6. Khasiat pewarna asli. Pewarna asli semula jadi boleh ditemui dalam kelopak bunga. Kelopak warna bunga telang biasa dijadikan pewarna asli nasi kerabu. Ternatin sejenis bahan dalam bunga telang mampu mencegah diabetis dan meningkatkan insulin.

7. Sayur-sayuran dan Ulam-Ulaman berkhasiat. Kubis antara sayur yang merencatkan pertumbuhan sel-sel kanser dan baik diamalkan seisi keluarga. Manakala ulam-ulaman antiradang dan anti tekanan darah ialah seperti ulam raja kerana kandungan bahannya iaitu kuersetin.

8. Khasiat ramuan makanan. Setiap sajian makanan pasti halia tidak lupa dimasukkan untuk menaikkan bau dan rasa. Kajian membuktikan bahawa bahan zingiberence pada halia boleh menghalang jangkitan virus.

9. Herba Berkhasiat. Herba juga antara alat masakan yang wajib ada ketika menumis. Selain itu, herba seperti misai kucing juga sering digunakan dalam rawatan tradisional. Bunga misai kucing dapat mengatasi masalah tenaga batin.

10. Pembungkus makanan yang mengandungi bahan berkhasiat. Di pasaran kita dapati pembungkus makanan tertentu tidak selamat digunakan untuk membungkus makanan panas. Namun, pembungkus makanan yang bermutu dan tahan lama boleh ditemui pada daun pisang. Daunnya bersifat antibakteria sesuai untuk membalut makanan.

11. Makanan dan penyakit. Penyakit datang dari gaya hidup seseorang dalam pemakanan. Namun, penawar juga datang dari pemakanan yang sihat. Penulis merumuskan agar memilih makanan yang sesuai jika menghidap sesuatu penyakit.

Bahan dari dapur boleh digunakan sebagai rawatan semula jadi secara alami. Di sini juga Dr. Suri berkongsi kandungan yang terdapat dalam bahan makanan. Setiap bahan tersebut berfungsi memberi dua kesan ataupun efek ke dalam badan. Ini secara tidak langsung jika terdapat makanan atau minuman diambil secara berlebihan boleh merisikokan kesihatan dan akhir sekali menimbulkan penyakit tak dijangka. Contohnya, individu yang mempunyai sejarah batu karang tidak digalakkan memakan bayam secara berlebihan. Air kelapa jika diminum berlebihan boleh mengakibatkan degupan jantung tidak normal kemungkinan kerana bahan potassium yang tinggi.

Menarik perhatian saya terhadap Dr. Suri Roowi pula apabila beliau membawakan pandangan tentang khasiat air soya. Kajian oleh Cancer Research Journal 2001 berpendapat air soya boleh merangsang pertumbuhan sel-sel kanser disebabkan bahan isoflavon sejenis bahan kimia yang menyerupai hormon estrogen wanita. Namun, kajian dilakukan sekali lagi pada 2017, didapati soya tidak meningkatkan risiko seperti kanser payudara malah menurunkan kadar kematian. Sebelum ini saya ada membaca dari pihak berautoriti lain bahawa apabila estrogen berlebihan di dalam tubuh ia boleh mengaktifkan sel-sel kanser. Cara mengelak ini berlaku adalah dengan menjauhi minuman seperti soya.

Makanan yang baik boleh menghindari penyakit dan mencegaskan fizikal dan minda. Namun, asbab kematian juga datang dari ketentuanNya. Tetapi manusia tetaplah berikhtiar mencari penawar melalui makanan berkhasiat. Tentunya buku ini rujukan terbaik baik buat pesakit mahupun sebaliknya yang inginkan gaya hidup sihat.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67