Ulasan Buku : Mudahnya Menulis

Ini adalah buku ketiga yang saya baca dalam mempelajari teknik dan cara penulisan. Mencari tema buku-buku seperti ini salah satu keterujaan buat diri sendiri memandangkan azam tahun ini hendak menulis beberapa buah buku.

Judul buku “Mudahnya Menulis” adalah karangan Professor Madya Doktor Umi Kalthum Ngah, pensyarah USIM bidang sains dan kejuruteraan. Beliau merupakan antara Novelis terkenal tanah air. Banyak buah buku yang telah ditulis mendapat sambutan dikalangan pembaca. Justru, mendorongnya untuk membuka lebih banyak bengkel penulisan diluar.

Buku ini mengandungi 15 bab, setebal 148 muka surat dan diterbitkan oleh Iman Publication. Cetakan pertama pada tahun 2014.

Secara keseluruhannya, penulis banyak memuatkan idea-idea bernas yang memungkinkan pandangan seseorang tidak lagi menganggap menulis adalah satu aktiviti yang memberatkan.

Penulis berkongsi bagaimana timbul idea menulis buku-bukunya sebelum ini. Penulis juga ada berkongsi perihal tema bengkel yang pernah dipilihnya iaitu “Kembara Hati Menerokai Jiwa”. Mengapa memilih tema ini? Bagi Prof Umi Kalthum, penulis perlu menggembara dan jadi pengembara. Setelah menggembara semua deria termasuklah hati akan menangkap senario kehidupan diluar kemudian dijadikan inti dalam penulisan.

Barangkali inilah yang berlaku dikalangan Novelis. Mereka perlu lebih banyak meneroka untuk mencantikkan lagi jalan penceritaan agar dapat merasuk hati dikalangan pembaca.

Dalam naskhah ini juga, penulis memperkenalkan tamsilan karya-karya Evergreen. Maklum, masyarakat mengetahui kebanyakkan karya Prof.Hamka berjaya menarik hati di sisi pembaca sehingga berulang kali dicetak di pasaran. Salah satu karya yang menimbulkan fenomena adalah Novel “Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.” Kisah Zainuddin dan Hayati terpisah akibat dua darjat yang berbeza. Hamka bukan sekadar menghanyutkan para pembaca dengan titisan air mata, malah membawa pengajaran dengan mengkritik adat Minangkabau yang tidak boleh berkahwin selain dari keturunan suku sendiri. Jelas watak yang ada dalam Novel ini tidak menjamin kebahagiaan meski berkahwin dalam satu kesukuan. Karya Prof Hamka salah satu ciri-ciri Evergreen kerana tema yang diangkat masih relevan dan bersesuaian mengikut peredaran zaman.

Selain dari itu juga, Prof Umi Kalthum berkongsi bagaimana bukunya ‘”Seunggu Lavender” ditulis mengikut metod KJ yang dinspirasikan dari penulis Jepun, Kawakita Jiro (KJ). Kaedah KJ adalah aktiviti membuat kad-kad kecil. Setiap kali idea terlintas dalam fikiran, maka kad-kad kecil ini berfungsi menyimpan idea secara spontan. Jadi kaedah ini juga bersesuaian mengumpul idea-idea menulis. Namun pada pandangan peribadi, kaedah ini perlu ada kerajinan dan dua kali pekerjaan sebenarnya.

Setelah kita berjinak-jinak dengan mula menulis, penulis membawakan 3 perkataan yang berasal dari falsafah Yunani yang perlu diaplikasikan oleh diri seorang penulis. Mengikut kefahaman saya selepas membacanya, 3 unsur perkataan itu ialah :

Ethos – Keterampilan kita sebagai penulis. Penulis mengukuhkan laras bahasa agar menghidupkan bacaan dan mantap.

Pathos – Sasaran. Penulis wajib tahu sasaran pembaca dari kalangan yang mana. Jika remaja maka banyak elemen-elemen penting yang bersesuaian mesti dimasukkan.

Logos – Bahan yang dituliskan bersesuaian dan mengikut selera pembaca. Bahasa diolah dan memiliki pendekatan.

Disini juga Professor Umi Kalthum Ngah turut menyelitkan jadual waktu dan hari menulis. Bagi saya, jadual ini kurang bersesuaian kerana sebagai isteri dan juga ibu, saya tidak suka meletakkan peraturan menulis sebegini. Tentu, ini akan melanggar jadual antara menulis dan rutin bersama ahli keluarga. Jadi saya lebih gemar menetapkan jadual menulis mengikut keadaan seperti menulis ketika lapang pada setiap hari sekali.

Buku ini bukan sekadar mengenai panduan menulis buku-buku Novel. Ia juga sesuai bagi yang suka menulis artikel ataupun blog. Saya suka memetik pendapat penulis pada muka surat 111,

“Bagi menjadi penulis, kita perlu banyak membaca. Tidak kira dimanapun sumber (buku, blog, artikel, akhbar, majalah), ini adalah aktiviti yang tidak dapat tidak, perlu kita lakukan. Baca sebab ingin tahu. Baca sebab mahu mengumpul maklumat. Baca sebab sengaja mahu mencari keseronokkan. Baca sambil lewa. Baca sebab mahu memperbaguskan bahasa ! Apapun, hendaklah baca, baca dan baca !”

Baik buku fiksyen atau non fiksyen matlamat buah buku yang dituliskan adalah kerana hendak meluaskan legasi dakwah. Menulis juga pekerjaan mulia dan diberi imbalan pahala disisi ajaran islam.

Menulis memerlukan gerak kerja dan tidak kenal erti putus asa. Seorang penulis perlu meletakkan target atau tempoh menulis untuk menyelesaikannya. Seperti kata penulis ini, pisau yang tajam jika tidak diasah, lama kelamaan boleh menjadi tumpul. Sekurang-kurangnya peruntukkan masa 10 minit untuk kerja-kerja menulis.

Selamat Membaca dan Menulis !


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67