Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Kertas-Kertas Yang Merubah Fikir

Ulasan Buku : Kertas-Kertas Yang Merubah Fikir

“… membaca seharusnya mengubah kehidupan dan peribadi seseorang. Membaca seharusnya jadi kunci kepada penerokaan yang mendewasakan seseorang baik daripada segi fikiran atau perasaannya.”

Kertas-Kertas Yang Merubah Fikir ialah sebuah buku tentang perjalanan mencintai buku dan budaya membaca dari Tim Goodreads Malaysia. Buku yang diterbitkan oleh Jejak Tarbiah Publication ini mempunyai 21 kisah di dalamnya dengan ketebalan 163 muka surat. Ahli tim Goodreads Malaysia ini terdiri daripada pelbagai latar belakang kehidupan, tetapi mereka berkongsi hobi dan minat yang sama, iaitu membaca.

Di dalam buku ini, mereka menceritakan bagaimana minat membaca berjaya mengambil tempat di hati mereka, sehinggakan jiwa gelisah jika tidak membaca sehari. Ada di antara mereka yang dipupuk oleh ibu bapa, diterapkan kepentingan membaca sejak kecil dan diberi galakan dengan kemudahan mengakses pelbagai jenis bahan bacaan di rumah. Ada juga yang dianugerahkan minat membaca tanpa perlu diajar oleh orang tua. Mereka berusaha dengan daya sendiri untuk mendapatkan bahan bacaan seperti mengumpul duit belanja atau meminjamnya dari perpustakaan sekolah atau desa. Kertas surat khabar dari bungkusan barang pun mereka baca. Asalkan dapat membaca !

Selain itu, para penulis berkongsi hijrah mereka daripada satu genre buku kepada genre buku yang lain seiring dengan tuntutan diri yang sedang mendewasa. Daripada komik kepada majalah, seterusnya novel sastera, novel cinta dewasa, buku-buku pemikiran sehinggalah kepada buku-buku perbahasan ilmiah, buku biografi dan sebagainya. Ini ialah proses membaca yang dilalui oleh semua para pencinta buku.

Justeru, penerapan suka membaca kepada  anak-anak adalah yang terutama dan penting dahulu. Tidak perlu risau jika pada peringkat awal anak-anak hanya tertumpu kepada satu jenis bahan bacaan sahaja seperti komik atau buku cerita. Hanya ibu bapa perlu mengawal isi buku pilihan mereka. Seiring waktu dan kedewasaan mereka, jiwa yang telah sebati dengan buku pasti menuntut bahan bacaan yang lebih mencabar dan memberikan nilai tambah kepada diri dan pengetahuan mereka.

Seterusnya, buku ini membuktikan wanita bekerjaya atau suri rumah juga ada masa membaca ! Melalui ibu yang membaca telah ‘menyelamatkan’ anak-anak. Salah seorang penulis dalam buku ini yang juga merupakan seorang ibu yang terdedah kepada bahan bacaan tentang kekeluargaan dan perkembangan kanak-kanak, telah menyedari tanda-tanda negatif dalam perkembangan anaknya. Dengan sikap keterbukaannya, beliau membawa anaknya kepada pakar perkembangan kanak-kanak untuk mendapatkan rawatan. Doktor itu hairan kerana ibu ini dapat menyedari tanda gangguan terhadap anaknya yang biasanya dapat diketahui oleh ahli bidang psikologi atau pendidikan khas, kerana luaran anak kelihatan normal. Nampak, kuasa membaca? Bayangkan masa depan anak ini jika ibunya tidak membaca?

Sebagai kesimpulan, membaca ialah keperluan hidup. Kerana membaca salah satu sumber mendapatkan ilmu. Mengisi ruang akal dengan ilmu adalah tanggungjawab manusia kepada dirinya. Iqra’ !

Buku ini boleh dibeli daripada Jejak Tarbiah di www.jejaktarbiah.com atau FB Jejak Tarbiah atau Toko Jejak Tarbiah, instagram @jejaktarbiah. Selamat membaca dan semoga bermanfaat.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca