Ulasan Buku : Projek Bibliofil

Ulasan Buku : Projek Bibliofil

Projek Bibliofil merupakan sebuah karya saudari Zahrah Yunos yang membincangkan perihal kepentingan membaca di samping merealisasikan matlamat utama buku ini ditulis iaitu melawan mitos bangsa malas membaca. Dalam buku ini juga, pembaca akan berjumpa berbagai rencah menyedapkan lagi rasa bacaan disetiap lenggok patah perkataan. Pembaca tidak akan sunyi dan bosan malah seolah-olah berbeka-beka dengan penulis berempat mata. Kosa kata yang mudah difahami dari segi mesejnya sampai ke lubuk hati.

Penulis cuba membawa orang ramai merentasi dunia baharu mengenali dunia bacaan. Sebenarnya dunia bacaan sudah bermula sejak diusia kanak-kanak. Diajar menyebut dan mengeja satu persatu abjad dengan betul tika dibangku sekolah sehingga ke peringkat pengajian tinggi. Dalam kehidupan juga, gadjet berfungsi sebagai alat elektronik yang memuatkan ratusan ebook bahan bacaan. Namun isunya bukan pada wadah bacaan, tetapi bagaimana alternatif individu menentukan budaya membaca satu kemestian yang harus diamalkan.

Kita masing-masing mempunyai 24 jam sehari. Masa berkerja dipenuhi lambakan kertas bertingkat-tingkat. Suri rumah pula berlarian mengurusi anak dan suami dikamar juga didapur. Kendatipun begitu, kita harus mencuri masa melepaskan ‘beban’ dengan membaca. Tidak ada lagi alasan malas atau sibuk. Membaca mengistirehatkan minda dan tubuh. Selerakan hari mencapai pantas buku kegemaran segera.

Tidak semua suka membaca. Ada yang lebih gemar memuaskan hidup pada hobi sendiri. Ada suka shopping, ada suka menjahit, memasak, bermain bola dan lain-lain. Begitulah juga bagi individu yang minat membaca. Gemar mengumpul buku dari semasa ke semasa. Hobi mereka membaca. Manusia memiliki hobi berbeza-beza. Namun alangkah nikmatnya jika membaca menjadi hobi bagi setiap makhluk yang bernyawa.

Bagi saya sendiri, membaca menghidupkan jiwa yang pernah mati. Ubat dari segala kekusutan, kesepian dan kegagalan. Saya yakin, jika buku ini sudah berada dalam genggaman anda, sesekali tidak berpatah balik dari masa lalu yang menyakitkan. Perubahan akan mengusung fikiran mencabar diri menimba ilmu dengan membaca.

Apa Yang Begitu Istimewa Pada Projek Bibliofil?

  1. Hebahan mengenai kesedaran membaca merupakan suatu hal yang vital perlu dipupuk oleh semua lapisan masyarakat. Tidak kira umur, bangsa dan agama.
  2. Tips berguna membeli buku, menguruskan waktu luang membaca, melatih menguasai speed reading, sasaran menghabiskan bacaan, memilih genre buku dan banyak lagi.
  3. Cara menyumbang hasil idea bacaan melalui menulis, mengulas, mencipta kumpulan ulat buku, dan menubuhkan perpustakaan.
  4. Penulis berkongsi pengembaraan dan pengalaman dibeberapa tempat. Disetiap lakaran terdiri ilustrasi seperti toko buku dan perpustakaan yang dibina.
  5. Bersuai kenal dengan perkataan baru seperti reader’s block, Tsunduko, Tsunde-oku, Dokusho, Bibliomania dan Biplioterapi.
  6. Soalan Kuiz, jadual membaca, senarai toko buku dikunjungi, pelan kumpulan buku, jurnal bacaan, ilham kembara, perlu diisi diruangan kosong sebagai tanda pecinta buku yang jujur.

Karya Projek Bibliofil diserikan lagi kata pengantar dari pengasas Jejak Tarbiah, Puan Saadiah Ali. Diakhir kulit buku pula ada hantaran review menarik tanda sokongan terhadap buku Projek Bibliofil .

‘Sebuah Blueprint tindakan cepat dan mudah untuk diri sebagai seorang ibu, ayah, pekerja dan pecinta buku menggerakkan satu negara menggilai aktiviti membaca.’ -Zamri Mohamad, Pengasas kursuspenulisan.com.

‘Bangsa membaca, bangsa berjaya. Jika anda tidak suka membaca buku, wajar baca buku ini dahulu. Pasti persepsi anda terhadap buku dan aktiviti membaca akan berubah 100%. Anda akan mula jatuh cinta dengan buku. Jika anda seorang ibu atau bapa atau seorang guru, mencari solusi terbaik menanam minat kanak-kanak menyintai buku, jawapannya ada dalam buku ini.’ -Puan Suhaili Ikhsan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan ABS Sdn Bhd.

Saya sempat mengambil beberapa petikan ayat yang cukup memberi makna sebagai pembaca dan pencinta buku.

‘Saya selalu membayangkan Syurga itu adalah sebuah perpustakaan.’ -Jorge Luis Borges.

Sebagai umat islam, kita mengimani bahawa Syurga tempat apa saja manusia minta akan diberi ganjaran sebagai balasan menjadi musafir yang taat di muka bumi. Jadi jangan lupa masukkan apa pun hajat dalam senarai diakhirat, mudahan Allah SWT perkenankan doa.

‘Membaca buku dengan nilai-nilai yang baik boleh mempengaruhi kita untuk menjadi baik juga. Tunjukkan bahawa aktiviti membaca kita tidak sia-sia dengan mempraktikkannya dalam kehidupan seharian.’ -Zahrah Yunos.

Dapatkan Projek Bibliofil dikedai berhampiran pada harga Rm 25 SM. Seronok dan menghiburkan.

Selamat Membaca !


Dapatkan buku-buku yang terkini dan beinspirasi daripada Kafe Konfess Buku dengan melayari kafe.konfessbuku.com.

Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca