Ulasan Buku : Pendekar Keyboard

Pengenalan Ringkas:

Buku ini ditulis oleh Khairul Ezuwan Yusoff atau lebih dikenali sebagai KEY di media sosial facebook. Cetakan pertama pada tahun 2017 dan diterbitkan oleh KEY Empires Consultancy dan dicetak oleh Firdaus Press Sdn Bhd. Buku ini mempunyai lebih kurang 188 mukasurat tak termasuk gambar-gambar di bahagian belakang. Terbahagi kepada 3 bahagian utama dan mengandungi 73 subtopik.

Ulasan:

Pertama kali saya membelek buku ini, saya terus terpaku dan terus membacanya dari halaman ke  halaman yang lain. Apa yang menarik tentang buku ini, sekiranya anda seorang yang biasa melayari media sosial seperti facebook, anda pasti kenal dengan Khairul Ezuwan ini atau lebih dikenali dengan KEY yang boleh saya katakan seorang yang pakar dalam bidang kewangan khasnya pembiayaan ASB dan hartanah . Setakat ulasan ini ditulis, KEY mempunyai follower lebih kurang 144 ribu orang di media sosial facebook.

Ya, buku ini berkenaan dengan potensi pembiayaan ASB yang ramai mungkin terlepas pandang atau tidak sedar. Apa yang menarik, isi kandungan buku ini yang ditulis oleh KEY itu hanyalah dikarang menggunakan iphone sahaja. Pertama kali saya membaca buku ini di dalam feri dalam perjalanan dari Kuala Perlis ke Langkawi yang mengambil masa lebih kurang setengah jam sehala. Pada masa itu, saya hadir untuk mesyuarat di sana dan siap membaca buku itu semasa dalam perjalanan balik semula (Pergi balik Langkawi hari yang sama). Ini bermaksud untuk membaca buku ini dari mula hingga akhir, saya mengambil masa lebih kurang 1 jam sahaja!

Buku ini membuka mata (eye opener) dan minda saya berkenaan dengan potensi pembiayaan ASB yang sebenar. Sebelum ini, saya agak sinis. Saya selalu berpandangan pembiayaan ASB ini adalah pembiayaan yang biasa sahaja. Tidak lebih dan tidak kurang. Mungkin ia mempunyai sedikit kelebihan berbanding pembiayaan yang lain kerana ia hanya terbuka kepada bumiputera sahaja.

Bahagian pertama buku ini di bawah tajuk hartanah. Pada bahagian ini, KEY menceritakan tentang potensi pembiayaan ASB yang boleh membantu kita memiliki hartanah yang sesuai, menambah hartanah yang ada dengan teknik yang betul, menggunakan KWSP dengan cara yang sepatutnya dalam pembiayaan hartanah dan pelbagai teknik lain lagi. Pada bahagian kedua pula di bawah tajuk ASB dan simpanan. KEY menceritakan antara lain peri pentingnya membuat pembiayaan ASB berbanding simpanan biasa di dalam ASB, teknik bagaimana memaksimakan keuntungan di dalam ASB, betapa mustahaknya memohon tempoh pembiayaan yang panjang atau maksima dalam pembiayaan  ASB dan pelbagai teknik lain. Pada bahagian ketiga, di bawah tajuk “kenali penipuan”. KEY mendedahkan tentang pelbagai teknik dan strategi skim “cepat kaya” yang licik dan menipu orang ramai dengan menyedut duit mereka. Saya masih ingat lagi kata-kata KEY di dalam buku ini yang antara lain adalah “Mereka yang kalah berjudi akan terkawal emosinya apabila mereka bertaubat dengan tidak berjudi lagi. Itulah proses pemulihan yang sebenar”.

Perlu juga saya ulas di sini bahawa saya bukanlah ejen pada mana-mana bank yang membuat pembiayaan ASB. Tetapi buku “Pendekar Keyboard” ini telah menyedarkan saya untuk memaksimakan pembiayaan ASB dan ASB2 yang saya ada. Selain itu, apa yang menarik, buku ini ditulis oleh KEY dengan gaya yang penuh santai, ia tidak terlalu berat. Buku ini bukanlah satu buku yang sarat dengan istilah-istilah yang kita tidak faham atau mengandungi maklumat-maklumat yang begitu tinggi laras bahasanya. Membaca buku ini seolah-olah kita berbual di hadapan KEY sebagai seorang kawan lama.

Bacalah!

 

Diulas oleh Musyiri Bin Peet


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Musyiri Peet
Musyiri Peet
Articles: 1