Ulasan Buku : 365 Tip Didik Anak Gaya Nabi

Judul: 365 Tip Didik Anak Gaya Nabi.
Penulis: Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki.
Penerbit: PTS Publishing House Sdn.Bhd.
Isbn: 9 789674 115135
Kedai: Fanika, Tawau.
Harga: RM20.00

Alhamdulillah saya telah selesai membaca buku ini sejak beberapa minggu selepas membelinya di sebuah kedai yang dinamakan ‘Fanika’, bertempat di bandar Tawau tahun lepas 2019. Dengan harga RM20.00 senaskah. Ini adalah buku pertama yang saya baca dalam mempelajari tip dan cara mengurus anak dengan penuh berdisiplin. Mencari tema buku-buku seperti ini salah satu keterujaan buat diri sendiri memandangkan azam pada bulan Ramadhan tahun ini hendak mengajar anak bermula dari awal bab semula.

Judul buku “365 Tip Didik Anak Gaya Nabi” adalah karangan Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki, dilahirkan di Negeri Sembilan. Dikurniakan enam orang cahaya mata bersama pasangan beliau Ustaz Muhidin Mokter. Merupakan graduan dan mantan Pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA). Sering menjadi tetamu jemputan di Radio dan Televisyen terutamanya dalam topik keibubapaan dan Fiqh Wanita seperti di TV Al-Hijrah dan TV9, Kini, beliau aktif mengendalikan seminar dan program khususnya keibubapaan.

Buku ini mengandungi 140 bab, setebal 192 muka surat dan diterbitkan oleh Publishing House Sendirian Berhad. Cetakan keempat pada tahun 2016.

Buku ini banyak keistimewaan. Secara keseluruhannya, penulis banyak memuatkan idea-idea bernas yang memungkinkan pandangan ibu bapa tidak lagi menganggap mendidik anak adalah satu tanggungjawab yang memberatkan. Dalam buku ini, penulis bertemakan ‘1 hari 1 tip’ disertakan ‘365 tip jom amal’ seperti contoh petikan dalam bab 48, “Luangkan masa untuk solat berjemaah dirumah dan sedia perlihatkan kepada anak.” Buku ini lengkap sebagai bimbingan ibu bapa untuk setahun. Setiap topik dinyatakan kelebihan dan tujuan perlaksanaannya seperti contoh petikan, “Anak akan meniru perbuatan ibu bapa dan mula melakukan pergerakan yang terdapat dalam solat sepertimana yang dilakukan oleh ibu bapanya.”

Banyak hal yang saya dapat belajar dalam buku ini, penjelasan yang mudah difahami. Buku ini juga mempunyai keistimewaan yang penulis muatkan seperti menyertakan dalil Al-Qur’an, contoh ayat yang saya petik dalam bab 18. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka hadapkanlah dirimu ke arah agama yang jauh daripada kesesatan. Fitrah Allah yang menciptakan manusia bagi menerimanya.” (Surah Ar-Rum:ayat 30). Dan contoh hadis pula yang saya petik dalam bab 2, “Muaz bin Jabal r.a. menceritakan, Rasulullah SAW mengatakan, ”sesiapa sahaja yang bersaksi dengan benar daripada hatinya bahawa Tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah (pesuruh Allah), maka Allah akan haramkannya daripada api neraka.” (Direkodkan oleh Imam Al-Bukhari dan Muslim). Dan ada juga disertakan pendapat ulama seperti contoh yang saya petik dari bab 127, “Kamu jangan terpedaya dengan airmata (tangisan) orang yang zalim. Ramai orang yang berbuat zalim, tetapi dia juga menangis.” (Ulama Salaf dalam Tafsir Ibnu Katsir).

Buku ini amat penting dan sesuai untuk kita semua baca terutamanya apabila saat berkembangnya pengetahuan anak-anak kecil kita. Buku ini boleh dijadikan panduan dan sangat membantu buat ibu bapa yang masih baru dalam menginjak alam rumahtangga dan yang mempunyai anak-anak kecil terutamanya ibu bapa yang pertama kalinya menimang cahaya mata. Antara topik yang saya suka lagi dalam buku ini ialah penulis menyelitkan cadangan aktiviti yang boleh dilakukan oleh ibu bapa bersama anak-anak di rumah. Contoh aktiviti tersebut adalah seperti mengajak anak-anak untuk melakukan eksperimen. Pertama menyediakan bahan-bahan,dua biji telur ayam, air kosong, dua biji gelas yang dilabelkan A dan B. Kemudian cara-caranya, isi separuh air ke dalam kedua-dua gelas. Dan masukkan lima atau enam sudu garam ke dalam gelas A dan larutkan. Biarkan air didalam gelas B tanpa mencampurkan sebarang bahan. Kemudian, masukkan telur ke dalam gelas dan lihat apa yang terjadi. Seterusnya lihat keputusan eksperimen, kita akan melihat telur di dalam gelas A terapung manakala telur di dalam gelas B tenggelam. Itulah hasilnya!

Dalam buku ini juga penulis berkongsi ’13 Tip Mengurus Anak Bermain Gajet.’ Ini merupakan bonus dalam buku ini. Disertakan info penting tentang baik buruknya anak bermain gajet. Contoh info yang saya ambil daripada buku ini ialah,pertama kebaikan: mendapat maklumat dengan mudah dan pantas. Kedua, keburukan: maklumat yang diterima belum tentu kesahihannya. Sejujurnya, saya banyak mendapat ilmu baharu daripada buku ini terutamanya dari sudut membimbing tingkahlaku anak dan dalam mendorong anak membolehkan melakukan sesuatu perkara selagi tidak mengundang mudharat terhadap dirinya.

Buku ini bukan sekadar mengenai panduan mengurus anak-anak sahaja, tetapi sekaligus mengajak kita agar minat membaca buku. Ibu bapa perlu meletakkan target atau tempoh untuk membaca agar sentiasa terisi dengan ilmu pengetahuan supaya mampu mengajari anak-anak sendiri ketika berada dirumah. Baik buku sains dan matematik mahupun buku agama, matlamat utama adalah meluaskan ilmu pengetahuan membina anak yang soleh dan solehah. Membaca juga suatu pekerjaan yang menjana masa depan seseorang agar mampu berfikiran jauh dan mempunyai tujuan hidup yang jelas.

Saya cadangkan supaya buku ini menjadi pilihan rujukan utama ibu bapa di luar sana. Selamat mendidik anak-anak!

سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ ِللهِ وَ لآ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ

لا حَوْلَ وَلا قُوَّةَ اِلا بِا للهِ الْعَلَيِ الْعَظَيْمِ

أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ

اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

📜Lila Roselily Madais
[ليلا رسليلي ماداءيس]
(Pena Si Penulis)


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Lila Roselily Madais
Lila Roselily Madais
Articles: 3