Ulasan Buku : Kuasa Iqra’ – Menguasai Dunia, Menikmati Nikmat

Ulasan Buku : Kuasa Iqra’ – Menguasai Dunia, Menikmati Nikmat

Sebenarnya terdapat banyak buku yang mengangkat tema biblioholisme, baik dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Arab. Atau apa jua bahasa antarabangsa yang ada di pelusuk bumi ini.

Dan, jika kalian mencari buku biblioholisme dalam sudut pandang Islam, saya amat mencadangkan kalian membaca buku yang ditulis oleh Menteri Agama kita ini iaitu “Kuasa Iqra’: Menguasai Dunia Menikmati Akhirat.”

Kalian akan dibawa menghayati betapa besarnya anjuran membaca yang dibawa oleh Islam sejak awal penurunan wahyu lagi. Kenapa kegiatan membaca itu dijadikan anjuran pertama sebelum berlakunya pensyariatan ibadah lain? Kenapa tidak disebutkan mengenai ibadah solat, puasa dan zakat terlebih dahulu?

Persoalan-persoalan itu akan kalian temui di dalam buku ini.

Dr Zulkifli membawa kalian menghayati beberapa topik perbincangan yang menarik mengenai dunia membaca, seperti:

1. Tafsir surah Al-‘Alaq
Pelbagai pandangan dan kalam mufassir diterjemahkan kepada kita dalam usaha memahamkan hikmah perintah membaca itu tidak lain tidak bukan mengeluarkan kita daripada kegelapan kepada cahaya, kekufuran kepada iman dan kejahilan kepada kecerdikan.

2. Faedah dan cara pembacaan berkesan
Perihal utama dalam perintah membaca adalah niat kerana Allah Taala untuk menyampaikan manfaat kepada umat manusia yang lain, bukan untuk manfaat diri sahaja.

3. Tokoh ulama’ bibliophile
Penulis menceritakan bagaimanakah keterikatan ulama’-ulama’ dahulu terhadap ilmu, dan masyhur kegiatan membaca dan menulis dalam kalangan ulama’ bibliophile ini.

4. Tips untuk menguasai amalan membaca
Didatangkan pelbagai info kepada para pembaca bagaimana cara untuk menjadi bukuan yang bijak mencari bahan bacaan, garis pandu ketika membaca dan natijah pembacaan seseorang yang tidak lain tidak bukan untuk menyebarkan manfaat kepada masyarakat.

Menilik gaya penulisan penulis, dapatlah saya fahami bahawa beliau merupakan seorang yang begitu teliti dalam pengkajiannya, dan menggunakan pelbagai rujukan demi membawa minat pembaca untuk menghayati nikmatnya “syurga membaca”.

Buku ini membawa satu tanggapan baru kepada kita, bahawa aktiviti membaca itu amat dituntut dalam Islam dan bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang ringan.

Kerna asas kefahaman yang jelas akan melahirkan masyarakat yang terpandu dan bukan menurut hawa nafsu. Kefahaman hasil daripada pembacaan akan membuktikan kita adalah makhluk Tuhan yang penuh dengan ketidaksempurnaan. Iyalah, ilmu yang ada di dunia ini pun, bukannya kita kuasai semuanya.

Jelas buku ini amat sesuai untuk dijadikan bahan bacaan kepada mereka yang sudah lama mencari motivasi untuk menjadikan aktiviti membaca sebagai teman. Juga untuk semua penuntut ilmu di luar sana tanpa mengira batas usia.

Percayalah, ketika kalian memulakan pengembaraan membaca buku ini, kalian akan melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga betapa rahmahnya Allah dalam mengangkat darjat manusia dengan akal dan ilmu!

Selamat membaca! Teruslah meneroka dunia!


Dapatkan buku-buku yang terkini dan beinspirasi daripada Kafe Konfess Buku dengan melayari kafe.konfessbuku.com.

Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca